KISAH TYSEN BENZ : Gurauan Palsu, Nyawa Melayang

Pada 14 Mac 2017, bertempat di bandar Marquette, Michigan, Amerika Syarikat, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang bernama Tysen Benz telah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik tidurnya selepas cuba menggantung diri. Setelah dua minggu bertarung nyawa di hospital, Tysen disahkan meninggal dunia pada 4 April 2017. Siasatan lanjut terhadap kejadian ini mendedahkan bahawa punca utama tindakannya itu adalah satu gurauan yang dirancang oleh seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.
Menurut maklumat yang diperoleh, remaja perempuan tersebut merupakan kenalan rapat Tysen dan sering berinteraksi dengannya secara peribadi. Pada malam kejadian, dia telah menggunakan akaun media sosial, termasuk beberapa akaun palsu untuk menyampaikan mesej yang menggambarkan dirinya sudah mati. Antara mesej yang dihantar termasuk seolah-olah ucapan takziah daripada rakan-rakan dan petikan status terakhir kononnya daripada gadis itu sendiri. Berita palsu ini dihantar secara serentak kepada kenalan-kenalan rapat, termasuk Tysen hingga menjadikan naratif kematian itu kelihatan sangat meyakinkan. Tysen yang baru berusia 11 tahun mempercayai bahawa gadis itu benar-benar telah meninggal dunia.
Kira-kira 40 minit selepas menerima mesej tersebut, Tysen menunjukkan tanda-tanda tekanan emosi. Dia dilaporkan menghantar beberapa mesej perpisahan kepada kenalannya dan tidak lama kemudian menggantung dirinya di bilik tidur rumah mereka. Ibunya iaitu Katrina Gossbmenemui Tysen dalam keadaan kritikal dan segera menghubungi pihak kecemasan. Tysen dibawa ke hospital tempatan sebelum dipindahkan ke University of Michigan Hospital di Ann Arbor untuk rawatan intensif. Sepanjang tempoh rawatan, Tysen tidak pernah sedarkan diri dan kekal bergantung kepada sokongan hayat sehinggalah kematiannya disahkan pada awal April.

Pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci terhadap insiden ini dan mengesahkan bahawa mesej palsu mengenai kematian remaja perempuan itu merupakan pemangkin utama kepada tindakan Tysen. Walaupun tidak wujud sebarang unsur jenayah fizikal secara langsung, pendakwaan telah difailkan terhadap gadis berkenaan atas dua pertuduhan jenayah ringan yakni satu atas penyalahgunaan sistem telekomunikasi dan satu lagi atas penggunaan komputer untuk melakukan jenayah. Dalam prosiding mahkamah juvana, gadis itu dijatuhi hukuman percubaan selama empat hingga enam bulan dan dimasukkan ke dalam program pemulihan remaja. Sekiranya dia mematuhi syarat program, rekodnya boleh dipadamkan.
Keputusan mahkamah tersebut mengundang rasa tidak puas hati daripada ibu Tysen. Katrina menyatakan bahawa tindakan remaja itu tidak boleh dianggap sekadar gurauan bodoh kerana ia membawa kepada kematian anaknya. Dia menyifatkan hukuman itu sebagai terlalu ringan dan tidak mencerminkan seriusnya akibat perbuatan tersebut. Katrina juga menyatakan kekecewaan terhadap sistem perundangan juvana negeri Michigan yang tidak membenarkan hukuman lebih berat dijatuhkan atas alasan usia pelaku. Baginya, walaupun pelaku masih muda, impak kepada mangsa adalah kekal iaitu kehilangan nyawa.

Kejadian ini menjadi titik tolak kepada desakan agar undang-undang berkaitan buli siber di Michigan dikaji semula. Ketika kejadian berlaku, undang-undang sedia ada belum cukup spesifik untuk mendakwa perbuatan buli dalam talian secara berstruktur apatah lagi apabila ia dilakukan oleh pelaku bawah umur. Selepas kematian Tysen, pada tahun 2018, Dewan Perundangan Michigan meluluskan rang undang-undang yang menjadikan buli siber satu kesalahan jenayah secara formal. Undang-undang baharu ini dikenali sebagai Public Act 457 of 2018 membolehkan pendakwaan dilakukan terhadap individu yang menggunakan teknologi atau media sosial secara berniat jahat sehingga menyebabkan tekanan emosi yang serius kepada orang lain. Ia juga memperuntukkan hukuman lebih berat jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan atau kematian.
Selain perubahan dalam aspek perundangan, kes Tysen Benz turut membuka perbincangan luas tentang peranan ibu bapa dan institusi pendidikan dalam menangani risiko media sosial terhadap kanak-kanak. Dalam wawancara media, Katrina mengaku bahawa Tysen telah membeli telefon bimbit tanpa pengetahuannya menggunakan wang sendiri dan mula aktif di media sosial secara rahsia. Dia menasihati ibu bapa lain agar sentiasa memantau penggunaan teknologi dalam kalangan anak-anak walaupun tindakan itu mungkin dianggap sebagai melanggar privasi. Dalam pandangannya, pemantauan itu penting bukan untuk mengawal tetapi untuk melindungi.
Catat Ulasan for "KISAH TYSEN BENZ : Gurauan Palsu, Nyawa Melayang"