Kisah Pembunuhan Dr. Alia Pranitasari


Kisah hitam ini bermula apabila mangsa merawat seorang pesakit bernama Iwan Ardiansyah yang menghidap penyakit talasemia. Disebabkan penyakit tersebut, Iwan perlu menjalani prosedur pemindahan darah secara berkala. Sepanjang tempoh rawatan, Dr. Alia melayan Iwan dengan penuh kebaikan selayaknya seorang doktor kepada pesakitnya. Malangnya, Iwan tersalah tafsir kebaikan tersebut sebagai tanda cinta. Obsesi Iwan semakin membuak-buak sehingga dia sanggup berbelanja besar membelikan hadiah mewah dan barangan berjenama buat Dr. Alia demi menarik perhatiannya walaupun pada hakikatnya Dr. Alia sudah pun mempunyai tunang yang juga merupakan seorang doktor.

Kemuncak kepada konflik ini berlaku pada 19 Ogos 2009. Iwan telah mengatur pertemuan dengan Dr. Alia dengan alasan ingin mendapatkan konsultasi perubatan. Selepas bertemu di sebuah pusat beli-belah, Iwan meminta ihsan Dr. Alia untuk menghantarnya pulang ke bilik sewa di Jalan Dwikora II, Palembang kerana dia tidak mempunyai kenderaan. Disebabkan rasa simpati, Dr. Alia bersetuju untuk menghantar pesakitnya itu tanpa menyedari bahaya yang menanti. Setibanya di bilik sewa tersebut, Iwan mula bertindak agresif dengan meluahkan perasaan cinta dan mengajak mangsa berkahwin. Lamaran tersebut bagaimanapun ditolak secara tegas oleh Dr. Alia.
Kecewa dengan penolakan tersebut, Iwan hilang pertimbangan dan bertindak ganas. Dia menyerang mangsa dengan cara memukul dan mencekik leher Dr. Alia sehingga wanita malang itu tidak berdaya. Dalam keadaan mangsa yang sudah tidak sedarkan diri (dipercayai telah meninggal dunia akibat sesak nafas), Iwan tergamak melakukan perbuatan keji dengan merogol mangsa. Bagi menghilangkan jejak, Iwan kemudiannya menyembunyikan mayat Dr. Alia di dalam kereta Honda Jazz milik mangsa sendiri lalu memandu sejauh ratusan kilometer menuju ke wilayah Riau.

Mayat Dr. Alia hanya ditemui empat hari kemudian, iaitu pada 23 Ogos 2009 di dalam keretanya yang ditinggalkan di tempat letak kereta Hospital RSUD Selasih, Pangkalan Kerinci, Riau. Penemuan itu dibuat oleh seorang pengawal keselamatan yang curiga dengan bau busuk yang menyelubungi kenderaan tersebut. Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa mati akibat kegagalan pernafasan kesan daripada cekikan kuat pada leher.
Tidak lama selepas penemuan mayat, pihak polis berjaya menjejaki Iwan yang cuba melarikan diri. Di mahkamah, Iwan Ardiansyah akhirnya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Negeri Palembang pada Februari 2010 atas kesalahan pembunuhan terancang dan rompakan.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Dr. Alia Pranitasari"