KISAH KEMATIAN TYPHAINE TATON YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN

Kes tragis melibatkan Typhaine Taton, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dari Maubeuge, Perancis telah menggemparkan negara itu pada tahun 2009. Apa yang pada awalnya kelihatan seperti satu kes kehilangan kanak-kanak secara misteri rupa-rupanya terbongkar sebagai satu penderaan kejam oleh orang tuanya sendiri.
Typhaine Taton dilahirkan pada 6 April 2004 dan tinggal bersama ibunya iaitu Anne-Sophie Faucheur selepas berpisah dengan bapa kandung. Beberapa tahun kemudian, ibu Typhaine menjalin hubungan dengan seorang lelaki bernama Nicolas Willot. Mereka kemudian berpindah dan menetap bersama di Leval, sebuah pekan kecil berhampiran sempadan Belgium. Menurut laporan, hubungan antara Typhaine dan ibunya mulai tegang apabila ibu kandungnya lebih memberi perhatian kepada adik tiri Typhaine, anak hasil hubungan dengan Nicolas Willot. Keadaan ini dipercayai mencetuskan rasa tidak suka terhadap Typhaine dan menjadi permulaan kepada penderaan yang berterusan.

Apa yang menambah tragik ialah keputusan Anne-Sophie untuk mengeluarkan Typhaine daripada sistem persekolahan pada 22 Januari 2009 kononnya atas alasan ingin menjaga anak-anak sendiri di rumah. Sepanjang tempoh itu, tiada sebarang pemantauan lanjut dilakukan oleh pihak sekolah atau agensi kebajikan kanak-kanak walaupun pelajar berusia lima tahun sepatutnya diwajibkan hadir ke tadika. Dalam laporan perbicaraan, dinyatakan bahawa Typhaine dipukul hampir setiap hari, dikurung dalam bilik gelap dan tidak diberi makan secukupnya.
Pada 18 Jun 2009 yakni kira-kira lima bulan selepas Typhaine tidak lagi hadir ke tadika, ibunya dan pasangan tampil membuat laporan polis. Mereka mendakwa Typhaine hilang ketika berjalan berseorangan di sekitar pusat bandar Maubeuge. Pihak berkuasa segera melancarkan operasi besar-besaran bagi mencari Typhaine termasuk menggunakan anjing pengesan, pasukan penyelam, dan bantuan daripada penduduk setempat.

Namun sejak daripada awal lagi, pihak penyiasat mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena. Polis mendapati terdapat banyak percanggahan dalam kenyataan Anne-Sophie dan Nicolas terutamanya mengenai masa serta lokasi terakhir mereka melihat Typhaine. Dalam satu insiden, saluran televisyen France 3 dikecam hebat selepas menyiarkan berita palsu mendakwa mayat Typhaine ditemui di dalam air, berdasarkan maklumat daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai wartawan.
Setelah siasatan intensif dilakukan selama beberapa bulan, tekanan terhadap ibu dan bapa tiri Typhaine semakin meningkat. Pada akhir November 2009, pasangan itu akhirnya membuat pengakuan mengejutkan. Mereka mengaku telah membunuh Typhaine pada 10 Jun 2009, lapan hari sebelum membuat laporan kehilangan. Dalam pengakuan itu, mereka memberitahu bahawa Typhaine telah dipukul secara ganas oleh ibunya sendiri sehingga tidak sedarkan diri. Mereka memilih untuk membiar Typhaine mati tanpa rawatan daripada membawanya ke hospital. Setelah dia meninggal dunia, pasangan itu membawa mayat Typhaine ke sebuah kawasan hutan terpencil di Loverval, Belgium lalu mengebumikannya secara sembunyi.

Pada 9 Disember 2009, hasil maklumat daripada pasangan itu sendiri, pihak polis berjaya menemui mayat Typhaine dalam keadaan reput di mana dia tertanam dalam tanah cetek. Hasil bedah siasat mengesahkan bahawa Typhaine mengalami kecederaan fizikal yang konsisten dengan penderaan berpanjangan. Kepalanya mengalami trauma tumpul, terdapat kesan patah tulang dan tubuhnya mengalami kekurangan zat makanan yang kronik. Penemuan ini membuktikan bahawa Typhaine bukan sahaja dibunuh tetapi turut didera dalam jangka masa yang panjang sebelum kematiannya.
Pada Januari 2013, perbicaraan kes ini berlangsung di Mahkamah Assize di Douai, utara Perancis. Anne-Sophie Faucheur dan Nicolas Willot dituduh melakukan pembunuhan kejam terhadap kanak-kanak serta penderaan yang membawa maut. Dalam perbicaraan tersebut, peguam pendakwa menekankan bahawa tindakan mereka bukan hanya dilakukan dalam keadaan marah sesaat tetapi sebagai satu corak penderaan sistematik yang disengajakan. Pihak pembela pula cuba mengemukakan hujah bahawa pasangan itu berada dalam tekanan mental dan tidak berniat untuk membunuh.
Walau bagaimanapun, juri dan hakim tidak menerima pembelaan tersebut. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadap kedua-duanya dengan syarat mereka perlu menjalani sekurang-kurangnya 20 tahun sebelum layak memohon pembebasan bersyarat. Keputusan ini dianggap sebagai satu bentuk keadilan untuk Typhaine meskipun ramai berpendapat bahawa tiada hukuman yang cukup untuk menebus kehilangan nyawa seorang kanak-kanak yang tidak berdosa.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN TYPHAINE TATON YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN"