Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KRYSTAL MITCHELL


     Raymond Samuel McLeod merupakan bekas anggota elit Marin Amerika Syarikat. Dia memiliki fizikal yang tegap selain dikatakan perwatakan yang dominan. McLeod aktif di media sosial di mana dia sering memuat naik gambar dirinya bersama senjata api, memakai pakaian taktikal dan bersenam di gim untuk memperlihatkan dirinya sebagai seorang lelaki sejati yang kuat. Namun di sebalik semua itu, tersembunyi sisi gelap yang membahayakan sesiapa sahaja yang mendekatinya. Sifat agresif dan panas baran yang tidak terkawal, ditambah pula dengan sejarah lampau keganasan rumah tangga menjadikan McLeod individu berbahaya yang akhirnya membunuh seorang wanita muda yakni kekasihnya sendiri. 

     Mangsa bernama Krystal Mitchell yang juga merupakan seorang ibu tunggal berusia 30 tahun dari Phoenix, Arizona. Dia ialah seorang wanita ceria, penyayang dan berdikari yang bekerja dalam bidang hartanah. Krystal bertemu McLeod melalui kenalan bersama dan hubungan mereka berkembang dengan pantas. Seperti ramai wanita lain, Krystal terpesona dengan imej maskulin McLeod yang kelihatan seperti pelindung sempurna. Walau bagaimanapun, hubungan yang baru berputik ini tidak sempat berakhir bahagia. Ia berakhir hanya selepas beberapa minggu perkenalan.

     Pada Jun 2016, Krystal dan McLeod merancang percutian ke San Diego, California. Mereka menginap di rumah seorang kenalan McLeod dan segalanya kelihatan normal pada awalnya. Pada pagi 10 Jun 2016, Krystal ditemui tidak bernyawa di dalam bilik tidur rumah tersebut. Tuan rumah menemui mayatnya dalam keadaan terbaring di atas katil dengan lebam teruk dan kesan dicekik pada leher serta wajah yang membengkak. Laporan bedah siasat mendedahkan Krystal telah dipukul dan dicekik hingga mati. Berdasarkan siasatan, dipercayai berlaku pertengkaran hebat antara pasangan itu sebelum kejadian dan McLeod bertindak ganas sehingga menyebabkan kematian.

     Apa yang lebih mengejutkan ialah tindakan McLeod selepas itu. Dia melarikan diri dari tempat kejadian tanpa meninggalkan sebarang jejak. McLeod tidak membawa telefon bimbit, dokumen mahupun barangan peribadi Krystal. Pihak berkuasa percaya McLeod melarikan diri ke Mexico dan terus bersembunyi di beberapa negara Amerika Tengah dan Selatan. Menggunakan kemahirannya sebagai bekas anggota tentera, dia mampu bertahan dan mengelak daripada dijejaki. McLeod juga dipercayai menggunakan identiti palsu selain bekerja sebagai jurulatih kecergasan di gim tempatan. Sepanjang tempoh pelariannya, McLeod sempat berada di Belize, Guatemala dan akhirnya menetap di El Salvador.

     Pihak berkuasa Amerika Syarikat termasuk FBI, menjalankan usaha besar-besaran untuk menangkap McLeod. Cuma selama enam tahun dia berjaya mengelak penangkapan. Pada tahun 2021, FBI akhirnya meletakkan McLeod dalam senarai Ten Most Wanted Fugitives, senarai penjenayah paling dikehendaki oleh kerajaan Amerika. FBI juga menawarkan ganjaran sebanyak USD $50 000 (sekitar RM210 000) kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat yang membawa kepada penangkapannya. Usaha ini akhirnya membuahkan hasil pada Ogos 2022 apabila seorang penduduk tempatan di El Salvador yang mengenali wajah McLeod dari poster FBI membuat laporan kepada pihak berkuasa. McLeod ditangkap ketika sedang bekerja sebagai jurulatih kecergasan di sebuah pusat gim di Sonsonate. Dia tidak melawan ketika ditahan dan seterusnya diekstradisi ke San Diego, California.

     Setibanya di Amerika Syarikat, McLeod didakwa atas tuduhan membunuh Krystal Mitchell secara sengaja dan kejam dengan pembunuhan kelas pertama. Ketika dibacakan pertuduhan, McLeod mengaku tidak bersalah dan kini sedang menunggu perbicaraan. Prosiding awal dan sesi praperbicaraan m telah diadakan sepanjang 2023 dan 2024. Peguam bela McLeod mengemukakan hujah bahawa kematian Krystal berlaku secara tidak sengaja kononnya akibat hubungan seks yang kasar tetapi saling rela. Pihak pendakwaan menegaskan bahawa kecederaan yang dialami mangsa serta sejarah keganasan McLeod membuktikan bahawa kejadian tersebut adalah satu pembunuhan yang disengajakan dan tidak patut dimaafkan.

     Perbicaraan penuh terhadap Raymond McLeod telah dijadualkan bermula pada 28 Mei 2025 di Mahkamah Tinggi San Diego. Jika didapati bersalah, McLeod berdepan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol atau dalam keadaan tertentu, mungkin hukuman mati bergantung kepada keputusan juri dan hakim.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KRYSTAL MITCHELL "