Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Seorang Lelaki Warga UK Terselamat Dalam Nahas Udara Air India Yang Ragut 241 Nyawa


     INDIA – Seorang lelaki warganegara United Kingdom dikenal pasti sebagai satu-satunya mangsa yang terselamat dalam insiden pesawat Air India AI171 yang terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel, Ahmedabad kelmarin. Mangsa dikenali sebagai Vishwash Kumar Ramesh, 40 tahun, seorang lelaki keturunan India yang menetap di Leicester. Dia dipercayai berada dalam penerbangan pulang ke London Gatwick selepas melawat ahli keluarga di Gujarat.

     Menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa India, pesawat jenis Boeing 787-8 Dreamliner itu terhempas kira-kira 30 saat selepas berlepas pada ketinggian rendah sebelum melanggar kawasan perumahan dan bangunan kolej perubatan di pinggir bandar Ahmedabad. Seramai 241 orang termasuk anak kapal disahkan terkorban.

     Vishwash ditemui hidup di lokasi nahas. Dia dipercayai duduk di tempat duduk 11A yang terletak berhampiran pintu kecemasan. Terdapat spekulasi bahawa dia telah menukar tempat duduk daripada 11J sebelum pesawat berlepas. Keputusan itu dipercayai menjadi faktor utama yang menyelamatkan nyawanya. Mangsa yang dibawa ke Hospital Awam Asarwa di Ahmedabad dilaporkan mengalami kecederaan di dada, muka, tangan, kaki dan mata tetapi berada dalam keadaan stabil. Pegawai perubatan memaklumkan bahawa Vishwash berada dalam keadaan trauma dan keliru tetapi sedar dan mampu bercakap.

     Ketika menerima rawatan, Vishwash dilaporkan berulang kali bertanyakan tentang nasib abangnya iaitu Ajay Kumar Ramesh yang turut berada dalam pesawat malang itu. Hingga setakat artikel ini ditulis, Ajay masih belum dikenal pasti dan dipercayai terkorban dalam nahas tersebut.

    BKeluarga Vishwash di Leicester menerima berita kejadian itu dengan penuh kejutan. Mereka telah menerima panggilan langsung daripada Vishwash sebaik beliau sedar di hospital. Keluarga juga telah diminta oleh pihak berkuasa India untuk memberikan sampel DNA bagi membantu proses pengecaman mangsa-mangsa yang lain.

     Siasatan awal pihak berkuasa penerbanganIndia kini tertumpu kepada beberapa kemungkinan termasuk kegagalan enjin berkembar, masalah sistem sayap (flap) atau serangan burung yang menyebabkan kehilangan kawalan sejurus selepas pesawat berlepas. Pasukan penyiasat telah menemui kotak hitam pesawat dan kini sedang menganalisis rakaman untuk mengenal pasti punca sebenar nahas. Insiden ini turut mengorbankan beberapa penduduk setempat apabila pesawat terhempas ke atas kawasan padat yang menempatkan institusi pengajian dan perumahan.

     Vishwash Kumar Ramesh kini digelar sebagai mangsa ajaib oleh media tempatan dan antarabangsa. Keadaan kesihatannya masih dipantau rapi oleh pasukan perubatan dan dia dijangka akan dihantar pulang ke United Kingdom setelah keadaannya stabil sepenuhnya.

Catat Ulasan for "Seorang Lelaki Warga UK Terselamat Dalam Nahas Udara Air India Yang Ragut 241 Nyawa"