Kisah Blue Elisa Versi Taiwan: Terungkai atau Kekal Misteri?

Pada bulan Julai 2013 bertempat di Daerah Taoyuan, Taiwan, seorang gadis remaja berusia 16 tahun bernama Yang Yan-ling telah ditemui mati dalam keadaan misteri. Kes ini dikaitkan sebagai Kes Blue Elisa versi Taiwan iaitu hampir sama seperti kes kematian misteri Elisa Lam di Los Angeles.
Kejadian bermula pada pagi 30 Julai 2013 yakni ketika Yan-ling yang sedang bercuti sekolah merancang untuk membuat kek bersama ibunya bagi menyambut ulang tahun kelahiran datuknya. Pada sekitar jam 9:00 pagi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pangsapuri kediamannya merakamkan pergerakan terakhir gadis tersebut. Menerusi rakaman itu, Yan-ling dilihat keluar sebentar dan kembali ke bangunan kediaman. Namun detik paling menyeramkan berlaku apabila pintu lif terbuka, dia tiba-tiba berpusing ke belakang dan menatap tajam ke arah koridor di belakangnya dalam tempoh yang agak lama seolah-olah menyedari atau mengesyaki seseorang sedang mengekorinya. Setelah melangkah masuk ke dalam lif, dia langsung tidak kelihatan lagi dan hilang tanpa jejak.

Apabila ibunya pulang pada waktu tengah hari, Yan-ling tiada di rumah manakala dompetnya ditinggalkan di atas katil, sesuatu yang janggal bagi seorang remaja pada tahun 2013 kerana urusan pembelian memerlukan wang tunai. Selepas usaha mencari gagal membuahkan hasil, laporan polis dibuat. Sehari kemudian iaitu pada petang 31 Julai, mayat Yan-ling akhirnya ditemui terbaring dalam kawasan semak samun di bahagian luar bangunan pangsapuri tersebut oleh seorang jiran yang sedang menyidai pakaian. Apa yang lebih membingungkan, mayat mangsa ditemui dalam keadaan memegang sebilah pisau kecil di tangan kanannya manakala telefon bimbitnya terpelanting berdekatan dengan paparan skrin yang memaparkan panggilan tak dijawab daripada ibunya.

Siasatan kes ini berdepan jalan buntu apabila dua orang pakar forensik terkenal di Taiwan mengeluarkan pendapat dan kesimpulan yang bercanggah sama sekali. Pakar forensik terkenal, Kao Da-chen mengetengahkan pelbagai kejanggalan fizikal seperti kesan calar pada lengan mangsa, kesan DNA lelaki yang tidak dikenali di celah kuku mangsa serta jarak jatuhnya mayat yang berada sejauh 3.6 meter dari dinding bangunan. Hal ini membayangkan mangsa mungkin bukan terjun sendiri tetapi sebaliknya ditolak oleh tenaga luar. Tambahan pula, kedudukan tapak kaki di bumbung bangunan menunjukkan hujung kasut mangsa menghadap ke arah dalam (membelakangkan luar) bertentangan dengan kebiasaan individu yang ingin terjun bunuh diri. Sementara itu, pakar forensik Xiao Kai-ping pula berpendapat kes ini lebih menjurus kepada perbuatan membunuh diri mengambil kira faktor mesej berbaur tekanan emosi yang dihantar oleh mangsa kepada rakan dan teman lelakinya sebelum kejadian selain berpendapat kesan pada badan mangsa mungkin terhasil akibat geseran struktur bangunan ketika terjatuh.

Pihak berkuasa akhirnya menutup kes ini dengan mengambil keputusan rasmi bahawa mangsa mati akibat membunuh diri dari tempat tinggi, berlandaskan faktor tekanan peribadi serta perselisihan faham keluarga sebelum kejadian. Ibu Yan-ling, Chen Yu-chun bersama ahli keluarga bagaimanapun menolak sebulat suara keputusan tersebut. Mereka bertegas bahawa Yan-ling seorang ceria yang tidak mungkin membunuh diri pada hari penting keluarganya. Keluarga Yan-ling turut menuntut agar siasatan mendalam serta perbandingan DNA menyeluruh dijalankan terhadap penduduk lelaki di bangunan itu. Akibat ketidakpuasan hati ini, keluarga Yan-ling memilih untuk tidak mengebumikan mayat mendiang buat satu tempoh yang lama demi memperjuangkan keadilan. Hingga pada hari ini, kes ini masih lagi kekal misteri.
Catat Ulasan for "Kisah Blue Elisa Versi Taiwan: Terungkai atau Kekal Misteri? "