Kisah Pembunuhan Kejam Jannatun Nayemaira
Kisah yang menyayat hati ini bermula di wilayah Kumira, Sitakunda, Chattogram, Bangladesh melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dikenali sebagai Jannatun Nayemaira atau lebih mesra dipanggil Ira. Ira merupakan anak kepada Monir Hosen, seorang pemandu beca motor dan Rokea Begum. Kehidupan keluarga kecil ini sangat sederhana namun Ira dikenali sebagai seorang anak yang sangat ceria dan sering mendoakan kesejahteraan ibu bapanya.
Disebabkan keluarganya tidak mampu memiliki televisyen sendiri, Ira sering berkunjung ke rumah jirannya untuk menonton rancangan kegemarannya sambil bermain dengan anak jiran tersebut yang sebaya dengannya. Namun di sebalik keakraban kejiranan itu, tersimpan satu rahsia gelap melibatkan pemilik rumah tersebut yang dikenali penduduk setempat sebagai Babu Shake. Siasatan lanjut mendapati nama sebenar lelaki berusia 50 tahun itu ialah Mahbub Alam yang sengaja menggunakan identiti palsu bagi menyembunyikan rekod jenayah lampau serta kegagalan perkahwinannya di daerah lain. Walaupun anak Babu merupakan rakan baik kepada Ira, hubungan antara Babu dan bapa Ira, Monir Hosen dilaporkan sangat tegang. Perselisihan faham sering berlaku melibatkan perkara-perkara kecil seperti isu pembuangan sampah dan kekerapan Ira berada di rumahnya hingga mencetuskan dendam yang mendalam dalam hati Babu terhadap keluarga Monir.

Rentetan kejadian hitam ini bermula pada pagi 1 Mac 2026 apabila Babu melihat Ira sedang bersantai di hadapan rumahnya. Maka dengan niat yang sudah dirancang, Babu menghampiri mangsa dan memperdayanya dengan menjanjikan coklat jika Ira mahu mengikutinya berjalan-jalan. Walaupun Ira pada mulanya teragak-agak dan ingin meminta izin bapanya, Babu memintas niat tersebut dengan berbohong kononnya dia akan memaklumkan perkara itu kepada Monir melalui pesanan ringkas. Tanpa sebarang syak wasangka, kanak-kanak yang polos itu akhirnya bersetuju untuk mengikut Babu. Rakaman CCTV menunjukkan mereka berpegangan tangan menuju ke terminal bas sebelum menaiki kenderaan awam ke arah Sitakunda Ecopark.
Setibanya di kawasan lereng bukit yang sunyi di Sitakunda Ecopark, suasana yang ceria bagi Ira bertukar menjadi mimpi ngeri. Di lokasi yang terpencil itu, Babu mula bertindak agresif dengan melakukan serangan seksual terhadap mangsa. Ira yang ketakutan cuba melawan dan menjerit meminta tolong. Dia bahkan sempat menggigit tangan pelaku dalam usaha menyelamatkan diri. Tindakan nekad mangsa menyebabkan Babu panik lebih-lebih lagi apabila dia menyedari terdapat bunyi langkah kaki orang lain di kawasan berhampiran. Dek kerana bimbang perbuatannya terbongkar, Babu mengeluarkan sebilah pisau lalu mengelar leher mangsa berkali-kali sebelum melarikan diri dengan anggapan mangsa akan mati di tempat kejadian.

Namun dengan izin Tuhan, Ira masih bernafas walaupun dalam keadaan yang sangat kritikal. Mangsa dengan leher yang berlumuran darah berusaha merangkak turun dari lereng bukit tersebut demi mencari bantuan. Keberanian mangsa membuahkan hasil apabila sekumpulan pekerja binaan menemuinya dan segera memberikan bantuan awal sebelum membawanya ke hospital. Berita mengenai penemuan Ira tular dengan pantas di media sosial yang akhirnya sampai ke pengetahuan Monir Hosen. Walaupun Ira sempat menjalani dua pembedahan besar termasuk prosedur trakeostomi di Chatogram Medical College Hospital, luka yang dialaminya terlalu parah. Pada jam 3.30 pagi, 3 Mac 2026, Jannatun Nayemaira akhirnya menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi.

Pihak polis yang bertindak pantas hasil bukti rakaman CCTV berjaya menjejaki Babu Shake di tempat persembunyiannya pada hari yang sama mangsa meninggal dunia. Semasa sesi soal siasat, Babu mengaku melakukan jenayah kejam tersebut semata-mata kerana dendam terhadap bapa mangsa. Hasil bedah siasat turut mengesahkan adanya kecederaan fizikal yang konsisten dengan serangan seksual. Kini, Babu Shake berdepan dengan pertuduhan membunuh dan serangan seksual yang boleh membawa kepada hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati mengikut undang-undang tempatan.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Jannatun Nayemaira"