Misteri Kematian Pandora Kjolsrud dan Evan Clark

Pada 27 Mei 2025, dua remaja dari Phoenix, Arizona yang dikenali sebagai Pandora Kjolsrud, 18 tahun dan Evan Clark, 17 tahun telah ditemui mati akibat tembakan di kawasan terpencil pergunungan Mount Ord yang terletak dalam kawasan Tonto National Forest, Arizona. Penemuan ini berlaku selepas mereka dilaporkan tidak pulang ke rumah seperti yang dijadualkan setelah keluar berkhemah sempena cuti umum Memorial Day yang berlangsung pada hujung minggu terakhir bulan Mei.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Sheriff Daerah Maricopa (Maricopa County Sheriff’s Office atau MCSO), mayat kedua-dua remaja berkenaan ditemui di kawasan yang sangat jauh daripada laluan utama dan bukan di tapak perkhemahan yang biasa digunakan oleh orang awam. Lokasi penemuan tersebut hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda. Selain itu, kawasan sekeliling tidak mempunyai liputan telefon bimbit menjadikan komunikasi dan capaian maklumat lebih sukar untuk sebarang bantuan kecemasan atau siasatan lanjut.

Kedua-dua mangsa telah dikenalpasti melalui proses forensik dan hasil pemeriksaan oleh Pejabat Pemeriksa Perubatan Maricopa County mengesahkan bahawa kematian mereka adalah disebabkan oleh tembakan senjata api. Butiran lebih lanjut seperti bilangan tembakan atau jenis senjata yang digunakan tidak didedahkan kepada umum atas sebab siasatan yang masih berjalan. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa mengklasifikasikan kes ini sebagai pembunuhan. Siasatan lanjut mendapati tiada senjata api ditemui di tempat kejadian dan tiada tanda-tanda rompakan atau keganasan seksual dilaporkan setakat ini.
Pandora dan Evan merupakan pelajar di Arcadia High School di Phoenix. Mereka dilaporkan pergi berkhemah secara sukarela dan rakan-rakan serta ahli keluarga menyatakan bahawa mereka berdua merupakan rakan baik yang sering terlibat dalam aktiviti luar bersama. Keluarga mereka mula bimbang apabila kedua-duanya gagal dihubungi sejak 25 Mei dan tidak pulang pada tarikh yang dijadualkan. Laporan kehilangan dibuat dan pencarian awal tidak menemui petunjuk sehingga mayat mereka dijumpai dua hari kemudian oleh pengunjung lain yang kebetulan melalui kawasan hutan tersebut.
Setakat ini, siasatan masih belum membuahkan hasil yang konkrit. Tiada suspek dikenal pasti dan pihak MCSO masih mengumpulkan maklumat daripada orang awam. Mereka telah mengeluarkan kenyataan rasmi menyeru mana-mana individu yang berada di kawasan Mount Ord pada tempoh antara 25 hingga 27 Mei supaya tampil memberikan sebarang maklumat yang mungkin berkaitan termasuk sebarang pemerhatian terhadap individu asing, bunyi tembakan, kenderaan luar kebiasaan dan apa-apa perkara mencurigakan yang dilihat atau didengar ketika berada di lokasi sekitar kejadian.
MCSO juga menyediakan talian khas untuk maklumat orang ramai dan individu yang memberikan maklumat boleh memilih untuk kekal tanpa nama. Pihak berkuasa menekankan bahawa walaupun maklumat yang diberikan mungkin kelihatan kecil atau tidak penting, ia berpotensi besar untuk menjadi petunjuk utama dalam siasatan yang sedang dijalankan.

Sementara itu, keluarga kepada kedua-dua remaja mangsa telah tampil memberi kenyataan kepada media tempatan. Ibu kepada Evan Clark, Sandra Sweeney, menyatakan bahawa anaknya tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda bermasalah atau terlibat dalam sebarang konflik. Menurut Swerney, Evan merupakan seorang remaja yang aktif, suka berkhemah dan bekerja sambilan di sebuah kedai biskut di Scottsdale. Bapanya, Bill Clark memberitahu bahawa kehilangan Evan memberi kesan besar kepada keluarga dan komuniti mereka kerana Evan dikenali sebagai seorang yang disenangi ramai dan sering membantu rakan-rakan serta jiran.
Kesan daripada kejadian ini turut dirasai di peringkat sekolah. Rakan-rakan Pandora dan Evan di Arcadia High School mengadakan majlis peringatan di kawasan rekreasi awam Camelback View Point, tempat yang sering mereka kunjungi. Lilin, bunga dan mesej peringatan diletakkan oleh pelajar dan guru-guru sebagai tanda penghormatan terakhir.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa siasatan akan diteruskan secara menyeluruh, termasuk analisis lokasi kejadian, sejarah pergerakan mangsa sebelum kejadian dan pengesanan sebarang aktiviti luar biasa di sekitar Mount Ord dalam tempoh masa kejadian. Mereka juga sedang meneliti rakaman kamera dari kawasan laluan masuk utama dan premis berhampiran walaupun lokasi pembunuhan itu jauh dari kawasan berpenduduk atau komersial.
Sehingga kini, belum ada sebarang pengumuman rasmi tentang motif pembunuhan yakni sama ada ia merupakan serangan rawak atau satu tindakan yang dirancang. Pihak MCSO mengedarkan risalah dan mengadakan rondaan tambahan di kawasan sekitar untuk meningkatkan kesedaran dan mengumpul maklumat lanjut. Mereka juga tidak menolak kemungkinan bahawa kes ini mempunyai kaitan dengan kejadian lain. Cuma buat masa sekarang tiada bukti yang menyokong andaian tersebut.
Catat Ulasan for "Misteri Kematian Pandora Kjolsrud dan Evan Clark "