Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN NARUMI KUROSAKI : Kau Milikku Selamanya

Narumi Kurosaki

    Pada tahun 2016, Narumi Kurosaki yang berusia 21 tahun merupakan seorang pelajar Universiti of Franche-Comte yang terletak di negara Perancis. Dia dikatakan sebagai seorang wanita yang berperwatakan baik, peramah dan begitu disenangi oleh orang di sekelilingnya. Dalam erti kata lain, Narumi bukan wanita yang bermasalah. Selain itu, Narumi pernah mempunyai seorang teman lelaki bernama Nicolas Zepeda Contretas yang berasal dari negara Chile. Mereka berdua mula berkenalan pada tahun 2014 di Universiti of Tsukuba, Jepun. Waktu tersebut, Narumi adalah pelajar di universiti berkenaan manakala Nicolas pula memegang peranan sebagai pembantu tenaga pengajar.

    Tentang Nicolas, dia yang dilahirkan pada tahun 1990 merupakan berasal daripada keluarga kaya raya. Ibu bapanya merupakan antara individu yang berpengaruh di negara Chile. Secara ringkasnya, Nicolas memang hidup dalam keadaan serba mewah. Tiada sebarang masalah kewangan untuk dia fikirkan. Malah Nicolas tidak mempunyai sebarang masalah untuk pergi melancong ke mana-mana negara yang diingininya.

    Sewaktu Nicolas dan Narumi masih bercinta, segalanya nampak sempurna. Menerusi foto serta video di laman media sosial mereka, Nicolas dan Narumi dilihat jelas saling mencintai antara satu sama lain. Tidak hairanlah Nicolas pernah membawa Narumi ke negara Chile untuk diperkenalkan kepada kedua-dua orang tuanya. Pada penghujung tahun 2015, hubungan Nicolas dan Narumi mula menjadi tidak sehaluan. Perkara itu berlaku susulan kepulangan Nicolas ke Chile sekaligus memaksa pasangan terbabit menjalinkan hubungan jarak jauh. Nicolas kembali ke Jepun pada bulan April tahun 2016 untuk bertemu dengan Narumi. Namun, semuanya sudah tidak sama seperti dahulu. Tidak jelas mengenai perkara sebenar tetapi apa yang pasti Narumi sudah pun tawar hati untuk meneruskan hubungan. Beberapa bulan berikutnya, Narumi berangkat ke Perancis bagi menyambung pengajiannya di sana.

    Tidak lama selepas berada di Perancis, Narumi tekad memutuskan hubungan dengan Nicolas untuk menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki pelajar universiti yang dikenali sebagai Arthur Del Piccolo. Nicolas yang enggan untuk menerima hakikat telah membuat ugutan terhadap Narumi supaya tidak meninggalkan dirinya. Narumi bagaimanapun tidak menghiraukan segala jenis ugutan yang dibuat Nicolas. Hinggalah pada 30 November 2016, Nicolas menjejakkan kaki ke negara Perancis. Setibanya di sana, dia yang memandu kereta sewa dilaporkan ada membeli minyak gas, mancis, alat penyembur dan plastik sampah. Pada pukul 10 malam bertarikh 4 Disember 2016, Nicolas dan Narumi sama-sama memasuki kediaman Narumi. Waktu sebelumnya, mereka berdua dilihat memang ada keluar bersama. Malam yang sama, ada beberapa orang saksi terdengar suara jeritan seorang wanita di kawasan kediaman Narumi tetapi malangnya tiada seorang pun yang membuat laporan polis. Di sini kurang jelas mengapa Narumi sanggup berjumpa Nicolas sedangkan hubungan mereka telah berakhir. Cuma ada laporan yang mengatakan bahawa dia cuba mengakhiri perhubungannya dengan Nicholas secara baik.

    Apa yang berlaku seterusnya yakni bersamaan dengan 14 Disember 2016, Narumi dilaporkan hilang oleh pihak universiti selepas dia tidak hadir ke kelas dan gagal untuk dihubungi. Seperkara yang harus diketahui, Nicolas dipercayai telah mengakses telefon Narumi untuk menggodam Facebook sebelum menghantar mesej kepada keluarga dan kenalan bekas teman wanitanya itu. Ringkas cerita, Nicolas menyamar sebagai Narumi. Hal inilah yang membuatkan laporan kehilangan Narumi mengambil masa yang agak lama untuk dibuat. Berdasarkan siasatan dan pemeriksaan awal yang dilakukan oleh pihak polis di kediaman Narumi, mereka telah menemui beberapa cap jari yang didapati sepadan dengan Nicolas.

    Mengenai Nicolas, dia sudah pun berada di Chile sewaktu operasi pencarian Narumi masih giat dijalankan. Nicolas mengambil satu langkah ke hadapan dengan pergi ke sebuah balai polis di negaranya untuk menafikan sebarang penglibatan dalam kes kehilangan Narumi. Nicolas tidak ditangkap tetapi pada masa sama pihak berkuasa Chile tidak membenarkannya untuk pergi ke mana-mana negara luar dalam tempoh bulan. Pihak berkuasa Chile turut menolak permohonan dari pihak berkuasa Perancis dan Jepun yang meminta Nicolas diekstradisi ke Perancis. Penolakan tersebut dibuat dengan alasan tubuh jasad Narumi yang masih tidak dapat untuk ditemui. Hanya pada bulan Julai 2020, barulah pengekstradisian Nicolas berjalan setelah pihak berkuasa Chile menerima bukti kukuh untuk membolehkannya melalui proses perbicaraan mahkamah. Setakat ini, masih tiada perkembangan terkini tentang perbicaraan itu. Jika Nicolas didapati bersalah melakukan pembunuhan terhadap Narumi, dia bakal menerima hukuman penjara untuk seumur hidup.

    Mengenai lokasi jasad Narumi, kekal menjadi misteri. Samada dia benar-benar sudah mati dibunuh atau sebaliknya, tiada siapa tahu apa yang sebenarnya berlaku. Ingat semula, Nicolas ada menyewa kereta sebaik sampai di Perancis. Dia telah memulangkan semula kereta sewa tersebut kepada syarikat penyewaan dengan keadaan kereta yang begitu kotor. Bahkan menerusi data GPS lokasi mendapati kereta itu dipandu sebuah kawasan hutan. Malangnya operasi pencarian Narumi dalam hutan yang dimaksudkan gagal membuahkan sebarang hasil penemuan.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN NARUMI KUROSAKI : Kau Milikku Selamanya"