KISAH MISTERI KEHILANGAN PETER FALCONIO

Pada malam Sabtu, 14 Julai 2001, seorang pelancong warga British bernama Peter Marco Falconio hilang ketika dia dan teman wanitanya iaitu Joanne Lees sedang menjelajah benua Australia. Pasangan muda ini telah meninggalkan kampung halaman mereka di Huddersfield, West Yorkshire, United Kingdom untuk merasai pengalaman hidup di luar negara dan meneroka dunia. Mereka tiba di Australia pada Januari 2001 dan merancang untuk mengembara selama beberapa bulan dengan menyewa sebuah van Volkswagen Kombi bagi memudahkan perjalanan merentas negara.
Malang menimpa apabila mereka tiba di satu kawasan terpencil di Stuart Highway berdekatan Barrow Creek di wilayah Northern Territory yakni sebuah lokasi terpencil yangterletak lebih 200 km dari bandar terdekat. Menurut keterangan Joanne, kira-kira jam 8 malam, seorang lelaki memandu kenderaan 4WD putih memberi isyarat kepada mereka agar berhenti sambil memberitahu bahawa sistem ekzos van mereka mengeluarkan percikan api. Peter yang berusia 28 tahun ketika itu keluar dari van untuk memeriksa manakala Joanne kekal duduk di tempat penumpang.
Tidak lama kemudian, Joanne mendakwa dia terdengar satu bunyi kuat seperti tembakan. Lelaki itu kemudian datang ke bahagian penumpang lalu mengacukan pistol ke arah Joanne dan mengarahkan dia berpindah ke bahagian belakang van. Dia kemudian mengikat tangan Joanne dengan pengikat kabel plastik dan cuba menolaknya masuk ke dalam kenderaannya. Namun dengan keberanian luar biasa, Joanne berjaya meloloskan diri dan melarikan diri ke dalam semak-semak di tepi jalan raya dalam keadaan gelap dan sejuk. Dia bersembunyi dalam ketakutan selama beberapa jam sambil mendengar enjin kereta lelaki itu berulang kali di sekitar kawasan berhampiran.
Beberapa jam kemudian, kira-kira pukul 1 pagi, Joanne keluar dari persembunyiannya dan menahan sebuah lori yang kebetulan melalui kawasan tersebut. Pemandu lori itu yang dikenali sebagai Vince Miller membawa Joanne ke Barrow Creek sebelum menghubungi polis. Operasi pencarian besar-besaran dilancarkan keesokan harinya melibatkan pihak polis, tentera dan sukarelawan. Walaupun pelbagai usaha dilakukan, mayat Peter Falconio tidak pernah ditemui. Begitu juga dengan senjata yang digunakan dalam kejadian itu juga tidak dijumpai.

Siasatan awal menghadapi kesukaran besar kerana lokasi yang terpencil serta kekurangan bukti fizikal. Joanne bagaimanapun memberi keterangan terperinci dan membantu pihak berkuasa membuat lakaran wajah suspek. Tekanan terhadap polis semakin meningkat apabila segelintir pihak mula mempersoalkan kredibiliti cerita Joanne termasuk dakwaan bahawa dia mungkin terlibat dalam kejadian itu atau tidak menceritakan keseluruhan kisah.
Pada tahun 2002, polis mula memberi tumpuan kepada seorang lelaki bernama Bradley John Murdoch, seorang warga Australia berusia 45 tahun yang berasal dari Broome, Western Australia. Murdoch mempunyai sejarah jenayah lampau yang serius termasuk pemilikan senjata api dan serangan seksual. Dia juga dikenali sebagai individu yang sering mengembara bersendirian di kawasan pedalaman dengan kenderaannya sambil membawa anjing peliharaan selain mempunyai hubungan dengan kumpulan pelampau kulit putih.

Satu petunjuk penting muncul apabila Joanne mengenal pasti kenderaan Murdoch sebagai serupa dengan yang digunakan oleh penyerangnya. Lebih kukuh lagi, analisis DNA yang dijalankan terhadap baju Joanne dan tali pengikat yang digunakan mendapati padanan DNA milik Murdoch. Pada tahun 2003, Murdoch ditahan dan didakwa atas kesalahan membunuh Peter Falconio serta menculik Joanne Lees.
Perbicaraan Murdoch bermula pada Oktober 2005 di Mahkamah Agung Northern Territory. Kes ini menjadi antara perbicaraan paling mendapat perhatian dalam sejarah Australia. Pihak pendakwaan membentangkan bukti DNA, pengenalan oleh saksi dan profil tingkah laku Murdoch yang sepadan dengan suspek. Joanne tampil di mahkamah dan memberikan keterangan selama beberapa hari, menjawab pelbagai soalan termasuk berdepan cubaan peguam pembela yang cuba menimbulkan keraguan terhadap kredibilitinya.

BPada Disember 2005, juri mendapati Bradley Murdoch bersalah atas pembunuhan Peter Falconio dan penculikan Joanne Lees. Dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 28 tahun sebelum layak memohon pembebasan bersyarat. Walau bagaimanapun, Murdoch terus berpegang kepada pendirian bahawa dia tidak bersalah dan enggan memberitahu lokasi mayat Peter.
Selepas perbicaraan, Joanne telah menulis sebuah buku memoir berjudul No Turning Back yang menceritakan pengalamannya secara terperinci. Pada masa yang sama, pakar forensik dan penyiasat bebas masih meneliti kemungkinan lokasi mayat Peter Falconio termasuk kawasan semak dan gua sekitar Barrow Creek yang belum dijelajah sepenuhnya. Lebih dua dekad telah berlalu sejak malam yang mengerikan itu, namun mayat Peter Falconio masih belum dijumpainmenjadikan kes ini sebagai antara misteri kehilangan paling terkenal dalam sejarah jenayah moden Australia.
Catat Ulasan for "KISAH MISTERI KEHILANGAN PETER FALCONIO "