Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KA YANG : Wanita yang Bakar Bayi Sendiri Hidup-Hidup Dalam Microwave

     Ka Yang ialah seorang wanita Asia-Amerika berketurunan Hmong yang tinggal di Sacramento, California bersama suaminya dan bayi perempuan mereka yang baru lahir iaitu Mirabelle Thao-Lo. Ketika kejadian berlaku pada tahun 2011, Ka Yang berusia 29 tahun dan merupakan seorang suri rumah sepenuh masa. Apa yang tidak diketahui ramai ketika itu ialah Ka Yang sebenarnya mempunyai tiga orang anak lain hasil perkahwinan terdahulu sebelum kelahiran Mirabelle. Dia bagaimanapun telah kehilangan hak penjagaan terhadap ketiga-tiga anak itu akibat campur tangan pihak kebajikan kanak-kanak (Child Protective Services). Tindakan itu diambil kerana terdapat kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak tersebut semasa berada di bawah penjagaannya. 

     Pada 17 Mac 2011, Ka Yang menghubungi talian kecemasan 911 dalam keadaan panik. Dia memberitahu bahawa anak perempuannya, Mirabelle yang baru berusia enam minggu tidak bernafas. Ketika pasukan perubatan kecemasan tiba di kediaman mereka, mereka mendapati bayi itu sudah meninggal dunia. Apa yang mengejutkan ialah keadaan fizikal mayat bayi itu. Hampir keseluruhan tubuhnya melecur teruk. Luka melecur yang sangat ekstrem itu tidak menyerupai luka biasa akibat terkena air panas atau api. Terdapat kesan seperti terbakar dari dalam yang menimbulkan kebimbangan di kalangan petugas perubatan.

     Semasa disoal siasat oleh pihak polis, Ka Yang memberi penjelasan bahawa dia telah mengalami serangan epilepsi semasa menjaga anaknya. Ka Yang mendakwa sedang duduk di meja komputer ketika tiba-tiba diserang sawan lalu pengsan. Apabila sedar, dia mendapati anaknya sudah tidak sedarkan diri dan segera menghubungi bantuan. Ka Yang turut memaklumkan kepada penyiasat bahawa dia mempunyai sejarah epilepsi sejak remaja dan masih menjalani rawatan. Pihak berkuasa pada mulanya menganggap ia mungkin satu kejadian tanpa unsur jenayah tetapi keadaan fizikal bayi itu menyebabkan siasatan diteruskan secara lebih teliti.

     Bedah siasat mendapati bahawa punca kematian bayi itu adalah akibat pendedahan kepada suhu panas yang ekstrem. Namun apa yang lebih luar biasa ialah kerosakan pada organ dalaman bayi seperti hati dan otak. Kesan itu tidak selari dengan kecederaan biasa seperti terkena air panas atau terbakar secara luaran. Organ dalaman menunjukkan ciri-ciri seperti telah dimasak atau terbakar dari dalam. Pakar forensik menjelaskan bahawa ini hanya boleh berlaku jika bayi tersebut terdedah kepada gelombang mikro seperti yang dihasilkan oleh ketuhar gelombang mikro.


Siasatan kemudiannya tertumpu kepada dapur rumah Ka Yang. Pemeriksaan ketuhar gelombang mikro menemui kesan sisa tisu dan darah yang mengandungi DNA bayi. Penemuan ini menimbulkan kesimpulan yang sukar diterima. Bayi tersebut telah dimasukkan ke dalam ketuhar gelombang mikro dan dipanaskan hidup-hidup! Berdasarkan data penggunaan peranti komputer di rumah itu, penyiasat turut mendapati tiada sebarang gangguan sistem yang menunjukkan Ka Yang pengsan pada waktu yang didakwanya. Disebabkan itu, teori bahawa dia mengalami sawan dan tidak sedar semasa kejadian semakin diragui.


     Motif Ka Yang tidak pernah dijelaskan secara langsung oleh dirinya sendiri. Sepanjang siasatan dan proses undang-undang, dia tidak pernah mengaku sengaja membunuh bayinya. Walau bagaimanapun, pihak pendakwa percaya bahawa perbuatan itu dilakukan dengan niat atau sekurang-kurangnya dengan kesedaran penuh terhadap akibatnya. Mereka berhujah bahawa adalah mustahil seseorang yang diserang sawan boleh secara tidak sengaja meletakkan bayi dalam ketuhar sebelum menutup pintunya dan menekan butang pemanas. Tindakan itu jelas memerlukan satu siri pergerakan sedar. Malah pihak pendakwa menolak sebarang kemungkinan bahawa Ka Yang tidak tahu apa yang dia lakukan.

     Peguam pembelaannya pula cuba membangkitkan kemungkinan bahawa Ka Yang mengalami tekanan selepas bersalin atau gangguan mental yang belum dikenal pasti secara formal. Cuma tiada diagnosis sah yang menyokong dakwaan itu. Ka Yang juga tidak menunjukkan tanda-tanda psikotik atau halusinasi yang biasa dikaitkan dengan pembunuhan akibat gangguan mental. Susulan itu, hujah pembelaan tidak cukup kuat untuk menolak bukti forensik dan teknikal yang sangat jelas.

     Pada tahun 2016 yakni lima tahun selepas kejadian, Ka Yang akhirnya mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan utama iaitu pembunuhan tahap pertama dan penderaan kanak-kanak yang membawa maut. Pengakuan itu dibuat sebagai sebahagian daripada rundingan perjanjian dengan pihak pendakwa yang membolehkan dia mengelakkan perbicaraan penuh. Sebagai balasan kepada pengakuan bersalah itu, dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan pembebasan bersyarat (tanpa parol). Maka dengan hukuman ini, Ka Yang akan menghabiskan baki hidupnya di penjara.

Catat Ulasan for "KISAH KA YANG : Wanita yang Bakar Bayi Sendiri Hidup-Hidup Dalam Microwave"