Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Wanita Misteri di Turki: Adakah Ini Angela Celentano yang Hilang 29 Tahun Lalu?

     Angela Celentano ialah seorang kanak-kanak perempuan dari Itali yang hilang secara misteri pada 10 Ogos 1996 ketika baru berusia tiga tahun. Pada hari kejadian, Angela bersama keluarganya dan beberapa rakan komuniti gereja telah mengadakan lawatan rekreasi ke kawasan pergunungan Monte Faito yang terletak berhampiran Castellammare di Stabia, Naples. Menurut saksi, Angela pada mulanya sedang bermain bersama kanak-kanak lain sebelum dilaporkan hilang secara tiba-tiba. Dalam sekelip mata, dia lenyap dari pandangan dan tidak dapat ditemui walaupun kawasan itu telah diterokai sepenuhnya dalam operasi pencarian besar-besaran.

     Pasukan penyelamat telah melancarkan operasi pencarian Amgela yang melibatkan helikopter, anjing pengesan, pasukan polis dan tentera. Kawasan pergunungan digeledah berulang kali namun tiada sebarang petunjuk atau bukti kukuh yang ditemui. Operasi pencarian berlangsung selama berminggu-minggu tetapi akhirnya menemui jalan buntu. Kes kehilangan Angela menjadi salah satu kes paling tragik dan membingungkan dalam sejarah Itali moden.

     Sejak itu, pelbagai teori dan andaian dikemukakan oleh pihak berkuasa dan orang awam. Terdapat kemungkinan bahawa Angela telah diculik dan dibawa ke luar negara. Beberapa petunjuk membawa siasatan ke negara-negara seperti Venezuela, Mexico dan beberapa wilayah di Amerika Selatan. Malah beberapa individu yang mempunyai wajah seiras dengan Angela telah dikenalpasti dan diuji DNA. Walau bagaimanapun, semua keputusan ujian tersebut menunjukkan negatif. Tiada satu pun yang terbukti merupakan Angela Celentano.

     Usaha mencari Angela bagaimanapun tidak pernah dihentikan sepenuhnya. Pada tahun 2009, seorang penulis dan blogger Itali bernama Vincenza Trentinella mendakwa telah menemui satu video yang dirakam di sebuah pulau pelancongan di Turki iaitu Buyukada berhampiran Istanbul. Video itu memaparkan seorang wanita muda yang menurutnya mempunyai persamaan wajah dengan Angela sekiranya dia masih hidup. Trentinella mengemukakan dakwaan tersebut kepada pihak berkuasa dengan menyatakan keyakinannya bahawa wanita dalam video itu adalah Angela Celentano yang diculik dan dibesarkan di luar negara tanpa mengetahui identiti sebenarnya.

     Pada waktu itu, dakwaan ini tidak diterima sebagai bukti kukuh oleh pihak penyiasat. Kes berkaitan pista Turki atau jejak Turki itu akhirnya ditutup pada tahun 2011 selepas siasatan lanjut tidak membuahkan hasil. Namun pada pertengahan tahun 2025, kes ini mendapat nafas baharu selepas peguam yang mewakili keluarga Celentano iaitu Luigi Ferrandino dan Angelo Visconti mengemukakan permintaan agar siasatan dibuka semula berdasarkan bukti video yang belum diperiksa secara menyeluruh serta beberapa maklumat terkini berkaitan wanita dalam video berkenaan.

     Susulan daripada permintaan tersebut yakni pada 24 Jun 2025, Hakim Penyiasat Mahkamah Naples, Federica Colucci telah mengeluarkan arahan rasmi supaya siasatan disambung semula dan menolak permintaan pihak pendakwa untuk menutup kes. Antara arahan utama yang diberikan ialah agar pihak berkuasa mengesan identiti wanita dalam video tersebut selain menjalankan temu bual dengan beberapa saksi penting di Turki dan yang paling utama ialah melaksanakan ujian DNA terhadap wanita itu bagi menentukan sama ada dia benar-benar Angela Celentano.

     Hingga setakat ini, ujian DNA tersebut masih belum dijalankan kerana beberapa proses perlu diselesaikan terlebih dahulu. Pihak berkuasa Itali kini perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa Turki untuk mengesahkan identiti wanita itu dan mendapatkan persetujuan sah daripadanya sebelum sebarang sampel DNA boleh dikumpulkan. Proses ini memerlukan pelaksanaan prosedur undang-undang yang membolehkan kerjasama rasmi antara dua negara bagi tujuan penyiasatan jenayah.

     Walaupun tiada tarikh khusus diumumkan untuk ujian DNA tersebut, keputusan mahkamah yang terkini menunjukkan bahawa proses ke arah itu sedang berlangsung. Segala tindakan kini tertumpu kepada mendapatkan kerjasama daripada wanita yang dikatakan menyerupai Angela dalam video dan memastikan proses pengesahan dijalankan secara sah dan menyeluruh. Sekiranya wanita itu bersetuju memberikan sampel DNA, maka ujian boleh dijalankan dalam masa terdekat bagi menentukan kebenaran yang telah dinantikan hampir tiga dekad lamanya.

     Kini selepas hampir 30 tahun kehilangan yang tidak pernah terjawab, keluarga Angela Celentano kembali menaruh harapan. Mereka tidak pernah berhenti mempercayai bahawa anak mereka masih hidup. Keputusan ujian DNA ini nanti mungkin menjadi penentu sama ada harapan itu akan berubah menjadi kenyataan atau sekadar satu lagi episod duka yang tidak menemui penghujung. Cuma bagi keluarga Celentano dan seluruh Itali yang mengikuti kisah ini sejak tahun 1996, sekurang-kurangnya ada cahaya baharu yang menerangi jalan pencarian dan mungkin akhirnya misteri kehilangan Angela Celentano akan terungkai juga.



Catat Ulasan for "Wanita Misteri di Turki: Adakah Ini Angela Celentano yang Hilang 29 Tahun Lalu?"