KISAH KEMATIAN BAYI BRIANNA YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN

     Kes kematian bayi Brianna Lopez yang berlaku pada tahun 2002 di Las Cruces, New Mexico merupakan antara kes jenayah penderaan kanak-kanak yang paling kejam di Amerika Syarikat. Kisah ini bukan sahaja mendedahkan sisi gelap sifat manusia malah menjadi titik tolak kepada perubahan undang-undang yang lebih ketat bagi melindungi golongan kanak-kanak.

​     Kejadian ini bermula apabila Stephanie Lopez iaitu ibu kepada Brianna yang berusia lima bulan telah membawa bayinya ke sebuah hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 19 Julai 2002. Pihak keluarga mendakwa bahawa bayi tersebut mengalami kecederaan akibat terjatuh dari katil secara tidak sengaja. Namun pemeriksaan perubatan oleh doktor mendedahkan realiti yang jauh lebih mengerikan. Kecederaan yang dialami oleh Brianna adalah sangat melampau sehingga tidak mungkin disebabkan oleh kemalangan kecil sekali gus mencetuskan siasatan polis dengan serta-merta.

     Hasil laporan bedah siasat mendedahkan tahap kekejaman yang sukar diterima akal. Brianna mengalami pendarahan otak yang serius akibat digoncang dengan kuat (Shaken Baby Syndrome) dan keretakan tengkorak. Tubuh kecilnya dipenuhi dengan 15 kesan gigitan manusia yang dalam. Selain itu, tulang rusuk dan tulang kakinya didapati patah akibat dipulas dengan sengaja oleh orang dewasa. Lebih menyedihkan, siasatan turut mengesahkan bahawa bayi malang ini telah menjadi mangsa serangan seksual yang kejam sebelum kematiannya.

     Siasatan mendalam mendapati bahawa pelaku utama di sebalik penderitaan Brianna adalah bapa kandungnya sendiri, Andrew Walters dan bapa saudaranya, Stephen Lopez. Kedua-dua lelaki ini mengakui melakukan perbuatan yang mereka anggap sebagai permainan yang sakit termasuk melambung Brianna ke udara sehingga kepalanya menghentam siling rumah berkali-kali sebelum membiarkannya jatuh ke lantai. Sementara itu, Stephanie mendakwa dia tidak menyedari kejadian tersebut kerana sedang tidur di bilik yang sama. Pihak berkuasa bagaimanapun mendapati dakwaan itu sukar dipercayai memandangkan tahap kecederaan fizikal Brianna yang jelas kelihatan kepada sesiapa sahaja.


     Kes ini menjadi lebih tragis apabila didapati ahli keluarga yang lain termasuk nenek Brianna, Patricia Lopez dan bapa saudaranya yang lain turut mengetahui tentang penderaan tersebut tetapi memilih untuk mendiamkan diri. Mereka gagal melaporkan kecederaan Brianna kepada pihak berkuasa atau mendapatkan rawatan perubatan lebih awal sekali gus membiarkan bayi itu terus diseksa selama berbulan-bulan hingga akhirnya dia menghembuskan nafas terakhir.

     Di mahkamah,semua individu yang terlibat telah dijatuhi hukuman. Andrew Walters dijatuhi hukuman penjara 63 tahun manakala Stephen Lopez menerima 57 tahun penjara. Stephanie Lopez pula dijatuhi hukuman 27 tahun penjara atas kesalahan pengabaian kanak-kanak namun pembebasannya secara parol pada tahun 2021 telah mencetuskan kemarahan orang awam. Kesan daripada kes ini, New Mexico telah meluluskan Brianna’s Law yakni sebuah undang-undang yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup mandatori bagi pesalah yang menyebabkan kematian kanak-kanak di bawah usia 12 tahun melalui penderaan.



1 ulasan for "KISAH KEMATIAN BAYI BRIANNA YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN "

  1. Astaghfirullah....manusia ga punya akhlak dan berhati iblis. Hrsnya balas disiksa sprti apa yg dilakukan trhadap baby briana smpai mereka mati.

    BalasPadam