Rompakan Paling Berani oleh Warga Emas: Kisah Benar Hatton Garden

London, April 2015. Ketika suasana bandar mula lengang sempena sambutan Easter, tiada siapa menyangka bahawa satu rompakan paling berani dalam sejarah Britain sedang dirancang dengan begitu rapi oleh sekumpulan lelaki tua. Mereka bukan lelaki tua sembarangan kerana majoriti daripada mereka ialah bekas penjenayah berpengalaman dengan sebahagiannya telah menghabiskan separuh hayat di balik tirai besi dan sebahagian lagi sudah lama bersara dari dunia gelap jenayah. Namun keinginan untuk satu rompakan terakhir menyatukan mereka semula. Sasaran mereka ialah Hatton Garden Safe Deposit Company, sebuah bilik kebal simpanan peribadi yang terletak di kawasan elit perniagaan barang kemas Hatton Garden di tengah London.
Ketua kumpulan itu iaitu Brian Reader yang berusia 76 tahun waktu tersebut digelar “The Master” dalam kalangan rakan sejenayahnya. Bekas pencuri dan perancang jenayah yang terkenal sejak 1980-an, Reader adalah orang yang menyusun pelan keseluruhan rompakan ini. Dia merekrut individu lain yang memiliki pelbagai kepakaran yakni dari pakar kunci dan sistem keselamatan hingga ke tukang gerudi dan pemantau komunikasi. Antara yang terlibat ialah John “Kenny” Collins, Terry Perkins dan Daniel Jones. Semuanya berusia lewat 60-an ke atas di mana masing-masing pernah terlibat dalam jenayah besar sebelum ini. Mereka sering bertemu di pub dan restoran untuk berbincang. Perbincangan tidak dilakukan secara terus terang, menggunakan istilah kod dan isyarat badan dan mereka sering menukar lokasi mesyuarat bagi mengelak dikesan.

Pelan mereka bermula dengan penyamaran sebagai pekerja penyelenggaraan. Pada malam 2 April 2015, hari Khamis sebelum Good Friday, kumpulan itu memasuki bangunan menggunakan laluan yang telah dipantau selama berminggu-minggu. Mereka berjaya mematikan lif utama dan turun melalui lif servis ke bahagian bawah bangunan. Di situ, mereka berdepan dengan halangan utama, dinding konkrit setebal hampir 50 sentimeter yang memisahkan ruang bawah tanah dengan bilik kebal. Bagi menembusinya, mereka membawa masuk gerudi industri jenis Hilti DD350, satu alat berat yang biasanya digunakan dalam kerja-kerja pembinaan mega. Peralatan ini tidak murah dan penggunaannya memerlukan kemahiran tinggi. Daniel Jones selaku tukang gerudi dalam kumpulan itu tahu apa yang perlu dilakukan.
Pada malam pertama, mereka mengalami kesulitan teknikal. Peralatan tidak berfungsi seperti yang diharapkan dan mereka terpaksa berundur. Mereka bagaimanapun tidak panik. Mereka kembali semula dua malam berikutnya, pada malam Sabtu, 4 April 2015. Kali ini, mereka lebih bersedia. Setelah beberapa jam bekerja dalam diam, tanpa penggera berbunyi serta tanpa kamera aktif, mereka berjaya menembusi dinding tebal itu dan memasuki bilik kebal. Di dalamnya, terdapat lebih 900 peti simpanan milik individu dan peniaga barang kemas. Mereka memilih peti-peti yang bernilai tinggi berdasarkan maklumat dalaman yang tidak pernah terdedah secara rasmi. Sebanyak 73 peti keselamatan berjaya dipecahkan. Mereka melarikan pelbagai bentuk harta seperti barang kemas antik, jongkong emas, berlian, jam tangan mewah dan wang tunai. Anggaran kasar nilai rompakan ialah sebanyak £13.69 juta atau hampir $20 juta pada waktu itu.

Apa yang lebih mengejutkan, semua ini dilakukan tanpa sebarang kekerasan, tanpa seorang pun cedera dan tanpa bunyi yang mencurigakan. Sistem penggera bangunan sebenarnya telah diaktifkan tetapi disebabkan ia sering memberikan amaran palsu, pihak keselamatan tidak mengambil tindakan segera. Ini merupakan kelemahan besar yang tidak disedari oleh pengurusan bangunan dan telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan perompak.
Selepas rompakan, kumpulan itu membawa barang curi ke beberapa lokasi rahsia untuk disorok dan diagihkan. Namun mereka tidak tahu bahawa sejak dari awal lagi, polis telah mengesyaki gerakan mereka. Unit khas dari Metropolitan Police Service yang dikenali sebagai Flying Squad telah mengintip beberapa ahli kumpulan melalui kamera CCTV, penjejakan kenderaan dan alat pengesan perbualan. Mereka menunggu masa sesuai untuk menyerbu.

Pada Mei 2015, polis melancarkan operasi besar-besaran dan menahan tujuh suspek utama. Dalam serbuan, polis menemui sebahagian barang curi termasuk wang tunai dan barang kemas yang disorokkan di dalam tong sampah, ruang siling dan juga dinding palsu rumah suspek. Namun lebih daripada £10 juta hasil rompakan masih tidak dapat dijejaki sehingga kini dan dipercayai telah dijual di pasaran gelap atau dihantar ke luar negara.
Pada Januari 2016, kes dibawa ke mahkamah. Kesemua defendan didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara antara 6 hingga 7 tahun. Disebabkan usia Brian Reader yang lanjut dan kesihatan yang merosot, dia hanya dikenakan hukuman penjara selama 6 tahun dan 3 bulan. Ironinya, mereka dihukum bukan semata-mata kerana rompakan tetapi juga kerana enggan mendedahkan di mana hasil curi disimpan. Mahkamah turut mengarahkan bayaran pampasan berjuta-juta pound tetapi ramai percaya wang itu tidak akan pernah dikembalikan.

Kisah rompakan Hatton Garden yang luar biasa ini terlalu hebat untuk tidak diangkat ke layar perak. ini. Antara filem yang paling menonjol ialah The Hatton Garden Job (2017), sebuah filem jenayah-komedi yang menampilkan rompakan tersebut dalam gaya yang santai dan bergaya. Satu lagi adaptasi ialah King of Thieves (2018), sebuah filem yang lebih serius dan beremosi. Menampilkan pelakon legenda Michael Caine sebagai watak utama, filem ini memberi tumpuan kepada konflik dalaman kumpulan tersebut, ketegangan antara mereka serta penyesalan yang menghantui kehidupan di usia tua. Selain daripada filem itu, kisah ini turut dijadikan bahan dokumentari, antaranya Hatton Garden: The Inside Story yang diterbitkan oleh ITV. Dokumentari ini menampilkan rakaman penyiasatan sebenar, temubual bersama pihak berkuasa dan wartawan serta analisis mendalam tentang bagaimana rompakan tersebut dirancang dan dikesan. Ia memberikan perspektif yang lebih autentik dan faktual kepada penonton yang ingin memahami realiti di sebalik jenayah paling berani di Britain ini.
Catat Ulasan for "Rompakan Paling Berani oleh Warga Emas: Kisah Benar Hatton Garden"