Kisah Penculikan Gabriela Sevilla yang Menggemparkan Peru

Pada 19 Oktober 2022, satu kes menggemparkan Peru berlaku apabila seorang wanita bernama Gabriela Sevilla yang berusia dalam lingkungan 30-an dilaporkan hilang secara misteri ketika dalam perjalanan ke hospital untuk melahirkan anak. Menurut kenyataan keluarganya, Gabriela yang dipercayai sedang hamil sembilan bulan telah keluar rumah menaiki sebuah teksi menuju ke hospital bersalin. Namun selepas beberapa jam, dia tidak tiba di hospital seperti yang dijangkakan hingga menyebabkan keluarganya membuat laporan kehilangan dan merayu bantuan orang ramai melalui media sosial.
Laporan kehilangan itu mencetuskan keprihatinan besar dalam kalangan rakyat Peru. Kisah seorang wanita yang sarat mengandung dan hilang dalam perjalanan untuk bersalin menyentuh hati ramai. Ia menjadi topik utama di stesen televisyen, akhbar dan laman sosial. Ramai pihak mula berkongsi maklumat dan gambar Gabriela dalam usaha untuk mengesannya. Rakyat seluruh negara Peru bersatu menunjukkan solidariti dengan mendoakan keselamatannya dan bayi yang bakal dilahirkan.
Situasi bagaimanapun berubah secara mendadak apabila Gabriela ditemui pada keesokan harinya dalam keadaan lemah dan keliru. Menurut kenyataannya kepada pihak polis, dia mendakwa telah diculik oleh tiga orang lelaki tidak dikenali sebaik sahaja menaiki teksi. Gabriela mendakwa dibius dan tidak sedarkan diri sebelum akhirnya ditinggalkan di satu lokasi terpencil dalam keadaan fizikal yang lemah dan tanpa bayi di sisinya. Gabriela menyatakan bahawa bayinya telah diambil dan tidak tahu di mana anaknya berada.

Walau bagaimanapun, hasil siasatan awal menimbulkan pelbagai keraguan. Gabriela telah dihantar ke hospital tentera di mana pemeriksaan menyeluruh dilakukan terhadap status kesihatannya. Hasil pemeriksaan mengejutkan semua pihak di mana doktor mengesahkan bahawa Gabriela sebenarnya tidak hamil dan tiada bukti bahawa dia baru sahaja bersalin. Malah tiada sebarang tanda fisiologi seperti pendarahan atau regangan rahim yang menunjukkan kelahiran telah berlaku.
Pihak berkuasa Peru termasuk polis dan pendakwa raya segera melancarkan siasatan penuh. Mereka mengesahkan bahawa tidak ada penculikan berlaku seperti yang didakwa. Tiada saksi bebas yang melihat penculikan. Tiada rakaman CCTV yang menyokong cerita tersebut. Lokasi yang didakwa sebagai tempat dia ditinggalkan juga tidak menunjukkan kesan atau petunjuk bahawa penculikan atau pemenjaraan berlaku. Kenyataan Gabriela kepada pihak berkuasa juga berubah dan mengandungi percanggahan dari satu versi ke versi lain.
Selain itu, siasatan turut menjurus kepada kehamilan palsu yang dikenal pasti sebagai pseudocyesis iaitu satu gangguan psikologi yang menyebabkan seseorang wanita percaya bahawa dirinya hamil walaupun tidak. Dalam kes seperti ini, tubuh boleh menunjukkan simptom fizikal seperti pembesaran perut, mual dan perubahan hormon tetapi tiada janin sebenar di dalam rahim.
Kecurigaan terhadap kehamilan Gabriela sebenarnya telah mula timbul beberapa minggu sebelum kehilangannya. Teman lelakinya yang tinggal bersamanya, Ramiro Galvez Ramirez menyatakan kepada pihak polis bahawa dia sendiri mula meragui status kehamilan Gabriela. Katanya, Gabriela enggan disentuh perutnya selain enggan membenarkannya menyertai sesi pemeriksaan perubatan dan tidak membenarkan ahli keluarga melihat laporan kesihatan. Malah empat hari sebelum kejadian kehilangan itu, Ramiro membawa Gabriela ke lima doktor pakar kandungan dan beberapa doktor mendapati tiada bukti kehamilan. Lebih membimbangkan, dokumen yang ditunjukkan Gabriela mengenai rekod perubatan disahkan sebagai dipalsukan termasuk maklumat doktor yang tidak wujud atau nombor pendaftaran yang tidak sah.

Apabila bukti semakin kukuh menunjukkan bahawa Gabriela tidak hamil dan dakwaan penculikan hanyalah rekaan, ramai rakyat Peru berasa tertipu. Orang ramai mempertikaikan sama ada Gabriela wajar dikenakan tindakan undang-undang kerana membuat laporan palsu dan mencetuskan panik awam. Pihak pendakwaan mula menyiasat kemungkinan kesalahan jenayah melibatkan pemalsuan maklumat, penyalahgunaan sistem kecemasan dan menyebarkan berita palsu.
Gabriela sendiri kekal dengan dakwaannya. Dalam satu video yang tular di media sosial, dia menangis dan bertegas bahawa beliau benar-benar telah mengandung dan telah kehilangan bayinya. Gabriela turut mendakwa bahawa sistem kesihatan dan polis telah menutup kebenaran dan menyembunyikan anaknya.
Catat Ulasan for "Kisah Penculikan Gabriela Sevilla yang Menggemparkan Peru"