KISAH ANDREA YATES : Bunuh Lima Anak Akibat Meroyan

Andrea Pia Kennedy dilahirkan pada tahun 1964 di Texas, Amerika Syarikat. Sejak sekolah, dia dikenali sebagai pelajar yang pintar, pendiam dan berdisiplin. Selepas tamat pengajian, Andrea bekerja sebagai jururawat berdaftar. Walaupun kelihatan tenang, dia sebenarnya seorang yang cenderung memendam tekanan. Sifat itu tidak begitu ketara pada awal hidupnya namun menjadi semakin jelas selepas dia berumah tangga dan bergelar sebagai ibu.
Andrea berkahwin dengan Russell Rusty Yates pada tahun 1993. Pada peringkat awal, kehidupan mereka kelihatan bahagia. Rusty bekerja sebagai jurutera komputer manakala Andrea berhenti bekerja untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada rumah tangga. Mereka hidup dalam suasana konservatif, mengutamakan agama dan memilih untuk mengajar sendiri anak-anak di rumah. Antara tahun 1994 hingga 2000, Andrea melahirkan lima orang anak iaitu Noah, John, Paul, Luke dan Mary. Anak-anak yang rapat usia ini menjadikan beban pengurusan harian sangat berat lebih-lebih lagi kerana Andrea mengendalikan hampir segalanya seorang diri. Walaupun dia ibu yang penyayang, tekanan berterusan secara perlahan-lahan menghakis kestabilan emosinya.
.
Selepas kelahiran anak keempat, Andrea mula menunjukkan tanda kemurungan selepas bersalin. Keadaannya kemudian berkembang menjadi psikosis selepas bersalin yakni satu keadaan mental serius yang boleh menyebabkan halusinasi, delusi dan kehilangan pertimbangan. Pernah satu ketika, Andrea cuba mencederakan diri dan menyuarakan kepercayaan bahawa dia seorang ibu yang gagal. Dia juga pernah mendengar suara-suara yang menakutkannya sekali gus menambahkan kekacauan dalam fikirannya.
Andrea pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital psikiatri dan diberikan ubat antipsikotik. Doktor turut memberi amaran bahawa kehamilan seterusnya membawa risiko besar kepada kestabilan mentalnya. Namun pasangan itu tetap menimang anak kelima iaitu Mary. Seperti yang dijangkakan, keadaan Andrea semakin merosot sesudah itu.

Hinggalah pada pagi 20 Jun 2001, Rusty pergi ke tempat kerja selepas mendapati Andrea kelihatan lebih tenang berbanding kebiasaan. Tidak lama selepas itu, Andrea mengisi tab mandi dengan air. Dalam keadaan minda yang tidak stabil, dia menenggelamkan kelima-lima anaknya seorang demi seorang. Anak sulung mereka, Noah yang berusia tujuh tahun cuba melarikan diri setelah memahami apa yang berlaku. Dia bagaimanapun turut menjadi mangsa terakhir. Selesai melakukan perbuatan itu, Andrea sendiri menelefon polis dan memberitahu apa yang telah berlaku. Apabila pihak berkuasa tiba, mereka mendapati Andrea berada dalam keadaan yang sangat tenang.

Catat Ulasan for "KISAH ANDREA YATES : Bunuh Lima Anak Akibat Meroyan"