KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MARISOL MACIAS CASTANEDA

Negara Mexico sememangnya terkenal dengan dunia jenayah terancang yang dikuasai oleh kartel dadah. Negara itu telah lama menjadi medan pertumpahan darah akibat persaingan kuasa antara kartel yang bukan sahaja membunuh sesama mereka tetapi turut menyasarkan wartawan, pegawai kerajaan dan orang awam yang dianggap mengganggu operasi mereka. Salah satu kes paling kejam dan menyayat hati berlaku pada tahun 2011, apabila seorang editor akhbar bernama Marisol Macias Castaneda dibunuh secara kejam oleh kartel Los Zetas hanya kerana keberaniannya menggunakan media sosial untuk mendedahkan aktiviti mereka.
Marisol yang berusia 39 tahun sewaktu kejadian bekerja sebagai editor untuk sebuah akhbar tempatan Primera Hora. Di samping kerjayanya sebagai wartawan, dia juga aktif menggunakan internet untuk memerangi pengaruh kartel di kawasan tempat tinggalnya. Marisol sering melaporkan aktiviti-aktiviti jenayah kartel melalui laman web Nuevo Laredo en Vivo, sebuah platform komuniti tempatan yang digunakan oleh penduduk bandar itu untuk berkongsi maklumat dan memberi amaran sesama sendiri mengenai pergerakan kartel. Dalam laman tersebut, Marisol menggunakan nama samaran La NenaDLaredo.
Malangnya, keberanian Marisol menentang jenayah tidak disenangi oleh pihak kartel. Pada pagi 24 September 2011, tubuh Marisol ditemui di tepi jalan raya berhampiran sebuah monumen awam di Nuevo Laredo. Tubuhnya yang tidak bernyawa dalam keadaan dipenggal kepala yakni satu amalan kejam yang sering digunakan kartel sebagai bentuk hukuman dan ancaman. Kepala Marisol diletakkan bersebelahan tubuh bersama papan kekunci komputer, tetikus dan sekeping nota yang mengandungi mesej ancaman. Nota itu bertulis, "OK Nuevo Laredo en Vivo dan Social Networks. Saya 'La Nena de Laredo' dan saya di sini kerana laporan saya dan laporan saya sendiri."
Mesej itu menjadi pengakuan paksa yang kononnya ditulis oleh Marisol tetapi dipercayai dipaksa atau ditulis oleh pihak kartel sebagai propaganda. Tindakan ini jelas sekali satu bentuk amaran kepada mana-mana pengguna internet atau wartawan yang cuba mendedahkan kegiatan haram kartel di media sosial atau dalam laporan berita.

Pihak berkuasa tempatan mengesahkan identiti Marisol melalui dokumen serta saksi dan berita mengenai pembunuhannya tersebar luas ke seluruh dunia. Banyak pertubuhan hak asasi manusia dan media antarabangsa menyuarakan kebimbangan terhadap tahap keselamatan wartawan di Mexico khususnya di kawasan yang dikuasai kartel.
Tragedi yang menimpa Marisol bukanlah satu kes terpencil. Hanya beberapa minggu sebelum kejadian ini, dua individu lain iaitu seorang lelaki dan seorang wanita turut ditemui digantung di jejantas di kawasan yang sama juga disyaki kerana menggunakan internet untuk mendedahkan kegiatan kartel. Walaupun identiti mereka tidak diketahui secara rasmi, kesemua pembunuhan ini dipercayai dilakukan oleh kartel Los Zetas, kumpulan yang terkenal dengan tindakan ekstrem dan kekejaman luar batas.
Los Zetas pada asalnya merupakan sekumpulan bekas anggota tentera elit yang berpaling tadah dan menjadi tentera upahan untuk kartel Gulf sebelum berpecah dan membentuk kartel mereka sendiri. Mereka dikenali dengan keupayaan logistik yang tinggi serta keberanian menggunakan kekerasan dalam bentuk paling sadis seperti penggal kepala, bakar hidup-hidup dan pembunuhan terbuka di tempat awam.
Kematian Marisol telah memberikan kesan yang sangat mendalam. Ramai pengguna media sosial dan wartawan menghentikan sebarang bentuk pendedahan berkaitan kartel. Malah laman web Nuevo Laredo en Vivo turut menyaksikan penurunan mendadak dalam aktiviti selepas insiden tersebut. Ketakutan terhadap pembalasan oleh kartel menjadi nyata dan kepercayaan orang awam terhadap keselamatan mereka sendiri semakin pudar.
Hingga kini, tiada individu yang ditahan atau didakwa secara rasmi atas pembunuhan Marisol. Kes ini seperti kebanyakan kes lain di Mexico kekal dalam senarai kes tidak selesai (cold case). Pembunuhan Marisol menjadi amaran jelas bahawa di sesetengah kawasan di Mexico, kebenaran bukan sahaja berisiko tetapi bahkan juga boleh membawa maut. Marisol dikenang sebagai salah seorang daripada ramai wartawan yang telah membayar harga tertinggi kerana mempertahankan prinsip dan kebenaran.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MARISOL MACIAS CASTANEDA"