Kes Penculikan Besar-besaran Iguala

Pada malam 26 September 2014, satu peristiwa hitam telah berlaku di bandar kecil Iguala, negeri Guerrero, Mexico. Seramai 43 orang pelajar lelaki dari Escuela Normal Rural de Ayotzinapa iaitu sebuah sekolah latihan guru yang terkenal dengan aktivisme sosial telah hilang dalam keadaan mencurigakan selepas insiden ganas melibatkan pihak polis tempatan dan kumpulan bersenjata. Peristiwa ini dikenali sebagai Penculikan Besar-besaran Iguala (Iguala Mass Kidnapping).
Sekolah Ayotzinapa yang terletak di kawasan luar bandar Guerrero merupakan institusi latihan guru untuk pelajar-pelajar miskin dari kawasan pedalaman. Sekolah ini bukan sekadar pusat pendidikan malah menjadi pusat kesedaran politik di kalangan pelajarnya. Para pelajar di sini sering terlibat dalam demonstrasi, protes dan aktiviti sosial yang mengkritik ketidaksamarataan dalam masyarakat serta korupsi dalam kerajaan. Pada September 2014, lebih 100 orang pelajar dari sekolah ini merancang untuk menghadiri satu perhimpunan tahunan memperingati Pembunuhan Beramai-ramai Tlatelolco 1968 di Mexico City. Bagi tujuan tersebut, mereka merampas beberapa buah bas awam yakni satu tindakan yang sering dilakukan oleh pelajar sekolah normalis sebagai sebahagian daripada bentuk protes mereka.
Walau bagaimanapun, tindakan mereka pada malam itu mengundang bencana. Ketika bas-bas yang dinaiki pelajar mula meninggalkan Iguala, mereka telah disekat oleh polis perbandaran dan individu bersenjata yang tidak dikenali. Insiden menjadi tegang apabila polis mula melepaskan tembakan ke arah bas yang membawa pelajar. Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh malam itu termasuk tiga pelajar, seorang remaja pemain bola sepak dan dua orang awam. Salah seorang pelajar dikenali sebagai Julio Cesar Mondragon kemudian ditemui dengan wajah yang dikerat kulit dan matanya dicungkil keluar, menandakan penyeksaan yang kejam serta tidak berperikemanusiaan.

Lebih menyayat hati, 43 orang pelajar lain telah diculik oleh pihak polis. Mereka dilihat dinaikkan ke dalam trak polis dan dibawa ke lokasi yang tidak diketahui. Sejak malam itu, tiada satu pun daripada mereka muncul kembali. Kehilangan misteri mereka menimbulkan tanda tanya besar di seluruh Mexico. Pihak berkuasa Mexico segera memulakan siasatan tetapi pendekatan mereka dipenuhi kontroversi dan kekeliruan.
Pada November 2014, kerajaan Mexico mengeluarkan laporan rasmi yang mendakwa bahawa 43 pelajar telah diserahkan oleh polis kepada kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai Guerreros Unidos. Kartel ini kononnya telah membunuh pelajar-pelajar tersebut dan membakar mayat mereka di tempat pelupusan sampah di bandar Cocula sebelum membuang abu mereka ke dalam sungai. Namun siasatan forensik antarabangsa yang dilakukan oleh Pasukan Antropologi Forensik Argentina dan Kumpulan Pakar Bebas Antara-Amerika (GIEI) mendedahkan bahawa naratif kerajaan itu tidak disokong oleh bukti saintifik yang kukuh. Malah lokasi pembakaran yang dikatakan tidak menunjukkan tanda-tanda api besar-besaran yang cukup untuk melupuskan puluhan mayat seperti yang didakwa.
Laporan-laporan yang lebih mendalam mendedahkan bahawa siasatan awal kerajaan penuh dengan kecacatan. Beberapa saksi utama yang memberikan pengakuan dikatakan telah diseksa untuk memaksa mereka mengaku bersalah. Tambahan pula, bukti menunjukkan bahawa bukan sahaja polis tempatan yang terlibat malah tentera Mexico dan agensi perisikan persekutuan juga mungkin mempunyai pengetahuan selain keterlibatan langsung dalam penculikan tersebut. Dokumen yang dibocorkan serta laporan penyiasatan menunjukkan bahawa pihak tentera dan kerajaan mempunyai akses kepada komunikasi masa nyata tentang pergerakan pelajar namun tidak mengambil sebarang tindakan untuk melindungi mereka. Malah, terdapat dakwaan bahawa mereka sengaja menyembunyikan bukti bagi melindungi pegawai tertinggi negara.

Antara individu yang disyaki sebagai dalang utama ialah Datuk Bandar Iguala pada waktu itu, Jose Luis Abarca dan isterinya, Maria de los Angeles Pineda. Pasangan ini mempunyai hubungan rapat dengan Guerreros Unidos dan dikatakan telah mengarahkan polis untuk mengajar pelajar-pelajar tersebut kerana bimbang kehadiran mereka akan mengganggu majlis kempen isterinya. Mereka kemudian ditahan oleh pihak berkuasa tetapi perbicaraan ke atas mereka berjalan lambat.
Kes ini mencetuskan gelombang kemarahan rakyat Mexico. Protes besar-besaran berlaku hampir setiap minggu dengan ratusan ribu rakyat turun ke jalan-jalan raya menuntut jawapan dan keadilan. Slogan "¡Vivos se los llevaron, vivos los queremos!" yang bermaksud "Mereka dibawa hidup-hidup, kami mahu mereka dikembalikan hidup-hidup". Presiden Mexico ketika itu, Enrique Pena Nieto telah menerima kecaman hebat kerana cara kerajaan mengendalikan krisis ini. Keengganan kerajaan untuk membenarkan siasatan bebas sepenuhnya serta tindakan melindungi pihak tertentu telah mencalar kredibiliti pentadbirannya dan memperlihatkan betapa sistem keadilan di Mexico gagal berfungsi dengan telus.

Pada tahun-tahun berikutnya, beberapa cebisan tulang ditemui dan diuji DNA tetapi hanya tiga pelajar dapat dikenal pasti. Siasatan diteruskan oleh pentadbiran baharu di bawah Presiden Andres Manuel Lopez Obrador yang melantik Suruhanjaya Kebenaran untuk menyiasat semula kes ini. Pada Ogos 2022, laporan rasmi Suruhanjaya menyimpulkan bahawa penculikan ini merupakan satu jenayah negara yang melibatkan kerjasama antara polis, tentera, kerajaan tempatan dan kartel dadah. Beberapa pegawai kanan termasuk bekas Peguam Negara Jesus Murillo Karam telah ditahan atas tuduhan menipu dalam siasatan awal dan memalsukan keterangan. Hingga kini, keadilan bagaimanapun masih belum sepenuhnya ditegakkan. Waris mangsa terus menuntut jawapan.
Catat Ulasan for "Kes Penculikan Besar-besaran Iguala"