BANGGA PAMER KEMEWAHAN DI MEDIA SOSIAL, INI NASIB INFLUENCER CHINA INI


     Artikel kali ini adalah tentang bagaimana obsesi terhadap kemewahan, penipuan dan sikap suka menunjuk-nunjuk di internet akhirnya membawa padah kepada diri sendiri. Guo Meimei dilahirkan pada tahun 1991 di Wilayah Hunan, China dalam sebuah keluarga yang mempunyai latar belakang huru-hara. Ibunya dikatakan terlibat dalam pelbagai urusan perniagaan kecil dan aktiviti pelaburan yang meragukan. Ketika era media sosial Sina Weibo mula berkembang pesat di China, Guo melihat peluang keemasan untuk membina populariti.

     Dia mula memuat naik pelbagai hantaran yang mempamerkan gaya hidup ultra-mewah (flexing). Guo sering memaparkan pemanduan kereta sport mewah berjenama Maserati dan Lamborghini, beg tangan mewah berjenama antarabangsa serta kediaman mewah di ibu kota Beijing. Tindakan ini menarik perhatian jutaan pengikut yang terpesona dengan kekayaannya yang luar biasa memandangkan usianya ketika itu masih sangat muda. 

      Titik hitam paling besar yang mencetuskan kemarahan orang ramai bermula apabila Guo mengubah gelaran profil Weibonya kepada General Manager of Red Cross Commerce (Pengurus Besar Perniagaan Palang Merah). Dka mendakwa mempunyai kaitan langsung dengan Red Cross Society of China (Persatuan Palang Merah China). Perkara ini menimbulkan keraguan kepada rakyat China kerana mengsyaki dana awam, derma mangsa bencana dan sumbangan amal rakyat disalahgunakan oleh pihak pengurusan untuk membiayai gaya hidup mewah individu seperti Guo Meimei.


    Walaupun pihak Persatuan Palang Merah China segera mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan sebarang pertalian darah atau kaitan rasmi dengan Guo, imej badan kebajikan itu terjejas teruk. Kepercayaan awam terhadap badan amal di China merosot mendadak selama bertahun-tahun akibat kontroversi ini.Di sebalik topeng kekayaan dan pengaruh media sosial, siasatan pihak berkuasa mendedahkan bahawa sumber kewangan Guo sebenarnya dijana melalui cara yang salah di sisi undang-undang.

      Pada Julai 2014 yakni ketika temasya Piala Dunia sedang berlangsung, pihak polis Beijing telah menyerbu sebuah premis kediaman mewah yang disewa oleh Guo dan menahannya atas kesalahan menganjurkan aktiviti perjudian bola sepak secara haram dan menjalankan kasino persendirian. Dalam siasatan televisyen negara yang menyusuli penangkapan itu, Guo mengaku bahawa dia sebenarnya menyara gaya hidup mewahnya dengan menjadi teman kepada lelaki-lelaki kaya selain menganjurkan permainan poker haram bertaruh tinggi di pangsapuri mewah di Beijing yang menjana pulangan lumayan secara haram. Pada September 2015, mahkamah Beijing secara rasmi menjatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun ke atasnya.


     Pada Julai 2019, Guo Meimei dibebaskan dari penjara setelah melengkapkan tempoh pemenjaraannya. Keluar dari penjara, dia cuba membina semula imejnya dengan menjalani pembedahan plastik, menukar haluan kerjaya dan kembali aktif di platform media sosial untuk meraih semula status sebagai pempengaruh. Namun tabiat lama mengejar kemewahan segera membawanya kembali ke lembah jenayah. Pada Disember 2020, pihak polis Shanghai menerima maklumat risikan mengenai sindiket penjualan produk diet dan pil kurus tiruan yang mengandungi bahan kimia terlarang di internet.

     ,Siasatan mendapati Guo bersama rakan sekutunya telah menghasilkan gula-gula dan pil kurus murah yang kos pembuatannya hanya beberapa sen tetapi dijual semula pada harga tinggi mencecah puluhan yuan. Lebih membimbangkan, produk tersebut mengandungi bahan terlarang bernama sibutramine yakni sejenis bahan perangsang selera makan yang diharamkan di China dan banyak negara kerana boleh menyebabkan risiko strok, masalah kardiovaskular dan kerosakan jantung yang serius.


    Pada 18 Mac 2021, polis Beijing berjaya menahan semula Guo Meimei bersama puluhan suspek lain dalam serbuan berskala besar yang melumpuhkan rangkaian pengedaran produk berbahaya tersebut. Pada Oktober 2021, Mahkamah Rakyat Daerah Chaoyang di Beijing menjatuhkan hukuman penjara selama 30 bulan (2 tahun setengah) ke atas Guo atas kesalahan menghasilkan dan menjual produk makanan serta ubat-ubatan toksik yang membahayakan kesihatan awam. 


Catat Ulasan for "BANGGA PAMER KEMEWAHAN DI MEDIA SOSIAL, INI NASIB INFLUENCER CHINA INI"