Kisah Pembunuhan Kejam Bethany Ann

Pada Mei 2024, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku di Lakeville dan Rosemount, Minnesota, Amerika Syarikat. Kejadian ini melibatkan seorang pemuda berusia 23 tahun, Jack Joseph Ball yang tergamak meragut nyawa kakak kandungnya sendiri, Bethany Ann, 30 tahun yang ketika itu sedang hamil empat bulan.
Kronologi kejadian bermula pada malam 23 Mei 2024, apabila Bethany, seorang guru yang sangat dihormati dan disenangi ramai di Minneapolis pergi ke rumah adiknya untuk memenuhi jemputan makan malam. Kebimbangan mula timbul apabila Bethany gagal pulang ke rumah dan tidak menjawab sebarang panggilan telefon. Ibu mereka, Judy Ball yang berasa tidak sedap hati kemudian memandu ke kediaman Jack untuk memeriksa keadaan anaknya. Sebaik tiba, Judy melihat Jack melarikan diri dari rumah tersebut dalam keadaan tergesa-gesa. Alangkah luluhnya hati seorang ibu apabila melangkah masuk ke dalam rumah itu di mana dia mendapati ruang dapur dipenuhi dengan darah serta pelbagai alatan tajam seperti pisau dan gergaji yang digunakan untuk melapah mangsa. Bethany telah dibunuh secara kejam dan mayatnya dikerat di lokasi tersebut sebelum sebahagian besarnya dibawa lari oleh Jack.

Keadaan mayat mangsa ditemui dalam keadaan yang terpisah di beberapa lokasi berbeza. Selepas melakukan pembunuhan di dapur rumahnya di Lakeville, Jack memandu ke kawasan perumahan di Rosemount yakni sebuah kawasan yang mempunyai sejarah peribadi dan perkuburan keluarganya. Di sana, penduduk setempat dikejutkan dengan penemuan ngeri apabila Jack secara sengaja meninggalkan cebisan anggota badan kakaknya di halaman rumah serta di atas tangga pintu masuk rumah orang asing. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) merakam tindakan Jack yang seolah-olah mahu mempamerkan kematian kakaknya. Pihak polis kemudian menemui lebih banyak kesan darah dan sisa mayat di dalam kenderaan suspek serta di lokasi terakhir dia bersembunyi.

Siasatan lanjut melalui diari peribadi Jack mendedahkan motif psikologi yang sangat mengejutkan. Jack didapati mengalami gangguan yang dikenali sebagai Madonna-Whore Complex. Secara ringkas, Madonna-Whore Complex adalah gangguan psikologi di mana seorang lelaki membahagikan wanita kepada dua kategori ekstrem yang tidak boleh bercampur iaitu "Madonna" yang dipandang suci dan dihormati tetapi tidak boleh diingini secara seksual serta "Whore" yang dianggap rendah dan hanya layak untuk pemuasan nafsu tanpa rasa hormat. Jack mempunyai obsesi melampau terhadap kesucian kakaknya. Dia berasa amat marah dan dikhianati apabila mendapati Bethany telah berkahwin dan sedang hamil. Baginya, kehamilan itu adalah bukti nyata bahawa kakaknya tidak lagi suci dan telah dicemarkan oleh hubungan seksual dengan suaminya. Delusi ini yang mungkin diperburuk oleh latar belakang pendidikan agama yang sangat konservatif mengenai nilai kesucian menyebabkan Jack menganggap pembunuhan dan tindakan mempamerkan mayat itu sebagai satu cara untuk menyucikan kembali maruah keluarga daripada apa yang dianggapnya sebagai aib.

Jack akhirnya berjaya dijejaki oleh pihak polis melalui isyarat telefon bimbitnya di sebuah halaman rumah di Rosemount. Dia ditemui dalam keadaan berlumuran darah di belakang sebuah bangsal selepas cuba membunuh diri dengan mencederakan lehernya sendiri menggunakan pisau. Walaupun mengalami kecederaan parah, dia berjaya diselamatkan dan ditahan untuk menghadapi pengadilan. Pada 21 Januari 2026, Jack secara rasminya mengaku bersalah di mahkamah atas dua pertuduhan pembunuhan tahap pertama iaitu terhadap Bethany dan janin dalam kandungannya yang turut terkorban dalam serangan ngeri tersebut.
Nasib Jack kini terletak pada keputusan penilaian mental terakhir oleh pihak mahkamah. Jika Jack disahkan mempunyai tanggungjawab jenayah sepenuhnya, dia berdepan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol. Namun jika mahkamah menerima pembelaan tidak waras, Jack akan ditempatkan di hospital psikiatri keselamatan tinggi untuk tempoh yang tidak ditetapkan.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Bethany Ann"