Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

PEMUDA MAUT SELEPAS DIKURUNG KEKASIH SENDIRI SELAMA TIGA HARI


     INDONESIA — Seorang pemuda berusia 22 tahun yang dikenali sebagai Varhan ditemui maut dalam keadaan menyedihkan selepas dikurung dan dipercayai dianiaya oleh teman wanitanya sendiri iaitu Amanda, 21 tahun selama tiga hari di rumah keluarga gadis itu di Desa Lengkong Wetan, Kecamatan Sindangwangi, Kabupaten Majalengka.

     Menurut laporan polis, kejadian berlaku dari 30 April hingga 3 Mei 2025. Sepanjang tempoh tersebut, Varhan dikurung di dalam bilik tidur Amanda tanpa sebarang akses kepada dunia luar. Amanda yang juga seorang mahasiswi universiti swasta tempatan dipercayai bertindak mengurung mangsa akibat masalah dalam hubungan cinta mereka.
 
     Ketua Polis Resor Majalengka, AKBP Indra Novianto dalam sidang media berkata, hubungan antara Varhan dan Amanda telah terjalin sejak tiga tahun lalu namun hubungan itu dikatakan tidak sihat. Amanda dikatakan sangat cemburu dan posesif manakala Varhan pula dilaporkan sudah beberapa kali cuba menjarakkan diri serta ingin menamatkan hubungan tersebut.

Hasil siasatan mendapati, semasa dikurung, mangsa tidak menunjukkan sebarang usaha untuk melarikan diri atau meminta bantuan. Ini mungkin disebabkan oleh ketakutan atau tekanan emosi yang berat. Mangsa juga dipercayai telah dianiaya secara fizikal tetapi kita masih menunggu laporan lengkap bedah siasat untuk mengesahkan punca kematian,” ujarnya. 

     Polis turut memaklumkan bahawa Amanda tinggal bersama kedua ibu bapanya yang memiliki sebuah kedai runcit di bahagian hadapan rumah. Disebabkan kesibukan bekerja dan lokasi bilik tidur Amanda yang terletak di bahagian belakang rumah, ibu bapa Amanda tidak menyedari bahawa Varhan berada di dalam bilik tersebut selama beberapa hari.

     “Salah satu perkara yang mengejutkan kami ialah tiada siapa mendengar sebarang jeritan atau bunyi mencurigakan. Keadaan rumah yang agak tertutup dan kedudukan bilik yang terpisah mungkin menjadi faktor kenapa perkara ini tidak dikesan lebih awal,” tambah AKBP Indra.

     Siasatan juga mendedahkan bahawa Amanda mula menunjukkan tingkah laku tidak stabil beberapa minggu sebelum kejadian. Rakan-rakan rapat pasangan itu mendakwa Amanda sering mengugut Varhan agar tidak meninggalkannya serta ada yang menyatakan Amanda pernah mengancam akan mencederakan diri sendiri jika ditinggalkan.

     Pada hari ketiga dikurung, Amanda dilaporkan panik apabila mendapati Varhan tidak lagi sedarkan diri. Dia kemudian menghubungi pihak polis dan menyerahkan diri tanpa melarikan diri. Polis yang tiba di lokasi mendapati Varhan telah meninggal dunia, dipercayai akibat kecederaan dalaman.

     Pihak berkuasa kini menahan Amanda untuk siasatan lanjut dan akan menjalankan penilaian psikologi bagi menentukan sama ada suspek mengalami gangguan mental atau sebaliknya. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 351 Kanun Keseksaan Indonesia berkaitan penganiayaan yang menyebabkan kematian.
      
     Jenazah Varhan telah dihantar ke Hospital Umum Daerah Majalengka untuk bedah siasat. Keluarga mangsa masih dalam keadaan trauma dan enggan memberikan sebarang kenyataan kepada media buat masa ini. Polis masih meneruskan siasatan untuk melengkapkan kertas pertuduhan manakala Amanda dijangka akan didakwa di mahkamah pada masa terdekat.

Catat Ulasan for "PEMUDA MAUT SELEPAS DIKURUNG KEKASIH SENDIRI SELAMA TIGA HARI "