Neraka 5 Hari: Kisah Ngeri Emiliane Diseksa Bekas Suami Sendiri

      Keganasan rumah tangga dan sikap taksub yang melampau sering kali bermula daripada tanda-tanda kecil yang tidak diendahkan sebelum bertukar menjadi igauan ngeri. Artikel kali ini menceritakan penderitaan ngeri yang dialami oleh seorang wanita bernama Emiliane Tamara Nunes Carvalho di Brazil. Dia telah menjadi mangsa penculikan, penderaan dan kurungan salah yang kejam oleh bekas suaminya sendiri, Aylton Rodrigues selepas berani menuntut kebebasan hidup daripada ikatan perkahwinan yang toksik.

     Emiliane mula menjalinkan hubungan dengan Aylton Rodrigues pada tahun 2020 ketika usianya baru mencecah 18 tahun. Emiliane pada mulanya melihat hubungan tersebut akan menjadi bahagia. Namun hanya selepas beberapa bulan berpasangan, sisi gelap Aylton mula terserlah. Sikapnya yang terlampau cemburu buta dan gemar mengawal mula mengehadkan ruang gerak Emiliane bermula daripada menetapkan jadual harian, menentukan tempat bergaul hinggalah memaksa wanita itu menukar pusat senaman kepada lokasi yang lebih kecil khusus untuk wanita.

     Meskipun pernah mendapatkan perintah perlindungan pada penghujung tahun 2020 akibat tekanan mental, hubungan itu tetap diteruskan kerana Emiliane terperangkap dalam pergantungan emosi yang mendalam selain ditambah dengan harapan bahawa pasangannya itu akan berubah suatu hari nanti. Hubungan yang sarat dengan unsur ugutan dan kawalan ketat itu akhirnya berlanjutan ke alam perkahwinan. Sepanjang enam tahun hidup bersama, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata. Namun kemuncak ketabahannya tercapai pada Disember 2025 apabila Emiliane membuat keputusan nekad untuk menuntut penceraian demi menyelamatkan masa depan diri serta anak-anaknya.

      Keputusan untuk berpisah tidak serta-merta memutuskan cengkaman Aylton terhadap Emiliane. Urusan berkaitan perniagaan minuman yang pernah diusahakan bersama serta tanggungjawab terhadap dua anak mereka memaksa komunikasi antara kedua-dua pihak terus berjalan. Malangnya, ruang komunikasi ini sering disalahgunakan oleh Alyton yang masih berusaha mengajak Emiliane untuk rujuk semula Segala penolakan daripada Emiliane dibalas dengan pelbagai bentuk gangguan terancang termasuklah kerosakan pada kamera litar tertutup (CCTV) rumah serta sabotaj pada komponen kenderaan mangsa.

      Memasuki pertengahan Ogos 2026, ketegangan antara mereka memuncak menjelang tarikh persidangan rasmi berkaitan tuntutan nafkah anak yang ditetapkan pada 18 Ogos. Sehari sebelum prosiding penting itu berlangsung, iaitu pada Isnin, 17 Ogos 2026, Emiliane dan Aylton bersetuju untuk bertemu bagi menyelesaikan urusan terakhir mereka di sebuah premis perniagaan minuman milik suspek. Tanpa dijangka, pertemuan tersebut menjadi titik permulaan kepada satu kejadian penculikan yang dirancang rapi. Di dalam premis tersebut, Aylton sekali lagi mendesak Emiliane untuk kembali meneruskan hubungan mereka. Ketegasan Emiliane menolak pelawaan itu mengubah suasana menjadi tegang sebelum Alyton melancarkan tindakan agresif.

     Apabila rayuannya tidak diendahkan, Aylton bertindak membawa Emiliane ke bahagian belakang premis sebelum menyuntik sejenis ubat penenang berdos tinggi iaitu klonazepam ke dalam tubuh Emiliane. Dalam keadaan separuh sedar dan hilang daya fizikal, Emiliane dilarikan menggunakan kenderaan ke sebuah rumah sewa terpencil. Rumah berkenaan rupanya telah disiapkan lebih awal dengan pelbagai halangan pada pintu, tingkap, lengkap berserta bekalan makanan, ubat-ubatan, gari, tali, rantai besi serta selaras pistol kaliber 9 mm.

    Selama lima hari berturut-turut, Emiliane mengalami penderaan fizikal dan seksual yang amat berat di dalam sebuah bilik yang gelap. Dia dikurung dalam keadaan kedua-dua tangannya diikat menggunakan tali dan gari, kakinya dirantai manakala bahagian lehernya diikat pada katil. Alyton turut mmenutup muka mangsa yang menyebabkannya sukar bernafas dan hidup dalam ketakutan yang amat sangat. Sepanjang tempoh itu, Aylton turut memaksa Emiliane menulis sepucuk surat kepada keluarganya bagi menyamar seolah-olah dia berada dalam keadaan selamat dan melarang sesiapa daripada menghubungi pihak polis diiringi dengan ancaman bunuh jika perintah itu diingkari.


     Kehilangan Emiliane yang gagal menghadirkan diri ke mahkamah pada keesokan harinya segera mencetuskan panik dalam kalangan ahli keluarga yang kemudian membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa. Gerakan memburu Alyton dijalankan secara besar-besaran oleh pihak polis Brazil. Pada 21 Ogos 2026, pihak polis berjaya mengesan kenderaan baharu yang dipandu oleh Aylton. Walaupun sempat cuba melarikan diri, dia berjaya ditahan sebelum polis menemui surat paksaan yang ditulis oleh mangsa di dalam keretanya.

    Berbekalkan petunjuk tersebut, pihak berkuasa menyerbu rumah tempat Emiliane diculik. Selepas merempuh pintu hadapan dan mendengar suara rintihan lemah dari bilik belakang, polis bersama pasukan bomba terpaksa memotong rantai besi dan ikatan yang membelenggu tubuh Emiliane. Dia diselamatkan dalam keadaan fizikal yang amat lemah, mengalami kecederaan di bahagian bibir serta masih terkesan akibat lambakan ubat penenang dalam badannya. Emiliane segera dikejarkan ke hospital sebelum dipindahkan ke sebuah lokasi perlindungan selamat di Daerah Persekutuan bersama anak-anaknya.

     Sementara Emiliane kini perlahan-lahan membina semula keyakinan diri dan memulihkan trauma masa lalu, proses perundangan terhadap Aylton sedang berjalan di mahkamah. Suspek berdepan dengan himpunan pertuduhan berat termasuk penculikan, kurungan salah serta penderaan fizikal dan seksual yang boleh membawa hukuman penjara belasan tahun.

Catat Ulasan for "Neraka 5 Hari: Kisah Ngeri Emiliane Diseksa Bekas Suami Sendiri"