Kes Kehilangan Audrey Backeberg: Misteri 63 Tahun yang Akhirnya Terungkai

Pada pagi 7 Julai 1962, bertempat di sebuah bandar kecil bernama Reedsburg di Wisconsin, Amerika Syarikat. Audrey Backeberg, seorang wanita muda berusia 20 tahun dan ibu kepada dua orang anak, secara tiba-tiba hilang tanpa sebarang jejak.
Audrey telah berkahwin dengan Ronald Backeberg ketika berusia sekitar 15 tahun, usia yang amat muda bagi seseorang untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Beberapa hari sebelum kehilangannya, Audrey membuat aduan kepada pihak polis bahawa dia telah dipukul oleh suaminya. Dalam kenyataannya, Audrey mendakwa bahawa Ronald bukan sahaja mendera secara fizikal malah pernah mengancam untuk membunuhnya.
Pada hari dia hilang, Audrey dilaporkan telah meninggalkan rumah bersama seorang pengasuh anak yang baru berusia 14 tahun. Mereka menaiki kenderaan tumpangan menuju ke bandar Madison sebelum menaiki bas Greyhound ke Indianapolis, Indiana. Ketika di hentian bas, pengasuh tersebut mengatakan bahawa Audrey berjalan menjauhi kawasan itu seorang diri dan tidak pernah kembali. Sejak itu, tiada siapa tahu ke mana Audrey pergi, sama ada dia hidup atau telah mati.
Tiada mayat ditemui, tiada saksi yang melihat apa-apa yang mencurigakan. Pihak berkuasa menganggapnya sebagai satu kes kehilangan yang tidak dapat diselesaikan, satu daripada ribuan kes "cold case" di Amerika Syarikat.
Selama bertahun-tahun, keluarga Audrey hidup dalam ketidaktentuan. Mereka tertanya-tanya – adakah Audrey diculik? Dibunuh? Atau adakah dia melarikan diri? Tiada jawapan yang mampu meredakan kerinduan dan kesedihan mereka. Kes ini tidak pernah ditutup secara rasmi tetapi penyiasatan juga tidak membuahkan hasil. Fail kesnya bagaimanapun kekal di arkib.
Enam dekad kemudian, Detektif Isaac Hanson daripada Pejabat Sheriff Daerah Sauk telah ditugaskan untuk menyemak semula beberapa kes lama. Salah satu kes yang menarik perhatiannya ialah kehilangan Audrey Backeberg. Dalam usahanya mencari jalan penyelesaian, dia menggunakan kaedah moden iaitu laman web genealogikal Ancestry.com untuk melihat kemungkinan padanan DNA atau hubungan kekeluargaan yang boleh dikaitkan dengan Audrey.
Menggunakan maklumat daripada akaun milik adik perempuan Audrey, detektif tersebut akhirnya menemui satu padanan DNA yang menunjukkan bahawa Audrey masih hidup dan tinggal di luar Wisconsin. Selepas disahkan melalui siasatan lanjut, pada tahun 2025 yakni hampir 63 tahun selepas kehilangannya, pihak berkuasa mengumumkan bahawa Audrey Backeberg masih hidup dengan kini berusia 82 tahunbdan dalam keadaan sihat. Siasatan mendapati bahawa Audrey tidak menjadi mangsa jenayah. Dia sebaliknya telah memilih untuk melarikan diri dari kehidupan yang penuh penderitaan. Audrey meninggalkan suami, anak-anak dan kehidupan lamanya demi mencari keselamatan dan kebebasan.
Difahamkan Audrey tidak membuat kenyataan awam dan identitinya kini dilindungi bagi menghormati privasi dan ketenangannya.
Catat Ulasan for "Kes Kehilangan Audrey Backeberg: Misteri 63 Tahun yang Akhirnya Terungkai"