Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MOHAMMED ABU KHDEIR

Mohammed Abu Khdeir

    Tahun 2014, Mohammed Abu Khdeir adalah seorang remaja lelaki dari negara Palestin yang berusia 16 tahun. Dia yang merupakan anak kelima daripada tujuh orang adik-beradik digambarkan sebagai seorang anak yang baik, rajin dan begitu disenangi oleh rakan-rakan di sekelilingnya. Selain itu, Abu Khdeir juga belajar di sebuah sekolah vokasional demi mencapai impiannya untuk menjadi seorang juruelektrik yang berjaya. Adakalanya, Abu Khdeir akan menghabiskan masa dengan membantu bapanya untuk melakukan kerja-kerja pendawaian dan pemasangan elektrik.

    Pada awal pagi 2 Julai 2014, Abu Khdeir telah diculik sewaktu dia sedang dalam perjalanan menuju ke masjid. Dia dimasukkan secara paksa ke dalam sebuah kereta oleh beberapa orang lelaki yang tidak dikenali. Saksi-saksi yang melihat kejadian penculikan tersebut tidak sempat untuk mengejar kereta penculik itu yang dipandu dengan begitu laju. Beberapa jam selepas kejadian penculikan, mayat Abu Khdeir telah ditemui di sebuah hutan Jerusalem dengan keadaan yang benar-benar menyayat hati. Mayatnya melecur satu badan. Hasil bedah siasat forensik pula mendapati Abu Khdeir diikat dengan tali sebelum dibelasah lalu dibakar secara hidup-hidup.

    Pembunuhan kejam Abu Khdeir itu dipercayai berunsurkan dendam. Beberapa minggu sebelum kejadian penculikan Abu Khdeir, tiga orang remaja Israel yang bernama Eyal Yifrach (19 tahun), Gilad Shaar (16 tahun) dan Naftali Fraenkel (16 tahun) telah diculik sewaktu mereka dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing. Mayat mereka bertiga kemudian ditemui di sebuah kawasan padang dengan punca kematian ketiga-tiganya adalah akibat tembakan. Perdana Menteri Israel iaitu Benjamin Netanyahu telah menyalahkan Hamas sebagai dalang utama kejadian pembunuhan tersebut.  Tuduhan tanpa bukti ini bagaimanapun mendapat tentangan daripada Mahmoud Abas. Seperkara yang perlu diketahui, kejadian penculikan Abu Khdeir ini telah berlaku pada sehari selepas majlis pengkebumian tiga remaja Israel terbabit.

Ibu bapa Abu Khdeir

    Mengenai siasatan kes, pihak berkuasa Israel dilihat berlaku tidak adil dengan melengah-lengahkan siasatan hanya kerana Abu Khdeir berdarah Palestin. Pihak media Israel pula sengaja mengapi-apikan keadaan dengan memainkan sentimen perkauman. Namun selepas siasatan secara berterusan dilakukan, tiga orang lelaki Israel telah ditahan atas pertuduhan membunuh Abu Khdeir. Suspek pertama dikenali sebagai Yosef Ben-David. Suspek kedua dan ketiga pula adalah anak saudara Yosef yang tidak dinamakan atas status sebagai mereka yang masih di bawah umur. Sebenarnya pada malam sebelum pembunuhan Abu Khdeir, Yosef telah melakukan percubaan untuk menculik seorang budak lelaki berusia lapan tahun. Penculikan tersebut bagaimanapun gagal selepas budak lelaki berkenaan bersama ibunya berjaya untuk melawan Yosef.

    Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Yosef menerima hukuman penjara seumur hidup dengan tambahan 20 tahun dan diarahkan untuk membayar wang pampasan kepada keluarga Abu Khdeir. Begitu juga dengan nasib suspek kedua yang turut dipenjarakan seumur hidup manakala suspek ketiga dihukum penjara 21 tahun.

    Artikel diakhiri dengan video jenazah Abu Khdeir diusung oleh ribuan rakyat Palestin.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MOHAMMED ABU KHDEIR"