Kisah Armin Meiwes: Apabila Fantasi Fetish Kanibalisme Menjadi Realiti

Pada awal tahun 2000, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku di Rotenburg, sebuah bandar kecil di Jerman. Seorang lelaki bernama Armin Meiwes telah membunuh dan memakan seorang mangsa bukan secara paksaan tetapi dengan keizinan penuh dan rela hati mangsa itu sendiri. Ia menjadi salah satu kes paling pelik dan mengerikan dalam sejarah jenayah moden.
Armin Meiwes dilahirkan pada 1 Disember 1961 di Essen, sebuah bandar di barat Jerman. Dia merupakan anak tunggal kepada pasangan Waltraud dan Walfram Meiwes. Keluarganya berpecah sewaktu dia masih kecil apabila bapanya meninggalkan rumah. Keputusan bapaya untuk meninggalkan keluarga memberi kesan besar terhadap emosi Armin yang ketika itu masih dalam usia membesar. Dia terus tinggal bersama ibunya di rumah agam milik keluarga di sebuah kawasan terpencil berhampiran Rotenburg an der Fulda, negeri Hesse.
Ibunya dikatakan seorang yang sangat mengawal dan dominan. Armin tidak pernah benar-benar diberi kebebasan untuk berkembang secara sosial. Hubungan mereka lebih bersifat bergantung dengan Armin memenuhi peranan sebagai anak patuh yang tunduk kepada arahan ibunya. Akibat dari suasana tertutup dan kesunyian yang melingkari zaman kanak-kanaknya, Armin mula mencipta teman khayalan bernama Franky. Dalam imaginasi Armin, Franky ialah seseorang yang akan kekal bersama-samanya selama-lamanya.

Ketika remaja, Armin mula membaca buku dan cerita-cerita yang berkait dengan pemotongan tubuh, kanibalisme dan imaginasi tentang penggabungan antara dua tubuh manusia. Cuma pada tahap ini, minat itu kekal sebagai fantasi yang dipendam. Selepas tamat persekolahan, dia menyertai tentera Jerman selama beberapa tahun sebelum bekerja sebagai juruteknik komputer.
Pada tahun 1999, ibu Armin meninggal dunia sekali gus meninggalkannya bersendirian di rumah warisan keluarganya. Ketika inilah fantasi lamanya kembali. Rutin hidupnya sangat terasing di mana dia bekerja, pulang ke rumah dan meluangkan masa bersendirianm Kadang-kadang Armin menyendiri selama beberapa hari tanpa bercakap dengan sesiapa. Menerusi capaian kepada internet yang semakin meluas, dia mula melayari laman web yang menjadi tempat berkumpulnya individu dengan kecenderungan luar biasa termasuk komuniti yang berkongsi minat terhadap kanibalisme.
Salah satu laman yang dikunjunginya ialah The Cannibal Cafe, sebuah forum dalam talian yang dikhususkan untuk berkongsi fantasi berkaitan kanibalisme, amputasi dan sadomasokisme ekstrem. Laman itu beroperasi secara bebas namun tidak semestinya semua penggunanya serius dengan kandungan yang dikongsi. Pada tahun 2001, Armin meletakkan iklan di laman tersebut menggunakan nama samaran Franky. Dalam iklan itu, dia menulis secara jelas bahawa dirinya sedang mencari seorang lelaki dewasa yang sihat, waras dan secara sukarela bersetuju untuk dibunuh dan dimakan. Walaupun kelihatan tidak masuk akal, iklan itu menerima beberapa balasan daripada pengguna forum yang ingin tahu. Walau bagaimanapun, hampir semua menarik diri apabila menyedari Armin benar-benar serius.

Bernd Jurgen Brandes, lelaki yang akhirnya menjawab iklan tersebut dengan serius ialah seorang jurutera komputer dari Berlin. Dilahirkan pada tahun 1958, Brandes berusia 43 tahun ketika kejadian. Dia bekerja dalam sektor teknologi maklumat dan dikenali sebagai individu profesional yang berjaya. Kehidupan peribadinya bagaimanapun sangat berbeza dengan imej luaran. Brandes pernah menjalin hubungan homoseksual tetapi hubungannya dengan pasangan-pasangan terdahulu tidak kekal. Rakan-rakannya menyifatkan dia sebagai individu yang pendiam, berahsia dan mempunyai minat seksual yang sangat luar biasa. Berdasarkan bukti komunikasi yang diperoleh oleh pihak penyiasat, Brandes menunjukkan minat mendalam terhadap fetisisme amputasi dan penghinaan diri (masochism). Dia pernah menyatakan keinginan untuk kehilangan anggota badan secara sukarela dan idea tentang dihapuskan secara fizikal menjadi satu bentuk kelegaan psikologi baginya.
Brandes membaca iklan Armin Meiwes dan memberikan balasan yang sangat terperinci. Mereka berhubung melalui e-mel dan mesej dalam forum yakni membincangkan secara panjang lebar tentang bagaimana proses pembunuhan dan pemakanan tubuh akan dilakukan. Brandes bukan sahaja bersetuju. Dia bahkan turut menandatangani surat perakuan bertulis yang menyatakan keputusannya dibuat secara sukarela dan tanpa paksaan. Malah, Brandes turut menulis wasiat dan surat perpisahan kepada kenalannya sebelum meninggalkan Berlin untuk bertemu Armin.
Pada hari tersebut, Brandes menaiki kereta api ke Rotenburg dan disambut oleh Armin di stesen. Mereka pulang ke rumah Armin dan segalanya berjalan seperti yang telah dirancang. Rakaman video menunjukkan mereka berbual, makan malam dan kemudian memulakan ritual yang telah dipersetujui. Brandes diberikan ubat tahan sakit serta alkohol dalam jumlah yang banyak bagi mengurangkan kesakitan.
Brandes meminta Armin memotong zakarnya terlebih dahulu. Permintaan itu dipenuhi di mana organ tersebut cuba dimasak dan dimakan oleh mereka bersama. Usaha itu gagal dan Brandes mengalami pendarahan yang teruk. Dalam keadaan tidak stabil, dia berjalan ke bilik mandi lalu duduk dalam tab sambil menunggu kematian. Armin pula menunggu selama beberapa jam. Setelah Brandes tidak lagi memberikan respons, barulah Armin menikam dadanya hingga mati.

Armin seterusnya memotong-motong tubuh Brandes dan menyimpan beberapa bahagian di dalam peti sejuk. Menurut pengakuannya kemudian, dia memakan daging itu selama beberapa bulan sambil menyimpan rakaman video kejadian sebagai kenangan. Tidak ada unsur paksaan dalam rakaman tersebut. Malah rakaman membuktikan bahawa Brandes secara aktif bersetuju selain memberi arahan sebelum dan semasa proses berlangsung. Namun selepas beberapa bulan, keinginan Armin muncul kembali. Dia kembali aktif dalam forum dalam talian dan memuat naik iklan baru untuk mencari mangsa lain. Kali ini, seorang pengguna forum yang curiga dengan kandungan iklan tersebut membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Pada Disember 2002, pihak polis menyerbu rumah Armin dan menemui bukti kukuh termasuk rakaman video, cebisan tubuh manusia dan dokumen bertulis. Dia ditahan serta-merta dan mengaku kepada perbuatan tersebut secara terbuka semasa soal siasat. Apa yang mengejutkan pihak berkuasa ialah betapa terperincinya perancangan serta ketiadaan unsur paksaan dalam keseluruhan proses. Pada tahun 2004, perbicaraan terhadap Armin bermula. Kes ini menjadi perhatian media global kerana melibatkan isu persetujuan dan kanibalisme dalam bentuk yang tidak pernah didengar sebelum ini. Pada mulanya, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 8 tahun setengah dengan mengklasifikasikan kes sebagai pembunuhan secara persetujuan, bukan pembunuhan kejam.

Selepas rayuan dan semakan semula pada tahun 2006, Mahkamah Persekutuan Jerman menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup setelah memutuskan bahawa persetujuan mangsa tidak membenarkan perbuatan membunuh. Mahkamah menegaskan bahawa hak untuk hidup adalah hak yang tidak boleh dilepaskan dan mana-mana tindakan yang menghilangkan nyawa walaupun dengan izin tetap dianggap jenayah.
Catat Ulasan for "Kisah Armin Meiwes: Apabila Fantasi Fetish Kanibalisme Menjadi Realiti"