Apa Sebenarnya yang Berlaku kepada Heath Ledger?
.jpg)
Heath Andrew Ledger dilahirkan pada 4 April 1979 di Perth, Australia Barat. Dia adalah seorang pelakon yang dikagumi kerana bakatnya yang luar biasa dalam menjelmakan pelbagai watak kompleks di layar perak. Bermula sebagai pelakon remaja dalam drama bersiri Australia seperti Sweat dan Home and Away, Ledger menempah nama di Hollywood melalui filem-filem seperti 10 Things I Hate About You (1999), The Patriot (2000) dan A Knight’s Tale (2001). Namun wataknya sebagai Ennis Del Mar dalam Brokeback Mountain (2005) meletakkannya dalam kelas tersendiri hingga meraih pencalonan Oscar pertamanya dan memperlihatkan kebolehannya menjayakan watak dramatik yang mencabar.
Di puncak kejayaannya, Ledger menerima tawaran untuk membawa watak Joker dalam filem The Dark Knight arahan Christopher Nolan yang merupakan sekuel kepada Batman Begins (2005). Ramai yang skeptikal pada awalnya, watak Joker sinonim dengan versi ikonik lakonan Jack Nicholson. Walau bagaimanapun, Ledger menenggelamkan dirinya ke dalam watak itu dengan pendekatan kaedah lakonan yang sangat intensif. Dia mengasingkan diri selama berminggu-minggu di bilik hotel di London untuk memahami jiwa Joker dengan menulis jurnal, mencipta suara yang unik dan menghayati psikologi seorang watak yang tidak waras tetapi sangat cerdas. Diari tersebut kemudiannya menjadi bahan dokumentari dan menunjukkan gambaran dalam tentang kekeliruan dan kegelapan yang menyelubungi proses kreatifnya.

Cuma di sebalik lakonannya yang memukau, terdapat satu kebenaran yang lebih menyayat hati iaitu Ledger sedang bergelut dengan masalah kesihatan fizikal dan mental yang semakin meruncing. Dia mengalami insomnia yang teruk, satu masalah yang sudah lama mengganggu kehidupannya tetapi bertambah parah ketika menjayakan The Dark Knight. Dalam temu bual bersama The New York Times beberapa bulan sebelum kematiannya, Ledger mengakui hanya mampu tidur dua jam semalam walaupun telah mengambil dua biji pil tidur. Kekurangan tidur ini memberi kesan buruk kepada kesihatannya secara menyeluruh daripada segi mental dan fizikal.
Selain itu, tekanan kehidupan peribadi turut memburukkan lagi keadaannya. Ledger telah berpisah dengan pelakon Michelle Williams pada tahun 2007, selepas empat tahun bersama. Mereka mempunyai seorang anak perempuan bernama Matilda yang amat disayangi oleh Ledger. Perpisahan itu memberikan tamparan hebat kepadanya. Beberapa rakan rapat melaporkan bahawa dia berasa sangat kecewa kerana tidak dapat bersama-sama membesarkan anaknya. Ledger sering meluahkan kerinduan terhadap Matilda dan berasa hidupnya hilang arah. Pada masa sama, tuntutan kerjaya yang padat, tekanan media dan populariti yang semakin meningkat juga menyebabkan dia semakin terasing dan bergelut dengan kesepian.

Pada 22 Januari 2008, Heath Ledger dijadualkan menghadiri sesi fotografi untuk filem The Imaginarium of Doctor Parnassus yang sedang dalam penggambaran. Dia bagaimanapun tidak menjawab sebarang panggilan. Pembantunya, Theresa Olson serta tukang urut bernama Diana Wolozin telah menemuinya dalam keadaan tidak sedarkan diri di apartmennya di kawasan Soho, Manhattan. Wolozin cuba menghubungi Mary-Kate Olsen, seorang selebriti yang juga teman rapat Ledger sebelum menghubungi talian kecemasan 911. Apabila pasukan paramedik tiba, mereka mendapati Ledger sudah tidak bernyawa dan pengumuman kematiannya dibuat pada jam 3:36 petang.
Kematian Ledger serta-merta mencetuskan kejut dan spekulasi di seluruh dunia. Pelbagai teori liar tersebar dengan ada yang mengatakan dia membunuh diri akibat tekanan, ada yang menyalahkan watak Joker yang "merasuk" dirinya. Selepas siasatan terperinci, Pejabat Pemeriksa Perubatan New York mengeluarkan laporan rasmi. Laporan toksikologi tersebut mendedahkan kehadiran beberapa jenis ubat dalam sistem badan Ledger termasuk oxycodone dan hydrocodone (ubat tahan sakit), diazepam dan alprazolam (ubat penenang) serta temazepam dan doxylamine (ubat tidur). Gabungan ubat ini mengakibatkan penekanan sistem saraf pusat yang akhirnya menghentikan pernafasan Ledger semasa tidur. Tiada nota bunuh diri dijumpai. Tiada bukti menunjukkan bahawa pengambilan ubat tersebut disengajakan untuk menamatkan hidup.

Selepas kematiannya, banyak pihak tampil memberikan penghormatan. Michelle Williams mengeluarkan kenyataan penuh emosi tentang kehilangan seorang bapa yang penyayang. Christopher Nolan pula menyifatkan Ledger sebagai pelakon yang genius dan menegaskan bahawa persembahannya sebagai Joker akan dikenang sepanjang zaman. Ketika The Dark Knight ditayangkan pada Julai 2008, sambutan luar biasa diterima di seluruh dunia. Kritikan memuji lakonan Ledger yang tidak hanya menyeramkan tetapi menggambarkan ketidaktentuan emosi dan kegilaan yang hampir menyentuh realiti. Lakonan itu dianggap mendefinisikan semula watak penjahat dalam filem moden. Ledger kemudiannya dianugerahkan Anugerah Akademi (Oscar) bagi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada tahun 2009, anugerah yang diterima oleh keluarganya dalam suasana penuh hiba.
Catat Ulasan for "Apa Sebenarnya yang Berlaku kepada Heath Ledger?"