Kisah Pembunuhan Kejam Ratri Pramudita

Kes pembunuhan yang menimpa seorang bakal pengantin bernama Ratri Pramudita atau lebih mesra dipanggil Dita merupakan satu kejadian menyayat hati yang berlaku di Desa Ronggo, Kecamatan Jaken, Kabupaten Pati, Jawa Tengah pada Jun 2024. Dita, seorang gadis berusia 21 tahun yang dikenali dengan peribadi peramah dan penyayang menjadi mangsa pembunuhan rakan sekampungnya sendiri hanya enam hari sebelum majlis perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung pada 10 Jun 2024.

Rentetan kejadian hitam ini bermula daripada perasaan cinta bertepuk sebelah tangan oleh suspek, Kusnan Aminuddin alias Udin yang juga berusia 21 tahun. Udin yang juga merupakan seorang buruh binaan dilaporkan telah lama menyimpan perasaan terhadap Dita meskipun mengetahui bahawa gadis tersebut sudah bertunang dan sedang membuat persiapan akhir untuk mendirikan rumah tangga. Motif utama di sebalik tindakan kejam ini adalah perasaan cemburu yang melampau dan rasa tidak puas hati kerana mangsa bakal menjadi milik lelaki lain.
Pada pagi kejadian iaitu Selasa 4 Jun 2024, Udin telah merancang satu muslihat untuk membawa Dita ke rumahnya. Dia menggunakan alasan kononnya telefon bimbit yang dipesan oleh Dita telah sampai dan sedia untuk diambil. Tanpa sebarang rasa curiga, Dita memaklumkan kepada ibunya, Suntari untuk pergi ke rumah Udin sebentar bagi mengambil peranti tersebut. Malangnya, itu adalah kali terakhir ibunya melihat Dita dalam keadaan bernyawa.

Setibanya di rumah suspek, berlaku pertengkaran mulut apabila Udin sekali lagi membangkitkan soal pernikahan Dita. Udin yang dalam keadaan marah dan di bawah pengaruh alkohol (hasil aktiviti minum minuman keras pada malam sebelumnya) bertindak agresif dengan mencengkam leher mangsa sebelum menghantukkan kepala Dita ke dinding sebanyak tiga kali hingga mangsa pengsan. Tidak terhenti di situ, suspek kemudiannya mengambil gunting dan pisau dapur untuk mencederakan mangsa secara kejamnyang akhirnya menyebabkan pendarahan hebat dan kematian di tempat kejadian.
Kehilangan Dita mula disedari oleh ibunya apabila mangsa tidak pulang ke rumah selepas dua jam. Suntari yang berasa tidak sedap hati telah pergi ke rumah Udin sebanyak tiga kali. Walau bagaimanapun, rumah tersebut sentiasa berkunci. Kecurigaan semakin memuncak apabila Suntari melihat motosikal anaknya diletakkan di dalam ruang tamu rumah Udin melalui celah pintu yang dibuka paksa. Setelah pihak polis dan penduduk kampung tiba, mereka menemui mayat Dita di dalam bilik tidur Udin dalam keadaan yang sangat menyayat hati.

Suspek, Udin akhirnya berjaya ditahan oleh pihak berkuasa dan telah mengakui segala perbuatannya. Hasil bedah siasat mengesahkan bahawa punca kematian adalah disebabkan oleh luka yang besar pada bahagian leher yang mengakibatkan pendarahan kritikal. Pihak keluarga mangsa kini menuntut keadilan yang setimpal dan memohon agar pihak mahkamah menjatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup terhadap pelaku di bawah Pasal 340 KUHP berkaitan pembunuhan terancang.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Ratri Pramudita "