Majlis Kahwin Kecoh: Lelaki Terkejut Pengantin Rupanya Janda

INDONESIA– Kekecohan tercetus dalam satu majlis perkahwinan di Lombok apabila seorang wanita yang sebelum ini mendakwa dirinya masih dara rupa-rupanya pernah berkahwin dan bercerai sebanyak tiga kali. Kejadian ini dilaporkan berlaku di Dusun Sangkor, Desa Bakan, Kecamatan Janapria, Lombok Tengah.
Wanita terbabit yang dikenali sebagai Nurdiana dipercayai telah menyembunyikan status sebenar dirinya sebagai janda kepada bakal suaminya iaitu Rodi Handika, seorang pemuda dari Dusun Batu Sambak, Desa Montong Tangi, Sakra Timur, Lombok Timur. Sepanjang proses perkenalan serta persiapan menjelang hari perkahwinan, Nurdiana dipercayai bertegas mendakwa bahawa dirinya masih dara. Perkara itu dipercayai telah mempengaruhi keputusan pihak lelaki untuk meneruskan perkahwinan.
Pihak lelaki difahamkan telah menyediakan mas kahwin yang amat lumayan yakni berupa emas seberat 20 gram dan wang tunai sebanyak Rp60 juta (lebih RM17 000) seperti yang diminta oleh pihak perempuan. Menurut sumber tempatan, jumlah tersebut diminta secara tegas dan tidak diberi ruang untuk ditawar.
Namun pada hari berlangsungnya majlis pernikahan, suasana menjadi kecoh apabila identiti sebenar pengantin perempuan terbongkar. Beberapa ahli keluarga dan tetamu mula mempertikaikan latar belakang Nurdiana selepas mendapat tahu bahawa dia bukan sahaja pernah berkahwin malah telah bercerai sebanyak tiga kali sebelum ini. Berikutan pendedahan mengejutkan itu, suasana majlis berubah menjadi tegang. Video insiden tersebut yang dirakam tetamu hadir memperlihatkan pengantin perempuan kelihatan tertekan dan akhirnya pengsan di atas pelamin.

Menurut beberapa sumber tempatan, Rodi Handika dan keluarganya berasa sangat terhina dan dikhianati. Mereka mendakwa telah mempercayai setiap kata-kata yang diberikan oleh pihak wanita selain sudah berbelanja besar demi memastikan majlis perkahwinan berjalan lancar. Kekecewaan pihak lelaki bertambah apabila mengetahui bahawa tidak ada sebarang pengakuan awal atau dokumen yang mendedahkan status sebenar Nurdiana.
Kes ini telah menjadi tular di media sosial. Rata-rata pengguna internet meluahkan rasa simpati terhadap pengantin lelaki yang didakwa menjadi mangsa penipuan. Warganet juga mengecam tindakan wanita tersebut kerana menyembunyikan maklumat penting seperti status perkahwinan terdahulu sedangkan perkara itu dianggap sebagai asas penting dalam membina kepercayaan dalam rumah tangga.
Hingga setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan atau Jabatan Agama berkaitan insiden tersebut. Tidak dapat dipastikan sama ada pernikahan itu dibatalkan secara sah atau diteruskan dalam bentuk lain. Berdasarkan perkembangan terkini yang tular, pasangan tersebut dipercayai tidak meneruskan ikatan perkahwinan mereka.
Catat Ulasan for "Majlis Kahwin Kecoh: Lelaki Terkejut Pengantin Rupanya Janda "