MAHASISWI DIROGOL DALAM UNIVERSITI


      INDIA: Sebuah universiti swasta terkemuka di India, Lovely Professional University (LPU) telah menggantung sesi kuliah selama 10 hari dan menangguhkan peperiksaan penting susulan rusuhan ganas yang tercetus akibat dakwaan kes rogol di dalam kampus yang masih belum disahkan kesahihannya.

     Kekecohan bermula pada awal pagi Ahad lepas apabila khabar angin mula tular menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp mengenai dakwaan seorang penuntut wanita dirogol oleh pekerja am seperti tukang paip atau buruh binaan di kawasan asrama universiti tersebut di negeri Punjab. Walaupun pihak pengurusan LPU menolak sekeras-kerasnya dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai palsu, ribuan penuntut panik dan mula meninggalkan kampus secara besar-besaran manakala ratusan yang lain turun melancarkan bantahan.

     Keadaan bertukar menjadi ganas apabila perhimpunan tersebut melimpah keluar ke Lebuhraya Kebangsaan 44 yang menghubungkan Delhi dan Punjab hingga menyebabkan laluan utama itu lumpuh selama lebih 15 jam. Semasa rusuhan berlaku, kenderaan serta harta benda universiti dibakar dan kenderaan polis diserang dengan dibaling batu sekali gus memaksa anggota keselamatan menggunakan kayu rotan untuk mengawal keadaan.

     Pihak polis memaklumkan bahawa mereka telah membuka kertas siasatan rasmi dan menubuhkan pasukan khas (SIT) yang dianggotai oleh tujuh pegawai bagi menyiasat kes berkenaan. Namun pihak berkuasa mengesahkan bahawa setakat ini tiada mangsa yang tampil membuat laporan, tiada identiti mangsa mahupun suspek dikenal pasti dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperiksa masih belum menemui sebarang bukti serangan fizikal.

    Selain isu dakwaan rogol, kekecohan itu turut diburukkan lagi dengan kehadiran individu luar yang menyusup masuk ke dalam kampus serta dakwaan wujudnya campur tangan pihak universiti terhadap kenyataan video beberapa penuntut bagi menafikan insiden terbabit. Susulan situasi tegang ini, pihak universiti mengarahkan para penuntut pulang ke pangkuan keluarga masing-masing demi keselamatan sementara siasatan lanjut berhubung kes rogol serta insiden kekacauan itu diteruskan oleh pihak polis.


Catat Ulasan for "MAHASISWI DIROGOL DALAM UNIVERSITI"