Kisah Lelaki Maut Diterkam Harimau Putih di Hadapan Pengunjung Dalam Zoo

Pada bulan September 2014, satu insiden tragis telah berlaku di Taman Zoologi Negara (National Zoological Park) di New Delhi. Kejadian ini melibatkan seorang pemuda berusia 20 tahun iaitu Maqsood Khan yang maut selepas diterkam dan dibunuh oleh seekor harimau putih.
Menurut laporan rasmi dan saksi kejadian, Maqsood Khan yang dipercayai menghidap masalah kesihatan mental telah melangkaui pagar penghadang kawasan larangan yang mengelilingi kandang harimau putih. Difahamkan pagar tersebut berketinggian kira-kira 3 hingga 4 kaki dan jelas memaparkan papan tanda amaran supaya pengunjung tidak melepasi kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, Maqsood berjaya memanjat struktur tersebut tanpa sebarang halangan atau amaran segera daripada pihak keselamatan zoo. Tindakan berani mati itu membawa padah apabila dia terjatuh terus ke dalam kawasan perumahan seekor harimau putih jantan dewasa yang ketika itu berada di kawasan terbuka kandangnya.
Harimau putih berkenaan yang dikenali sebagai Vijay pada mulanya dikatakan tidak terus menyerang. Saksi mendakwa haiwan itu hanya memerhati mangsa selama beberapa saat seolah-olah tertarik atau ingin mengenal pasti kehadiran penceroboh. Suasana bagaimanapun berubah apabila Maqsood dilihat bergerak secara tiba-tiba atau mengangkat tangan yang dipercayai mencetuskan naluri pemangsa harimau tersebut. Tanpa amaran, harimau itu menerkam mangsa dengan gigitan kuat pada leher dan menarik tubuh Maqsood ke satu sudut kandang.
Serangan itu berlaku dalam keadaan sangat ngeri dan penuh kepanikan. Puluhan pengunjung termasuk wanita dan kanak-kanak menyaksikan kejadian mengerikan itu secara langsung. Ada dalam kalangan mereka yang cuba membantu dengan membaling batu ke arah harimau tersebut untuk mengalih perhatiannya tetapi usaha itu sia-sia. Mangsa dilaporkan menjerit serta merayu minta tolong selama hampir 10 hingga 15 minit dan jeritannya kedengaran di seluruh kawasan zoo. Namun tiada bantuan segera tiba daripada pihak pengurusan zoo ataupun pasukan keselamatan yang sepatutnya bersedia untuk situasi kecemasan seperti itu.
Selepas serangan berlarutan beberapa minit, pihak zoo akhirnya menghantar kakitangan untuk mengawal situasi tetapi sudah terlambat. Maqsood Khan telahbpun meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya terutama pada bahagian kepala dan leher. Mayatnya hanya dapat dikeluarkan selepas harimau itu dikurung semula ke dalam kawasan tertutup kandangnya.

Insiden ini telah mencetuskan kecaman meluas terhadap pihak pengurusan Taman Zoologi Negara Delhi. Ramai pihak mempersoalkan bagaimana seorang pengunjung boleh dengan mudah melangkaui pagar keselamatan tanpa disedari atau dihentikan lebih awal. Isu ini turut membuka perbincangan awam mengenai kekurangan sistem keselamatan, latihan petugas zoo dalam menghadapi kecemasan serta ketiadaan peralatan segera seperti ubat pelali atau senjata penenang yang sepatutnya ada di mana-mana zoo yang menempatkan haiwan liar berbahaya.
Lebih menyedihkan, keadaan Maqsood sebagai individu yang berdepan dengan masalah kesihatan mental turut tidak diberi perhatian sewajarnya. Keluarganya kemudian tampil menjelaskan bahawa Maqsood mengalami gangguan psikologi dan tidak menyedari risiko besar perbuatannya. Kealpaan pihak zoo dalam mengenal pasti tingkah laku pengunjung yang mencurigakan serta kegagalan menyediakan pegawai pemantau mencukupi di kawasan berisiko tinggi jelas memberi kesan besar dalam tragedi ini.
Sebagai tindak balas kepada kritikan, pihak zoo mempertahankan diri dengan menyatakan bahawa mereka telah mematuhi semua piawaian keselamatan sedia ada termasuk memasang pagar dan papan tanda amaran. Namun tragedi ini tetap mengundang tekanan daripada pelbagai badan bukan kerajaan dan aktivis haiwan yang menggesa agar penambahbaikan menyeluruh dilakukan terhadap sistem keselamatan zoo di seluruh India.
Catat Ulasan for "Kisah Lelaki Maut Diterkam Harimau Putih di Hadapan Pengunjung Dalam Zoo"