Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH DINA SANICHAR YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN

     Pada awal tahun 1867, satu peristiwa luar biasa telah berlaku di kawasan hutan Bulandshahr, Uttar Pradesh, India yang pada ketika itu masih di bawah penjajahan British. Sekumpulan pemburu tempatan sedang meredah hutan tebal ketika mereka menyedari bahawa terdapat seekor serigala dewasa yang sering masuk dan keluar dari sebuah gua kecil di lereng bukit. Disebabkan rasa curiga dengan kelakuan pelik haiwan itu, mereka membuat keputusan untuk memeriksa gua tersebut. Setelah menunggu beberapa lama dan berjaya membunuh serigala berkenaan, mereka memasuki gua itu dan di situlah mereka menjumpai sesuatu yang amat mengejutkan iaitu seorang kanak-kanak lelaki kecil yang hidup bersama serigala.

     Kanak-kanak itu tidak berpakaian dan tubuhnya diliputi bulu halus seperti rambut yang tumbuh berlebihan. Dia merangkak dengan keempat-empat anggota badan, mengaum serta menunjukkan tanda-tanda ketakutan dan agresif terhadap manusia. Kanak-kanak tersebut menggigit, mengerang dan bersembunyi seperti seekor binatang liar selain tidak menunjukkan ciri-ciri sosial manusia biasa. Keadaan ini menyebabkan pemburu-pemburu berasa yakin bahawa kanak-kanak itu telah hidup dalam hutan sejak kecil dan telah dibesarkan oleh haiwan, kemungkinan besar serigala. Usianya pada masa itu dianggarkan sekitar 6 tahun.

     Selepas beberapa cubaan, pemburu berjaya menangkap kanak-kanak itu dan membawanya keluar dari hutan. Dia kemudian dibawa ke bandar Agra dan diserahkan kepada sebuah rumah anak yatim Kristian bernama Secundra Mission Orphanage yang diuruskan oleh mubaligh Eropah. Di situ, para penjaga memberikan nama Sanichar kepadanya, sempena hari dia ditemui iaitu Sabtu. Sanichar dalam bahasa Hindi atau Urdu bermaksud hari Sabtu. Nama asalnya, latar belakang keluarganya dan bagaimana dia boleh terpisah dari dunia manusia kekal tidak diketahui. 

     Tingkah laku Sanichar sepanjang tempoh awal di rumah anak yatim itu sangat luar biasa dan mengesahkan bahawa dia telah lama hidup bersama haiwan. Dia tidak tahu bercakap, tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadap percakapan manusia dan hanya mengeluarkan bunyi lolongan atau dengusan. Dia tidak mahu makan makanan masak dengan sebaliknya lebih suka memakan daging mentah. Tambahan pula, Sanichar tidak mahu memakai pakaian. Setiap kali dipakaikan, dia akan merobek dan menanggalkannya. Dia tidak tidur di atas katil kerana lebih suka berbaring di lantai seperti seekor binatang.

     Para mubaligh dan penjaga di rumah anak yatim cuba sedaya upaya untuk "memanusiakan" Sanichar. Mereka cuba mengajarnya cara makan, memakai pakaian, bercakap dan berinteraksi. Walau bagaimanapun, proses itu amat perlahan dan penuh cabaran. Sanichar sering bertindak agresif, tidak suka disentuh dan hanya duduk diam di sudut bilik. Dia juga tidak menunjukkan sebarang minat terhadap manusia lain. Doktor yang merawatnya pada masa itu menyatakan bahawa Sanichar mungkin telah mengalami kemerosotan fungsi kognitif akibat kurang pendedahan kepada bahasa dan sosialiti sejak kecil. Para penyelidik percaya bahawa tempoh kritikal perkembangan bahasa telah berlalu dan Sanichar tidak lagi mampu mempelajari bahasa seperti manusia normal. Namun selepas beberapa tahun, Sanichar mula menunjukkan sedikit perubahan. Dia mula memakai pakaian, minum menggunakan cawan dan berjalan secara perlahan-lahan dengan dua kaki. Dia bagaimanapun tetap tidak pernah dapat bercakap atau membina ayat. 

     Lebih mengejutkan tentang Sanichar ini ialah dia akhirnya menjadi perokok tegar. Tabiat ini dikatakan bermula apabila dia melihat anak-anak yatim lain atau penjaga dewasa merokok. Merokok pada akhir abad ke-19 adalah budaya yang sangat biasa dan ramai remaja melakukannya tanpa sebarang sekatan. Memandangkan Sanichar gemar meniru, dia akhirnya mengambil rokok dan mula menghisapnya. Lama-kelamaan, dia menjadi ketagih tembakau lalu mula bergantung kepada rokok sebagai rutin hariannya. Tabiat ini dipercayai menjadi salah satu bentuk mekanisme penenang untuknya menghadapi tekanan sosial dalam persekitaran yang terlalu asing.

     Sepanjang hidupnya, Sanichar tidak pernah kembali ke dunia luar. Dia terus tinggal di rumah anak yatim yang sama sehinggalah kematiannya pada tahun 1895 dipercayai akibat penyakit tuberkulosis (batuk kering). Ketika itu, usianya sekitar 34 hingga 35 tahun. Kisah hidupnya kemudian tersebar dalam kalangan saintis, antropologis dan ahli psikologi yang mengkaji fenomena feral children iaitu kanak-kanak yang membesar tanpa interaksi manusia dan dibesarkan oleh haiwan. Kisahnya turut dipercayai menjadi inspirasi kepada penulis British terkenal, Rudyard Kipling yang menerbitkan karya fiksyen The Jungle Book pada tahun 1894 hanya setahun sebelum kematian Sanichar. Watak Mowgli dalam cerita itu ialah seorang budak lelaki yang dibesarkan oleh serigala di hutan India dan berjaya hidup bersama manusia dan haiwan. 

Catat Ulasan for "KISAH DINA SANICHAR YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN "