Kisah Pembunuhan Kejam Elliot Eastman

     Elliot Eastman merupakan seorang pemuda berusia 26 tahun yang aktif sebagai pencipta kandungan atau YouTuber. Didorong oleh rasa keinginan untuk merasai sendiri keindahan serta kehidupan di luar negara asalnya, Elliot telah membuat keputusan nekad untuk merantau jauh dari Amerika Syarikat menuju ke kepulauan Filipina.

     Pilihan destinasi Elliot telah membawanya ke kawasan Siocon yang terletak di wilayah Zamboanga del Norte. Walaupun wilayah tersebut terkenal dengan pemandangan alam semula jadi yang mempesonakan serta landskap pesisir pantai yang indah, ia juga memegang reputasi hitam sebagai sebuah zon yang sangat berbahaya. Malah, Jabatan Negara Amerika Syarikat sendiri pernah mengeluarkan amaran rasmi kepada pelancong dan rakyatnya agar mengelakkan diri daripada berkunjung ke rantau tersebut kerana diklasifikasikan sebagai zon merah yang berisiko tinggi. Walau bagaimanapun, semangat pengembaraan yang berkobar-kobar dalam diri Elliot menutup segala kebimbangan itu. Dia tetap tekad untuk meneruskan kehidupannya di sana.

     Semasa menetap di perkampungan tersebut, Elliot telah berkenalan dengan seorang wanita tempatan bernama Carriyal Yala. Walaupun wanita itu hanya bertutur dalam Bahasa Inggeris pada tahap yang terhad, ia sudah cukup untuk membolehkan mereka mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat. Hubungan cinta yang terjalin itu berkembang dengan pantas di mana Carriyal akhirnya membawa Elliot pulang ke kampung halamannya untuk diperkenalkan kepada ahli keluarga. Tidak lama selepas itu, pasangan tersebut melangsungkan perkahwinan.

     Bagi mendokumentasikan kehidupan barunya, Elliot mula aktif memuat naik video ke saluran YouTube miliknya selain kerap mengadakan siaran langsung atau live streaming melalui platform TikTok. Walaupun dia bukanlah seorang individu yang kaya-raya, perbezaan kos sara hidup yang rendah di kawasan itu membolehkannya menjalani kehidupan yang selesa menggunakan wang simpanan dolar Amerika yang dibawa bersama. Malah bagi menampung kehidupan seharian, dia sempat mengusahakan sebuah perniagaan kecil-kecilan iaitu sebuah kedai di tepi pantai. 

     Sebagai satu-satunya warga Amerika Syarikat yang menetap di kawasan terpencil itu, Elliot sendiri pernah beberapa kali meluahkan rasa kurang selesa dan kebimbangannya semasa sesi siaran langsung. Dia mengakui bahawa kawasan tersebut tidak selamat untuk warga asing. Lebih memburukkan keadaan, Elliot pernah mendedahkan secara terbuka bahawa dia sering membantu penduduk tempatan dengan meminjamkan wang tunai apabila mereka memerlukan bantuan kewangan. Tanpa disedari, tindakan jujur dan perkongsian maklumat terbuka itu telah membuka ruang kepada ancaman yang lebih besar sekali gus menjadi punca utama kepada kejadian malang yang bakal menimpanya.


      Ancaman keselamatan itu akhirnya bukan lagi hanya ramalan apabila kedai perniagaan milik Elliot mula menjadi sasaran kegiatan jenayah apabila ia dirompak oleh sekumpulan penjenayah tempatan. Selepas insiden tersebut, para pengikut dan penonton setianya di media sosial mula menyedari perubahan ketara pada tingkah laku Elliot di mana dia kelihatan semakin tertekan, cemas dan berasa terancam. Puncak kepada ketakutan itu berlaku pada malam 17 Oktober 2024, pada sekitar jam 10 malam yakni ketika Elliot sedang berehat di kediamannya bersama isterinya.

      Suasana malam yang tenang itu dicemari dengan kehadiran empat lelaki bersenjata yang menyamar sebagai anggota pihak polis. Tanpa belas kasihan, kumpulan penceroboh tersebut merempuh masuk ke dalam rumah lalu menyeret Elliot keluar secara paksa. Walaupun cuba bergelut untuk menyelamatkan diri, keadaan menjadi semakin runcing apabila salah seorang penculik melepaskan tembakan yang mengenai bahagian kaki dan abdomen mangsa. Dalam keadaan berlumuran darah dan parah, Elliot terus diheret ke pesisir pantai di mana sebuah bot telah diletakkan bersedia. Isterinya yang menyaksikan kejadian ngeri itu hanya mampu berdiri dalam keadaan kucar-kacir dan menjerit ketakutan tanpa sebarang daya untuk menolong.

      Sebaik sahaja Elliot ditarik masuk ke dalam bot, para penculik terus memecut laju ke tengah laut. Walaupun pihak polis bergegas melancarkan operasi memburu menggunakan bot pantas sejurus selepas menerima panggilan kecemasan, usaha tersebut gagal memintas suspek akibat kelewatan masa. Misteri di sebalik apa yang berlaku di atas bot itu akhirnya terbongkar selepas salah seorang daripada suspek penjenayah ditangkap oleh pihak berkuasa. Berdasarkan pengakuan suspek terbabit, Elliot bergelut demi mempertahankan nyawanya sepanjang perjalanan di laut. Namun akibat kecederaan parah serta kehilangan banyak darah, pemuda itu akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya. Setelah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia, kumpulan penjenayah terbabit telah bertindak kejam dengan membuang mayatnya ke dalam laut terbuka.

     Hasil siasatan awal pihak berkuasa mendedahkan bahawa motif utama penculikan tersebut adalah wang. Kumpulan penjenayah terbabit menyasarkan Elliot kerana beranggapan bahawa sebagai seorang warga Amerika Syarikat, dia memiliki kekayaan yang banyak. Walaupun pihak polis berjaya memberkas sebahagian daripada suspek yang terlibat dalam konspirasi jenayah tersebut tetapi hingga pada hari ini, mayat Elliot Eastman tidak pernah dijumpai.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Elliot Eastman"