Remaja Maut Selepas Makan Kek Hari Jadi: Rakan Sendiri Didakwa Hantar Kek Beracun

BRAZIL - Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun iaitu Ana Luiza de Oliveira Neves telah meninggal dunia selepas memakan sepotong kek yang dipercayai mengandungi bahan beracun. Insiden ini berlaku di bandar Itapecerica da Serra, Sao Paulo.
Kejadian berlaku pada petang Sabtu, 31 Mei 2025 apabila Ana Luiza menerima sebuah kek melalui penghantar makanan bermotosikal. Kek tersebut dilengkapi dengan nota yang bertulis manis dan menggambarkan seolah-olah ia dihantar oleh seseorang yang mengaguminya secara rahsia. Nota tersebut bertulis, “Um mimo para a garota mais linda que ja vi,” yang membawa maksud “Satu hadiah kecil untuk gadis paling cantik yang pernah saya lihat.”
Tanpa menyedari ancaman di sebalik kejutan manis itu, Ana Luiza telah memakan sebahagian kek tersebut. Tidak lama selepas itu, dia mula mengalami simptom yang mencurigakan seperti muntah dan cirit-birit. Dia segera dikejarkan ke hospital dan diberi rawatan kecemasan sebelum dibenarkan pulang pada malam yang sama. Namun pada keesokan harinya (Ahad 1 Jun 2025), keadaan Ana Luiza menjadi semakin buruk. Simptom keracunan kembali menyerang dengan lebih teruk sehingga dia rebah dan mengalami kegagalan jantung sebelum sempat tiba ke hospital buat kali kedua. Usaha menyelamatkan Ana Luiza gagal dan dia disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Pihak polis yang menjalankan siasatan telah mengambil contoh kek untuk dihantar ke makmal forensik. Hasil ujian makmal mengesahkan bahawa kek tersebut mengandungi bahan berbahaya dikenali sebagai arsenik dioksida (arsenic oxide), sejenis racun yang boleh membawa maut dalam tempoh singkat jika diambil dalam jumlah tertentu.
Siasatan lanjut mendedahkan kejutan yang lebih mengejutkan. Kek itu sebenarnya dihantar oleh seorang lagi remaja perempuan berusia 17 tahun yang juga dikenali rapat oleh keluarga Ana Luiza. Remaja tersebut dipercayai mempunyai niat cemburu kerana kedua-duanya terlibat dalam hubungan dengan lelaki yang sama. Polis mendedahkan bahawa motif utama di sebalik pembunuhan itu ialah rasa cemburu dan dendam.
Menurut laporan, suspek dipercayai membeli arsenik secara dalam talian dengan harga sekitar R$80 (sekitar RM70) dan kemudian membayar seorang penghantar makanan untuk menghantar kek itu ke rumah Ana Luiza dengan bayaran sekitar R$5. Suspek dilaporkan turut menulis sendiri nota romantis tersebut untuk mengaburi mangsa dan orang sekeliling. Lebih menyedihkan, selepas Ana Luiza meninggal dunia, suspek didapati datang menziarahi keluarga mangsa dan memeluk bapa Ana Luiza seolah-olah tidak bersalah.

Dalam kenyataan kepada media, bapa Ana Luiza yang dikenali sebagai Silvio Ferreira das Neves berkata dia amat terkejut dan tidak menyangka bahawa seseorang yang begitu dipercayai dan rapat dengan keluarganya sanggup melakukan perbuatan sekejam itu. “Dia datang dan peluk saya selepas Ana meninggal dunia. Saya tak tahu bahawa dia sebenarnya pembunuh anak saya,” katanya dengan nada sebak.
Polis turut mendedahkan bahawa suspek pernah cuba meracuni seorang remaja perempuan lain di kawasan itu menggunakan kaedah yang sama tetapi mangsa sebelum ini hanya mengalami muntah dan sempat pulih. Suspek kini ditahan di Fundacao Casa, sebuah institusi tahanan untuk pesalah juvana di Brazil. Di bawah undang-undang perlindungan kanak-kanak dan remaja Brazil, seseorang remaja berusia antara 12 hingga 18 tahun yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penahanan maksimum tiga tahun tertakluk kepada penilaian semula secara berkala setiap enam bulan.
Pihak pendakwaan sedang menimbangkan untuk mendakwa suspek di bawah seksyen pembunuhan dengan niat atas alasan motif yang keji serta cara yang terselindung.
Catat Ulasan for "Remaja Maut Selepas Makan Kek Hari Jadi: Rakan Sendiri Didakwa Hantar Kek Beracun"