Kisah Kematian Dawn Brancheau : Jurulatih yang Maut Diserang Paus Pembunuh Depan Penonton

Pada 24 Februari 2010, SeaWorld Orlando, Florida digegarkan oleh satu kejadian yang mengakibatkan kematian seorang jurulatih kanan, Dawn Brancheau. Dia diserang dan dibunuh oleh seekor paus pembunuh jantan bernama Tilikum, seekor orca seberat lebih 5 tan dan sepanjang hampir 7 meter.
Dawn Brancheau yang ketika itu berusia 40 tahun merupakan salah seorang jurulatih paling berpengalaman di SeaWorld. Dia telah bekerja di taman tema itu selama lebih 15 tahun dan sangat dikenali kerana kepakarannya dalam melatih paus pembunuh serta keakrabannya dengan haiwan-haiwan tersebut. Pada hari kejadian, Dawn dijadualkan untuk membuat persembahan dalam segmen Dine With Shamu, sebuah acara khas di mana pengunjung dapat menikmati makanan tengah hari sambil menyaksikan interaksi langsung jurulatih bersama orca. Apa yang sepatutnya menjadi pengalaman istimewa untuk para pengunjung akhirnya bertukar menjadi detik ngeri yang tidak dapat dilupakan.

Selepas tamat sesi pertunjukan, Dawn sedang berdiri di tepi platform kolam utama dengan memberi isyarat kepada Tilikum seperti biasa. Menurut saksi dan laporan rasmi kemudian yakni ketika Dawn membaringkan dirinya di tepi kolam sambil memberikan isyarat tangan kepada paus tersebut, Tilikum secara tiba-tiba melonjak dan menggigit lengan atau mungkin rambutnya (laporan berbeza-beza) lalu menariknya masuk ke dalam air dengan penuh kekerasan.
Tilikum dilaporkan menyeret tubuh Dawn dengan kuat, menggoncang dan memusingkannya berulang kali dalam air, satu teknik yang dikenali sebagai death roll iaitu kaedah biasa yang digunakan orca untuk melumpuhkan mangsa semasa memburu. Jurulatih lain serta kakitangan keselamatan bergegas ke tempat kejadian cuba menenangkan Tilikum dan membawa haiwan itu ke kolam khas di belakang yang membolehkan orca diasingkan. Walau bagaimanapun, Tilikum enggan melepaskan Dawn. Serangan itu berlanjutan hampir 30 minit sekali gus menjadikan usaha menyelamat hampir mustahil kerana kekuatan dan saiz orca yang luar biasa.

Mayat Dawn akhirnya berjaya dikeluarkan tetapi dalam keadaan yang amat menyayat hati. Bedah siasat rasmi yang dijalankan oleh Pejabat Koroner Orange County mendedahkan bahawa punca kematian adalah lemas akibat ditarik ke dalam air disertai dengan trauma hentakan tumpul yang teruk. Antara kecederaan yang dialami Dawn termasuk tengkorak retak, kulit kepala tercabut, lengan kiri terputus selain patah pada tulang belakang, rusuk dan anggota badan lain. Pihak hospital mengesahkan bahawa kecederaan tersebut adalah antara yang paling serius pernah dilihat dalam serangan haiwan marin di Amerika Syarikat.
Lebih menakutkan, ini bukan kali pertama Tilikum dikaitkan dengan kematian manusia. Paus itu sebelum ini terlibat dalam dua insiden maut. Insiden pertama berlaku pada tahun 1991 di Sealand of the Pacific, British Columbia apabila seorang jurulatih wanita muda bernama Keltie Byrne lemas selepas ditarik masuk ke dalam air oleh Tilikum dan dua ekor orca lain semasa cuba menyeberangi platform kolam. Kejadian kedua berlaku pada tahun 1999 apabila mayat seorang lelaki bernama Daniel Dukes ditemui terapung di dalam kolam bersama Tilikum. Lelaki itu dikatakan telah menceroboh masuk ke SeaWorld pada waktu malam dan dipercayai berenang bersama paus itu sebelum diserang hingga mati. Dalam kedua-dua kes tersebut, Tilikum tidak dihukum tetapi dipindahkan serta terus digunakan dalam latihan dan pembiakan.
Dalam kes kematian Dawn ini, ramai menyuarakan bantahan terhadap tindakan SeaWorld yang masih membenarkan jurulatih berada di dalam air bersama orca terutama sekali Tilikum yang mempunyai sejarah keganasan. Sebagai respons, SeaWorld menghentikan semua aktiviti persembahan secara langsung yang melibatkan interaksi fizikal antara jurulatih dan orca. Suruhanjaya Keselamatan Pekerja (OSHA) turut menyiasat kes ini dan mengenakan denda ke atas SeaWorld kerana melanggar piawaian keselamatan. Dalam laporan siasatan OSHA dinyatakan bahawa SeaWorld telah mengabaikan bahaya yang diketahui terhadap pekerja mereka.

Kes Dawn ini juga menjadi pemangkin kepada dokumentari terkenal berjudul Blackfish yang diterbitkan pada tahun 2013. Dokumentari ini membongkar realiti kehidupan paus pembunuh dalam kurungan termasuk sejarah Tilikum dan bagaimana tekanan psikologi akibat hidup dalam kolam sempit mungkin telah mendorong kelakuan agresif tersebut.
Selepas bertahun-tahun mendapat tekanan daripada orang ramai, aktivis serta media, SeaWorld akhirnya mengumumkan pada tahun 2016 bahawa mereka akan menghentikan program pembiakan orca dan mula mengubah pendekatan persembahan ke arah lebih bersifat pendidikan tanpa pertunjukan akrobatik. Tilikum pula terus hidup di SeaWorld sehingga diumumkan mati pada 6 Januari 2017 dipercayai akibat jangkitan bakteria yang menyerang paru-parunya.
Catat Ulasan for "Kisah Kematian Dawn Brancheau : Jurulatih yang Maut Diserang Paus Pembunuh Depan Penonton"