Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KELUARGA MENENDEZ : Hidup Kaya Selepas Bunuh Ibu Bapa Sendiri

 
Youtube

    Pada malam 20 Ogos 1989, pasangan suami isteri yang kaya raya bernama Jose Menendez (45 tahun) dan Kitty Andersen (47 tahun) sedang meluangkan masa bersama mereka dengan menonton filem di dalam bilik. Sewaktu  khusyuk menonton, tiba-tiba satu tembakan senapang dari arah belakang telah tepat mengena pada bahagian belakang kepala Jose. Kitty yang terkejut dengan serangan itu cuba melarikan diri namun telah ditembak pada bahagian kaki. Suspek kemudian bertindak menembak lengan, dada dan seterusnya muka Kitty sehingga hancur berkecai.

Erik (kiri) dan Lyle (kanan)

    Mayat Jose dan Kitty kemudian ditemui oleh anak mereka sendiri iaitu Lyle (21 tahun) dan Erik (18 tahun) yang kebetulan baru sahaja pulang dari menonton wayang. Tanpa berlengah, Lyle bertindak segera untuk menghubungi pihak polis. Setibanya pihak polis di tempat kejadian, Lyle dan Erik dilaporkan masih lagi dalam keadaan menjerit dan meraung meratapi pemergian sadis ibu bapa mereka itu. 

    Pada awal siasatan, pihak polis dilihat begitu sukar untuk mengenal pasti suspek, apatah lagi motif pembunuhan. Walau bagaimanapun, lama-kelamaan pihak polis semakin mencurigai Lyle dan Erik. Ini berikutan selepas dua adik adik beradik itu dilihat sering berbelanja dengan mewah hasil harta peninggalan mendiang ayah mereka. Perbelanjaan tersebut merangkumi pembelian kereta mewah, jam berjenama Rolex, trip percutian, berparti, mengupah khidmat jurulatih tenis persendirian dan lain-lain lagi aktiviti mewah. Dalam tempoh masa enam bulan saja, wang perbelanjaan Lyle dan Erik dianggarkan mencecah $1 juta.


    Berbalik pada situasi malam kejadian pembunuhan, siapa sangka ia adalah kejadian terancang yang telah dilakukan oleh Lyele dan Erik. Selepas menembak mati ibu bapa mereka, Lyle dan Erik bertindak mencipta persepsi beserta alibi. Mengikut persepsi, pembunuhan Jose dan Kitty digambarkan seolah-olah dilakukan oleh pihak kartel atau mafia. Berdasarkan alibi pula, Lyle dan Erik kononnya pergi menonton wayang dan kemudian menghadiri satu festival di Santa Monica. Selesai berbuat sedemikian, Lyle dan Erik kembali ke rumah untuk berpura-pura menangisi kematian orang tua mereka.

    Lyle dan Erik akhirnya ditangkap pihak berkuasa pada tahun 1990. Penangkapan tersebut dibuat sejurus selepas pihak polis menerima laporan daripada Judalon Smyth yang juga merupakan kekasih kepada seorang pakar psikologi yang bernama Jerome Oziel. Pada sebelumnya, Jerome ada menerima pengakuan sebenar daripada Erik tentang pembunuhan Jose dan Kitty. Biarpun telah diugut bunuh oleh Lyle dan Erik, Jerome tekad untuk membuka mulut bagi menceritakan perkara yang sebenar kepada Judalon.

    Perbicaraan kes pembunuhan keluarga Menendez yang telah mencetuskan kontroversi ini dibayangi dengan satu lagi siri pendedahan yang mengejutkan. Menurut keterangan yang diberikan oleh Lyle dan Erik, kehidupan mereka berdua sebenarnya penuh dengan derita sengsara. Meskipun dilahirkan dalam keadaan keluarga yang kaya raya, erti nikmat kemewahan itu tidak pernah pun dikecapi dengan pasangan adik beradik tersebut memberitahu bahawa mereka telah didera oleh Jose sejak dari kecil lagi. Malah, Lyle mendakwa bahawa dia sering menjadi mangsa nafsu serakah Jose. Kata Lyle, dia bukan saja diliwat serta dipaksa melakukan seks oral dengan Jose bahkan turut dicabul Kitty sekali. Jika enggan berbuat sedemikian, dia akan menjadi mangsa amukan. Tambah Lyle dan Erik lagi, kehidupan mereka berdua yang hidup dalam kongkongan tidak pernah merasa kebebasan seperti kanak-kanak lain. Namun, semua dakwaan Lyle dan Erik yang nyatakan ini tidak pernah berjaya dibuktikan.

    Motif sebenar pembunuhan dalam kes pembunuhan keluarga Menendez boleh dikatakan agak rumit. Walau apapun penjelasan Lyle dan Erik, sukar untuk menilai kebenaran yang sebenar. Cuma apa yang pasti, mungkin ada pergolakan berlaku dalam keluarga Menendez hingga menyebabkan Lyle dan Erik terpaksa bertindak di luar kawalan. 


     Menjelang 2 Julai 1996, Lyle dan Erik akhirnya didapati bersalah atas tuduhan membunuh ibu-bapa mereka. Masing-masing yang dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa sebarang parol telah ditempatkan dalam penjara berasingan. Pada tahun 2018, Lyle telah dipindahkan ke sebuah penjara yang terletak di San Diego. Di situ, dia kembali bersua dengan Erik yang telah terpisah dengannya selama 22 tahun. Menerusi pertemuan tersebut, mereka berdua saling berpelukan dalam keadaan yang sangat hiba.

    Filem televisyen siri Law & Order True Crime berjudul The Menendez Murders (8 Episod) berdasarkan kisah pembunuhan keluarga Menendez.  

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KELUARGA MENENDEZ : Hidup Kaya Selepas Bunuh Ibu Bapa Sendiri"