Kisah Benar Michelle Wilkins dan Dynel Lane: Wanita Hamil Diserang dan Bayinya Dikeluarkan Secara Paksa

Pada 18 Mac 2015, satu kejadian jenayah kejam telah berlaku di Longmont, Colorado, Amerika Syarikat membabitkan seorang wanita hamil bernama Michelle Wilkins dan seorang suspek bernama Dynel Lane. Michelle Wilkins yang ketika itu berusia 26 tahun sedang hamil tujuh bulan. Dia sedang membuat persiapan untuk menyambut kelahiran anak pertamanya. Dalam usahanya untuk mendapatkan barangan bayi dengan harga berpatutan, Michelle telah menemui satu iklan dalam laman web Craigslist. Iklan tersebut menawarkan beberapa barangan bayi untuk dijual dan Michelle menghubungi pemilik iklan tersebut yang memperkenalkan dirinya sebagai Dynel Lane.
Dynel Lane iaitu seorang wanita berusia 34 tahun merupakan bekas jururawat yang pernah bekerja dalam bidang perubatan namun telah berhenti kerja. Michelle dan Dynel tidak pernah saling mengenali sebelum itu. Mereka hanya berhubung melalui Craigslist dan setelah berbincang melalui mesej, Dynel telah menjemput Michelle ke rumahnya untuk melihat sendiri barangan bayi yang ingin dijual. Michelle bersetuju dan pergi seorang diri ke rumah Dynel yang terletak di kawasan kediaman Tenino Avenue.

Setibanya di rumah itu, Dynel menyambut Michelle dengan layanan mesra dan membawanya masuk ke dalam rumah. Mereka sempat berbual-bual dan Dynel menunjukkan beberapa pakaian serta aksesori bayi kepada Michelle. Namun tanpa diduga, pertemuan itu bertukar menjadi satu serangan fizikal. Dynel secara tiba-tiba menyerang Michelle dengan menolak, memukul dan mencekiknya sehingga Michelle tidak sedarkan diri. Setelah mangsa pengsan, Dynel kemudian bertindak membelah perut Michelle menggunakan pisau dapur dan mengeluarkan bayi yang masih belum dilahirkan dari rahim mangsa.
Tindakan ini bukan berlaku secara spontan. Siasatan kemudian mendapati bahawa Dynel telah lama merancang perbuatan ini. Beberapa bulan sebelum kejadian, Dynel berpura-pura hamil dan memberitahu keluarganya serta rakan-rakannya bahawa dia sedang mengandung. Malah Dynel turut memuat naik gambar-gambar berkaitan kehamilan di media sosial bagi menyokong dakwaannya. Cuma hakikatnya, dia tidak pernah mengandung. Motif Dynel ialah untuk mendapatkan seorang bayi bagi mengekalkan pembohongan terhadap pasangannya dan keluarganya, seolah-olah dia benar-benar sedang hamil.


Pihak polis kemudian menyiasat dan mengaitkan laporan dari hospital tempat Dynel membawa bayi dengan kejadian serangan ke atas Michelle. Ujian DNA mengesahkan bahawa bayi tersebut adalah anak kandung Michelle Wilkins dan bukan anak Dynel seperti yang didakwanya. Siasatan lanjut turut mendedahkan bahawa Dynel telah memalsukan kehamilan sejak beberapa bulan sebelum kejadian. Dia menyimpan gambar imbasan palsu, memakai pakaian yang membuatkan perutnya kelihatan hamil selain memberikan maklumat tidak benar kepada orang sekeliling.
Bayi yang dikeluarkan dari rahim Michelle didapati tidak hidup semasa dibawa ke hospital. Disebabkan undang-undang Colorado pada ketika itu tidak mengklasifikasikan bayi yang belum lahir sebagai individu di bawah undang-undang jenayah, Dynel tidak dapat didakwa atas pertuduhan membunuh bayi tersebut. Dynel bagaimanapun tetap didakwa atas beberapa kesalahan serius termasuk cubaan membunuh terhadap Michelle Wilkins, serangan bersenjata serta penculikan. Pada tahun 2016, Dynel didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama 100 tahun tanpa parol. Dalam prosiding mahkamah, hakim menyifatkan tindakan Dynel sebagai amat kejam, terancang dan tidak berperikemanusiaan. Tentang Michell pula, dia selamat dan masih hidup sehingga kini namun mengalami kesan trauma yang mendalam.
Catat Ulasan for "Kisah Benar Michelle Wilkins dan Dynel Lane: Wanita Hamil Diserang dan Bayinya Dikeluarkan Secara Paksa"