Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Bayi Hilang Tiga Hari Ditemui Meninggal Dunia di Hadapan Masjid

     INDONESIA – Seorang bayi lelaki berusia hampir dua tahun iaitu Rafa Fauzan yang sebelum ini dilaporkan hilang secara misteri dari rumah pengasuhnya di Singkawang Tengah, Kalimantan Barat telah ditemui meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati di hadapan sebuah masjid pada awal pagi Jumaat. 

     Menurut sumber polis, Rafa dilaporkan hilang pada 10 Jun 2025 sekitar jam 11.30 pagi dari rumah pengasuhnya yang terletak di Gang Kapas, Jalan R.A. Kartini, kawasan Singkawang Tengah. Kehilangan bayi itu disedari setelah pengasuh tidak dapat mengesannya di sekitar kawasan rumah. Keluarga Rafa yang menyedari kehilangannya terus membuat laporan kepada pihak berkuasa sekali gus mencetuskan usaha pencarian besar-besaran oleh penduduk kampung dan pihak polis.

   BbSelama tiga hari berikutnya, pasukan polis dan sukarelawan menjalankan operasi pencarian secara intensif termasuk bantuan unit anjing pengesan (K-9) dari Polda Kalimantan Barat. Pelbagai lokasi termasuk semak samun, parit, rumah-rumah kosong dan kawasan sekitar turut diperiksa. Usaha tersebut bagaimanapun masih gagal menemui petunjuk mengenai keberadaan bayi tersebut.

     Namun pada pagi 13 Jun 2025, yakni sekitar jam 4.00 hingga 5.00 pagi waktu tempatan, seorang penduduk yang ingin menunaikan solat Subuh di Masjid Husnul Khatimah yang terletak kira-kira 3 kilometer dari lokasi Rafa dilaporkan hilang telah menemui satu tubuh kecil yang terbaring di hadapan pintu utama masjid. Penemuan tersebut mengejutkan penduduk dan setelah disahkan oleh pihak polis, mayat tersebut dikenal pasti sebagai Rafa Fauzan.

     Menurut kenyataan rasmi dari pihak polis, mayat Rafa berada dalam keadaan lengkap berpakaian dan dipercayai telah meninggal dunia sebelum diletakkan di lokasi tersebut. Keadaan tubuh tidak menunjukkan tanda-tanda reput yang jelas, menimbulkan syak wasangka bahawa mayat bayi itu mungkin baru dipindahkan ke kawasan tersebut dan berkemungkinan besar kematiannya tidak berlaku di situ. Ini sekaligus menimbulkan kemungkinan bahawa bayi itu telah menjadi mangsa pembunuhan dan tubuhnya dipindahkan oleh pelaku untuk mengaburi jejak.

     Beberapa barangan milik mangsa termasuk pakaian dan lampin telah ditemui dan diambil sebagai bahan bukti oleh pihak penyiasat. Walau bagaimanapun, keluarga Rafa dilaporkan menolak permintaan untuk menjalankan bedah siasat ke atas jenazah anak mereka atas alasan telah reda dan menerima ketentuan takdir. Pihak polis menyatakan bahawa siasatan tetap diteruskan demi keadilan untuk mangsa.

     Hingga setakat ini, beberapa orang saksi termasuk pengasuh bayi, jiran tetangga dan individu yang menemui mayat telah dipanggil untuk memberi keterangan. Pihak polis juga sedang meneliti rakaman CCTV yang berada di sekitar masjid dan lokasi-lokasi strategik bagi mencari petunjuk tambahan.

     Ketua Polis Singkawang dalam kenyataannya menyebutkan bahawa kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mencurigakan dan usaha sedang dilakukan untuk mengenal pasti pelaku yang bertanggungjawab membawa mayat Rafa ke masjid tersebut. “Kami sedang giat mengesan kemungkinan motif serta pihak yang terlibat. Tidak menolak kemungkinan ia melibatkan unsur jenayah,” katanya.

Catat Ulasan for "Bayi Hilang Tiga Hari Ditemui Meninggal Dunia di Hadapan Masjid"