Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Menang RM4.9 Juta Tapi Takut Dikenali, Lelaki Ini Tuntut Hadiah Loteri Sambil Pakai Topeng Seram

     Pada tahun 2019 bertempat di negara Jamaica, seorang lelaki yang dikenali hanya sebagai A. Campbell menjadi tumpuan selepas menuntut hadiah kemenangan loteri bernilai 158.4 juta dolar Jamaica (sekitar RM4 juta) sambil memakai topeng Ghostface daripada filem seram terkenal Scream

     Menurut laporan daripada media, Campbell memenangi hadiah utama permainan Super Lotto yang dikendalikan oleh syarikat Supreme Ventures Limited (SVL). Namun dia bukannya terus tampil untuk menuntut hadiah selepas keputusan diumumkan. Campbell mengambil masa hampir 54 hari sebelum akhirnya muncul di pejabat SVL di ibu negara Kingston. Ketika hadir, Campbell mengenakan pakaian serba gelap, sarung tangan dan topeng putih dengan wajah menjerit iaitu sama seperti watak pembunuh dalam francais filem Scream. Langkah itu dilakukan bagi memastikan identitinya tidak didedahkan kepada umum.

     Campbell menjelaskan bahawa tindakannya memakai topeng adalah untuk melindungi dirinya daripada perhatian melampau dan permintaan kewangan daripada ahli keluarga, kenalan dan orang asing. Di Jamaica, budaya berkongsi rezeki sering menjadi tekanan sosial kepada pemenang loteri. Ramai yang pernah menjadi sasaran jenayah, pemerasan atau gangguan selepas diketahui memiliki kekayaan mendadak. Dalam temu bual bersama media tempatan, Campbell mengakui bahawa sejak dirinya mengetahui tentang kemenangannya, dia berasa sangat gembira. Pada masa yang sama Campbell tidak dapat tidur selama beberapa malam kerana terlalu memikirkan apa yang akan berlaku jika orang tahu dia pemenangnya.

     Laporan media turut mendedahkan bahawa sebelum kemenangan itu, Campbell bekerja keras untuk menyara kehidupannya dan mempunyai beberapa masalah kewangan. Setelah menerima hadiah, dia berjanji untuk menggunakan wang tersebut bagi memperbaiki taraf hidupnya, membayar hutang serta membantu beberapa ahli keluarga terdekat yang benar-benar memerlukan. Dia bagaimanapun menegaskan bahawa semua itu akan dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak mendedahkan dirinya kepada risiko keselamatan.

     Fenomena pemenang loteri yang menutup identiti bukanlah perkara baharu di Jamaica. Beberapa pemenang terdahulu juga pernah tampil dengan cara yang sama. Ada yang memakai topeng badut, ada juga yang mengenakan kostum kartun semasa upacara penyampaian cek gergasi oleh pihak penganjur. Tindakan ini dibenarkan oleh undang-undang negara tersebut kerana tiada peraturan yang mewajibkan pemenang menzahirkan identiti mereka kepada orang awam. Pihak Supreme Ventures Limited sendiri mengesahkan bahawa mereka menghormati hak pemenang untuk kekal anonim selagi identiti sebenar tetap direkodkan secara rasmi dalam sistem syarikat dan disahkan oleh pihak berkuasa kewangan.

Catat Ulasan for "Menang RM4.9 Juta Tapi Takut Dikenali, Lelaki Ini Tuntut Hadiah Loteri Sambil Pakai Topeng Seram"