KISAH MISTERI KEHILANGAN LINA SARDAR KHIL

Lina Sardar Khil, seorang kanak-kanak perempuan berketurunan Afghanistan yang dilahirkan pada 20 Februari 2018. Dia merupakan anak kepada pasangan pelarian Afghanistan yang berpindah ke Amerika Syarikat di bawah program Special Immigrant Visa (SIV) yang diberikan kepada individu atau keluarga yang pernah membantu pihak tentera Amerika di Afghanistan khususnya semasa konflik yang berpanjangan antara kerajaan Afghanistan dan kumpulan militan Taliban. Bapa Lina iaitu Riaz Khil pernah terlibat sebagai kakitangan sokongan kepada tentera Amerika sebelum mereka berhijrah. Mereka tiba di Amerika pada tahun 2019 dan menetap di kompleks pangsapuri Villa Del Cabo di Fredericksburg Road, San Antonio, Texas.
Kompleks pangsapuri tersebut menjadi tempat tinggal bagi ramai keluarga pelarian dari pelbagai negarabtermasuk komuniti warga Afghanistan. Kehidupan keluarga Lina selepas berhijrah adalah sederhana. Walaupun berdepan cabaran dari segi penyesuaian budaya dan sosial, mereka dilaporkan menjalani kehidupan yang biasa dan tidak menunjukkan sebarang masalah sosial yang ketara. Lina dikenali sebagai seorang kanak-kanak yang periang dan sering bermain di kawasan taman permainan berhampiran rumah bersama kanak-kanak lain.
Pada 20 Disember 2021, sekitar jam 4:30 hingga 5:10 petang, Lina dibenarkan bermain di taman permainan dalam kawasan kompleks perumahan tersebut. Menurut kenyataan daripada ibunya, dia telah meninggalkan Lina di kawasan taman permainan seketika dan apabila dia kembali, Lina sudah tiada di situ. Kehilangan itu segera disedari dan keluarga Lina terus menghubungi pihak berkuasa untuk membuat laporan.

Polis San Antonio (SAPD) segera memulakan siasatan. Kes Lina diklasifikasikan sebagai kehilangan kanak-kanak secara mencurigakan. Pihak polis tidak menganggap ia sebagai kes hilang biasa kerana beberapa faktor mencurigakan termasuk ketiadaan saksi yang dapat mengesahkan pergerakan Lina selepas ibunya meninggalkannya. Usaha pencarian dijalankan secara intensif dengan bantuan FBI dan beberapa agensi lain. Pihak polis menggunakan pelbagai kaedah termasuk pencarian rumah ke rumah, penggunaan anjing pengesan, pencarian kawasan berpaya, longkang, kawasan berhutan kecil berhampiran serta penggunaan penyelam untuk memeriksa kawasan berair.
Pakaian terakhir yang dipakai oleh Lina ketika hilang adalah baju berwarna merah, jaket hitam dan kasut hitam. Ketinggiannya ketika itu sekitar 3 kaki (lebih kurang 1 meter) dan beratnya lebih kurang 55 paun (sekitar 25 kilogram). Sejak hari pertama, pelbagai usaha dilakukan tetapi tiada petunjuk sahih ditemui yang boleh menjelaskan keberadaan Lina.
Seiring dengan kes yang semakin mendapat perhatian media, pelbagai pihak tampil memberikan maklumat namun majoritinya tidak membantu siasatan. Ada juga laporan palsu yang menyebabkan sumber pihak berkuasa terpaksa digunakan pada lokasi yang tidak relevan. Pihak polis turut menerima ratusan petunjuk tetapi tiada satu pun yang membawa kepada penemuan Lina. Beberapa teori dikemukakan sepanjang siasatan seperti kemungkinan diculik oleh orang luar, diculik oleh individu dari komuniti sendiri , kemalangan dan sama ada motif politik atau peribadi. Pihak polis dan FBI bagaimanapun tidak mengesahkan mana-mana teori secara rasmi. Siasatan terbuka kepada pelbagai kemungkinan dengan pendekatan utama berasaskan penculikan.
Pelbagai organisasi tampil membantu keluarga Lina termasuk Eagles Flight Advocacy & Outreach yang diketuai oleh Pamela Allen. Organisasi ini telah menjalankan beberapa acara awam seperti perhimpunan solidariti, majlis bacaan doa dan peringatan hari lahir Lina setiap tahun bagi memastikan masyarakat tidak melupakan kes ini. Acara-acara ini turut disertai oleh komuniti setempat tanpa mengira latar belakang.

Pada tahun 2022 dan 2023, pihak berkuasa bekerjasama dengan National Center for Missing & Exploited Children (NCMEC) dan artis forensik Lois Gibson untuk menghasilkan gambar lakaran umur terkini Lina iaitu bagaimana wajahnya mungkin kelihatan selepas dua tahun. Gambar ini diedarkan kepada umum melalui media sosial, laman web dan siaran akhbar rasmi sebagai sebahagian daripada usaha pencarian.
Pada April 2023, bapa Lina, Riaz Khil secara sukarela menjalani ujian poligraf di pejabat FBI. Dia menafikan sebarang penglibatan dalam kehilangan anaknya. Ujian itu dijalankan bagi menjelaskan keraguan yang timbul dalam kalangan orang ramai. Pihak berkuasa tidak pernah menamakan ibu bapa Lina sebagai suspek namun dalam mana-mana kes kehilangan kanak-kanak, ahli keluarga terdekat tetap disiasat secara menyeluruh sebagai sebahagian daripada prosedur.
Sepanjang tempoh siasatan, terdapat juga laporan bahawa keluarga Lina menerima gangguan serta kecaman terutama dalam talian. Sesetengah pengguna media sosial membuat andaian yang tidak berasas mengenai status pelarian mereka dan menyebarkan teori konspirasi yang tidak disahkan. Walau bagaimanapun, pihak polis tidak mengesahkan sebarang kaitan antara kehilangan Lina dengan latar belakang etnik atau keagamaan keluarganya.

Pada peringkat awal, ganjaran kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang Lina bermula pada jumlah kecil. Namun sumbangan dari Islamic Center of San Antonio, organisasi Crime Stoppers dan penderma peribadi telah meningkatkan jumlah ganjaran sehingga USD 280 000. Pihak berkuasa berharap jumlah ini dapat menarik perhatian sesiapa yang mungkin mengetahui sesuatu tetapi masih belum tampil ke hadapan.
Sehingga kini, usaha pihak berkuasa masih diteruskan dan kes kehilangan Lina kekal dibuka tanpa sebarang perkembangan besar diumumkan secara rasmi. Dua orang pegawai penyiasat khusus dari SAPD masih ditugaskan sepenuh masa untuk kes ini dan kerjasama dengan FBI masih diteruskan. Pihak polis juga menyatakan mereka masih menerima petunjuk dari semasa ke semasa dan tidak pernah menutup fail kes.
Catat Ulasan for "KISAH MISTERI KEHILANGAN LINA SARDAR KHIL "