KISAH JUANA BARRAZA : Wanita Pembunuh Nenek Kecil

Juana Dayanara Barraza Samperio, yang dikenali dengan nama gelaran La Mataviejitas atau Pembunuh Nenek Kecil merupakan salah seorang pembunuh bersiri paling digeruni dalam sejarah jenayah Mexico. Juana lahir pada 27 Disember 1957 di Epazoyucan, Hidalgo, Mexico. Latar belakang hidup Juana yang dipenuhi dengan penderitaan, pengabaian dan trauma dipercayai menjadi punca kepada rangkaian pembunuhan kejam yang dilakukan olehnya terhadap wanita warga emas.
Sejak usia muda, hidup Juana sudah dihimpit derita. Dia dibesarkan oleh seorang ibu yang penagih alkohol dan melacurkannya kepada seorang lelaki dewasa ketika dia masih remaja, satu pengalaman yang dipercayai mencetuskan dendam mendalam terhadap wanita tua. Juana pada masa dewasa menyara hidup sebagai penjual barang kecil-kecilan dan juga ahli gusti profesional dalam arena gusti wanita Mexico. Dalam dunia gusti, dia dikenali sebagai La Dama del Silencio atau Wanita Senyap.

Bermula dari tahun 1998 hingga 2006, beberapa kes kematian wanita warga emas mula dilaporkan di Mexico City. Kesemua mangsa adalah wanita berusia 60 tahun ke atas yang ditemui mati di kediaman mereka dalam keadaan lemas atau dicekik menggunakan objek seperti tali, wayar, kain dan yang paling mengejutkan ialah stetoskop. Modus operandi pembunuh amat konsisten di mana Juana akan menyamar sebagai jururawat atau pegawai kebajikan kerajaan yang kononnya datang membantu mangsa sebelum menyerang mereka. Dia sering memanfaatkan kepercayaan warga emas terhadap pihak berkuasa dan penjaga kesihatan untuk masuk ke rumah mereka dengan mudah. Dalam kebanyakan kes, barang kemas dan dokumen berharga turut hilang menunjukkan wujudnya unsur rompakan selain pembunuhan.
Pihak berkuasa pada awalnya sukar mengesan pelaku. Satu daripada kegagalan besar pihak polis ialah andaian awal bahawa pembunuh adalah seorang lelaki berdasarkan keterangan saksi yang menyebut susuk tubuh pelaku kelihatan sasa dan berkumis yang sebenarnya menggambarkan fizikal Juana berotot kerana latar belakangnya sebagai ahli gusti. Siasatan menjadi bercelaru apabila pihak polis menahan beberapa lelaki transgender dan golongan penagih tanpa bukti kukuh. Kesilapan profil ini membolehkan Juana terus mengganas selama hampir satu dekad tanpa dihidu.

Kejayaan menahan Juana berlaku pada 25 Januari 2006 apabila dia dilihat melarikan diri dari rumah seorang wanita tua bernama Ana Maria de los Reyes Alfaro yang baru sahaja ditemui mati dicekik. Pihak polis yang kebetulan berada berhampiran lokasi jenayah berjaya menahannya dan menemui dokumen pengenalan serta barangan milik mangsa di dalam beg Juana. Penangkapannya merupakan satu kejutan besar kepada umum kerana identiti sebenar pembunuh bersiri ini bukan sahaja seorang wanita malah seorang ibu kepada empat orang anak.
Perbicaraan Juana Barraza menarik perhatian media. Dia mengaku bersalah atas satu pembunuhan tetapi menafikan terlibat dalam kes-kes lain. Walau bagaimanapun, pihak pendakwa raya mengemukakan bukti kukuh yang mengaitkannya dengan sekurang-kurangnya 16 kes pembunuhan dan beberapa kes cubaan membunuh serta rompakan. Pada 31 Mac 2008, Juana telah dijatuhi hukuman penjara 759 tahun. Undang-undang Mexico bagaimanapun mengehadkan tempoh maksimum penahanan kepada 60 tahun sekali gus menjadikan itu tempoh sebenar yang perlu dijalaninya.

Juana Barraza kini menjalani hukuman di Penjara Wanita Santa Martha Acatitla di Mexico City. Kehidupannya di penjara dilaporkan tenang dan aktif. Dia pernah berkahwin dengan seorang banduan lain pada tahun 2015, namun perkahwinan itu tidak bertahan lama. Di penjara, Juana turut dilaporkan terlibat dalam aktiviti penjara seperti menjual makanan dan bersenam, menunjukkan sisi dirinya yang berbeza berbanding kisah ngeri jenayah yang dilakukannya.
Catat Ulasan for "KISAH JUANA BARRAZA : Wanita Pembunuh Nenek Kecil"