Kisah Kematian Enam Sekeluarga yang Benar-Benar Menyedihkan

     Gema takbir raya yang sepatutnya membawa kegembiraan berubah menjadi mimpi ngeri bagi penduduk di kawasan perumahan Bashayer Al-Khair, daerah Carmuz, Alexandria. Pada hari kedua Aidilfitri, iaitu 21 Mac 2026, satu rahsia gelap yang tersimpan selama empat hari di dalam Apartmen Nombor 6, Blok 17, akhirnya terbongkar. Seorang pemuda bernama Ryan ditemui dalam keadaan tidak keruan di atas bumbung bangunan setinggi 13 tingkat, berlumuran darah dan cuba terjun untuk menamatkan riwayatnya sendiri. Penyelamatan Ryan oleh jiran-jirannya telah membuka pintu kepada penemuan enam mayat ahli keluarganya kaku di dalam rumah.

     Akar umbi kejadian ini sebenarnya telah bermula hampir dua dekad yang lalu. Si ibu, seorang wanita Mesir berusia 41 tahun telah berkahwin dengan seorang lelaki warga Jordan yang bekerja di Arab Saudi sekitar tahun 2006. Pasangan ini dikurniakan enam orang cahaya mata. Walau bagaimanapun, perkahwinan mereka sentiasa dicemari oleh tekanan kewangan dan perbezaan pendapat mengenai jumlah anak. Walaupun mereka pernah menetap bersama di Arab Saudi, si bapa akhirnya menghantar isteri dan anak-anaknya pulang ke Alexandria dengan alasan kos sara hidup yang tinggi sementara dia terus menetap di sana.

     Keadaan menjadi semakin meruncing pada awal Mac 2026 bertepatan dengan bulan Ramadan. Si ibu yang selama ini berhempas-pulas membesarkan enam anak sendirian disahkan menghidap kanser. Kesakitan fizikal akibat rawatan kemoterapi dan radiasi di Institut Kanser Mesir ternyata tidak seberat beban emosi yang diterimanya kemudian. Apabila dia menghubungi suaminya untuk meminta bantuan kewangan bagi kos rawatan dan keperluan anak-anak, rayuannya dibalas dengan kekejaman. Pada 16 Mac 2026, si bapa menceraikannya melalui panggilan telefon, menyekat semua akses komunikasi dan menyatakan bahawa dia telah berkahwin baru serta tidak lagi menganggap mereka sebagai keluarganya.

     Dalam keadaan terdesak dan hilang kewarasan akibat kemurungan klinikal, si ibu mula melihat kematian sebagai satu-satunya jalan keluar yang berbelas kasihan bagi anak-anaknya. Dia tidak sanggup meninggalkan anak-anaknya dalam keadaan yatim piatu tanpa sebarang punca kewangan selepas ketiadaannya nanti. Pada 17 Mac, dia sempat meluahkan niat gelap ini kepada seorang rakan melalui telefon. Rakannya tersebut bagaimanapun perkara itu sekadar luahan emosi biasa dan tidak melaporkannya kepada pihak berkuas. Perkara ini adalah satu kesilapan yang membawa kepada natijah yang sangat menyayat hati.

     Pada malam 18 Mac 2026, rancangan tersebut dilaksanakan. Menggunakan pisau cukur yang ada di rumah, si ibu dipercayai telah memujuk atau memaksa anak sulungnya, Ryan (20 tahun) untuk membantunya membunuh lima adik-adiknya yang lain yang berusia antara 8 hingga 17 tahun. Selepas kesemua adiknya terkorban, Ryan kemudian menamatkan nyawa ibunya sendiri atas permintaan wanita itu. Selama empat hari berikutnya, Ryan tinggal bersendirian di dalam apartmen tersebut bersama mayat ahli keluarganya itu yang telah disusun rapi dan diselimuti sebelum dia akhirnya cuba membunuh diri pada hari raya kedua. 

     Ryan kini sedang berada di bawah pemantauan jawatankuasa perubatan psikiatri untuk menilai tahap tanggungjawab undang-undangnya

Catat Ulasan for "Kisah Kematian Enam Sekeluarga yang Benar-Benar Menyedihkan "