Hukuman Mati Christa Pike Gagal: Banduan Masih Bernyawa Selepas Disuntik, Dikejarkan ke Hospital


     AMERIKA SYARIKAT— Pelaksanaan hukuman mati terhadap Christa Pike iaitu wanita pertama yang dijatuhi hukuman mati di negeri Tennessee dalam tempoh lebih dua abad berdepan dengan detik cemas dan kontroversi luar biasa apabila prosedur suntikan maut yang dijalankan ke atasnya dilaporkan gagal.

     Kejadian yang berlaku di Penjara Keselamatan Maksimum Riverbend itu menarik tumpuan media antarabangsa selepas Pike, 50 tahun didapati masih bernyawa dan berdengkur di atas pengusung meskipun telah diberikan dua dos ubat penenang maut jenis pentobarbital.

     Menurut laporan rasmi dan keterangan saksi media di lokasi kejadian, prosiding bermula dalam keadaan tegang susulan pergelutan undang-undang saat-saat akhir di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Agung Amerika Syarikat. Sebaik tirai bilik saksi dibuka pada lewat petang Rabu, Pike sempat melafazkan kata-kata terakhir bahawa beliau berada dalam keadaan tenang dan reda meninggalkan dunia. 

      Namun selepas dos kedua pentobarbital disuntik, keadaan mula menunjukkan kelainan yang mencemaskan. Pemerhati media melaporkan bahawa Pike masih sedar pada peringkat awal, mengangkat kepalanya bahkan sempat bertanya sama ada lengannya sepatutnya berasa begitu. Lebih mengejutkan, pengamal media dan saksi terus mendengar suara dengkuran dari arah bilik pelaksanaan selama lebih 40 minit selepas dos berkenaan diberikan sebelum mikrofon bilik tersebut ditutup secara rasmi. 

      Melihatkan prosedur yang menyimpang daripada jangkaan normal itu serta bantahan keras barisan peguam yang menyifatkan mangsa berada dalam keseksaan yang tidak sepatutnya (unnecessary agony), pihak berkuasa penjara akhirnya menghentikan proses berkenaan. Pike segera dikejarkan keluar dari penjara menggunakan kenderaan kecemasan ke sebuah fasiliti perubatan luar bagi mendapatkan rawatan lanjut. Sejurus selepas kejadian itu, Gabenor Tennessee mengambil tindakan menggantung sementara pelaksanaan hukuman mati di negeri tersebut. 


     Kes Christa Pike sejak dari awal lagi mencetuskan kontroversi dalam sistem perundangan Amerika Syarikat. Beliau disabitkan dengan kesalahan membunuh rakan sekelasnya, Colleen Slemmer pada tahun 1995 ketika usianya baru mencecah 18 tahun. Walaupun tidak pernah menafikan pembabitan dalam jenayah tersebut, pihak pembelaan dan badan hak asasi manusia konsisten merayu agar hukumannya diringankan atas faktor kecederaan otak sejak lahir, sejarah penderaan seksual ketika kecil serta masalah kesihatan mental yang serius. 

      Kegagalan pelaksanaan hukuman ini turut menambah senarai hitam ketidakcekapan protokol hukuman mati di Tennessee selepas kes serupa berlaku beberapa bulan lalu membabitkan seorang lagi banduan. Setakat ini, pihak pentadbiran penjara dan pejabat peguam negara masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi terperinci mengenai status kesihatan terkini Pike di hospital serta langkah susulan perundangan yang akan diambil. Bacaan terdahulu tentang kisah Christa Pike ini boleh baca di sini:  Kisah Christa Pike

Catat Ulasan for "Hukuman Mati Christa Pike Gagal: Banduan Masih Bernyawa Selepas Disuntik, Dikejarkan ke Hospital"