Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

WANITA DIPAKSA MELAYAN DAN TIDURI LEBIH 400 LELAKI DALAM TEMPOH TIGA BULAN

     JEPUN — Polis Metropolitan Tokyo menahan seorang lelaki dan seorang wanita selepas didakwa menggunakan peranti penjejak GPS bagi memaksa seorang pekerja wanita melakukan pelacuran di kawasan hiburan terkenal Kabukicho, Shinjuku.

    Suspek utama dikenali sebagai Maoya Suzuki, 39 tahun yang juga merupakan pengurus sebuah bar di daerah Ikebukuro. Turut ditahan ialah seorang wanita bernama Kazuya Tano, 21 tahun yang juga bekerja di bar tersebut. Kedua-duanya disyaki telah menyeksa dan mengeksploitasi seorang wanita berusia 27 tahun dengan cara memaksa mangsa melayani ratusan pelanggan dalam tempoh beberapa bulan.

     Siasatan awal mendapati yakni sekitar bulan Julai hingga September 2024, mangsa dipaksa tinggal di bilik belakang premis bar yang dikendalikan Suzuki. Dalam tempoh tersebut, dia diarahkan untuk berjumpa pelanggan dan melakukan hubungan seks bagi mendapatkan wang. Polis percaya, mangsa telah dipaksa melayani lebih 400 lelaki dalam masa tiga bulan dengan anggaran hasil sebanyak 6 juta yen (sekitar RM185 000). Hampir keseluruhan hasil itu kemudian diserahkan kepada Suzuki atas alasan bayaran hutang dan yuran penginapan.

     Bagi memastikan mangsa tidak melarikan diri, Suzuki dan Tano dikatakan memasang alat penjejak GPS pada telefon bimbit serta barang peribadi mangsa. Mereka juga dilaporkan memantau lokasi dan pergerakan mangsa secara berterusan selain pernah menghubunginya untuk memberi amaran jika mangsa berada di luar kawasan yang dibenarkan.

     Menurut laporan siasatan, mangsa bukan sahaja dikawal secara teknologi malah turut menjadi mangsa keganasan fizikal dan mental. Pemeriksaan polis mendapati lebih daripada 20 kesan lebam pada tubuh wanita berkenaan yang dipercayai akibat dipukul dan ditampar oleh Suzuki apabila dia cuba enggan melayani pelanggan.

     Mangsa memberitahu polis bahawa dia tidak berani melarikan diri kerana sering diugut akan dicederakan dan dihalau tanpa wang. “Saya terlalu letih, tiada kekuatan untuk melawan atau melarikan diri,” kata mangsa seperti dipetik daripada laporan polis Tokyo. Mangsa akhirnya berjaya mendapatkan bantuan selepas seorang pelanggan yang curiga melihat keadaannya membuat laporan kepada pihak berkuasa.

     Ketika disoal siasat, Suzuki menafikan tuduhan bahawa dia memaksa mangsa melakukan pelacuran. Suzuki mendakwa bahawa wanita tersebut melakukannya secara sukarela dan bahawa dia hanya menguruskan bar biasa. Pihak polis bagaimanapun percaya wujud bukti kukuh termasuk rekod transaksi kewangan, mesej arahan yang dihantar oleh Suzuki melalui aplikasi mesej serta data GPS yang mengesahkan pengawasan ke atas mangsa.

     Sementara itu, Tano dilaporkan mengaku bahawa dia sekadar membantu Suzuki menguruskan jadual pelanggan. Tano kini dalam tahanan sementara manakala Suzuki direman untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pencegahan Pelacuran Jepun serta undang-undang buruh berkaitan pemaksaan kerja dan penderaan.

Catat Ulasan for "WANITA DIPAKSA MELAYAN DAN TIDURI LEBIH 400 LELAKI DALAM TEMPOH TIGA BULAN"