Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH FROYLAN VILLEGAS : Kanak-Kanak 11 Tahun yang Mati Ditembak Akibat Salah Sasaran


     Pada 6 September 2023, bertempat di Albuquerque, New Mexico, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun bernama Froylan Villegas terbunuh dalam satu serangan tembakan yang berlaku akibat salah sasaran. Malam kejadian itu sepatutnya menjadi satu malam kegembiraan buat keluarga Villegas, yang ketika itu baru sahaja meninggalkan stadium Isotopes Park selepas menonton satu perlawanan bola. Namun sejurus mereka meninggalkan lokasi tersebut dan dalam perjalanan pulang dengan menaiki sebuah trak jenis Dodge putih, mereka telah diserang secara tiba-tiba oleh dua lelaki bersenjata yang menyangka bahawa mereka adalah anggota geng musuh.

     Serangan itu berlaku dengan pantas. Kenderaan keluarga Villegas menjadi sasaran tembakan sebanyak lebih daripada 14 das peluru. Tertuduh iaitu Jose Romero dan Nathen Garley ketika itu menaiki sebuah SUV berwarna gelap telah menghampiri trak keluarga mangsa. Garley dipercayai telah berdiri di atas bumbung kenderaan melalui sunroof sambil melepaskan tembakan secara membabi buta ke arah trak tersebut. Peluru-peluru yang dilepaskan telah menembusi kenderaan lalu mengenai Froylan yang duduk di bahagian belakang mengakibatkan kecederaan parah di bahagian kepala dan menyebabkan kematian serta-merta. Sepupunya, Tatiana Villegas yang berusia 23 tahun turut terkena tembakan dan mengalami kecederaan serius di tulang belakang yang akhirnya menyebabkan beliau lumpuh dari pinggang ke bawah. Ibu dan adik Froylan yang turut berada dalam kenderaan itu terselamat tanpa sebarang kecederaan fizikal.

     Hasil siasatan awal mendapati bahawa penyerang telah menyasarkan trak Dodge putih itu kerana mereka percaya ia milik ahli kumpulan geng yang bermusuhan dengan mereka. Hakikatnya, keluarga Villegas tiada sebarang kaitan langsung dengan mana-mana geng sekali gus menjadikan kejadian ini sebagai kes salah sasaran. Bukti utama yang membawa kepada penahanan kedua-dua suspek termasuklah rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rekod telefon bimbit, analisis media sosial serta kenyataan saksi awam. Romero dan Garley ditangkap kira-kira dua minggu selepas kejadian berlaku.

     Perbicaraan terhadap kedua-dua suspek telah bermula dan berlangsung sepanjang awal tahun 2025. Antara saksi utama dalam perbicaraan tersebut adalah seorang lagi lelaki bernama Daniel Gomez yang didakwa terlibat dalam perancangan awal tetapi kemudian menjadi saksi pendakwaan. Dalam keterangannya di mahkamah, Gomez mengesahkan bahawa Garley adalah individu yang melepaskan tembakan melalui sunroof SUV malam itu manakala Romero memainkan peranan sebagai pemandu. Pendakwa raya menegaskan bahawa serangan itu adalah tindakan kejam dan tidak bertanggungjawab, dilakukan semata-mata atas andaian yang salah tanpa sebarang usaha mengesahkan identiti sebenar penumpang dalam trak tersebut.

     Pada Februari 2025, juri mahkamah akhirnya memutuskan bahawa kedua-dua tertuduh bersalah atas semua pertuduhan termasuk pembunuhan tahap pertama terhadap Froylan, cubaan membunuh terhadap Tatiana, melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang bergerak serta cubaan melupuskan bukti. Pada 18 Jun 2025, Hakim menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Romero dan Garley serta ditambah dengan 46 tahun penjara tambahan atas pertuduhan-pertuduhan lain. Hukuman ini disambut dengan rasa syukur oleh keluarga mangsa terutamanya Tatiana yang hadir di mahkamah dalam kerusi roda. Dia turut menyatakan bahawa semangat Froylan sentiasa bersamanya dan menjadi kekuatan untuk meneruskan kehidupan meskipun berdepan kecacatan kekal.

     Tatiana kini menjalani rawatan lanjutan termasuk terapi  dengan harapan untuk kembali berjalan satu hari nanti. Walaupun keadaannya kekal mencabar, dia tidak pernah berhenti memperjuangkan keadilan dan menyebarkan kesedaran tentang keganasan bersenjata.

Catat Ulasan for "KISAH FROYLAN VILLEGAS : Kanak-Kanak 11 Tahun yang Mati Ditembak Akibat Salah Sasaran"