Pengakhiran Ngeri Pasangan Pakar PhD di Tangan Bapa Sendiri

     Kisah ini bermula dengan kehidupan seorang wanita cekal bernama Zhao Qingxiang yang dilahirkan pada tahun 1972 di sebuah kampung terpencil di wilayah Shandong, China. Sejak kecil, Qingxiang membesar dalam persekitaran keluarga yang menebal dengan fahaman tradisional mengutamakan anak lelaki dan memandang rendah anak perempuan. Keadaan menjadi lebih sukar apabila adiknya, Zhao Qingquan menghidap penyakit sawan kronik yang menyebabkan tumpuan dan sumber kewangan keluarga dihabiskan sepenuhnya untuk adiknya. Walaupun sering diabaikan, Qingxiang membuktikan kehebatannya melalui pendidikan hingga berjaya menjadi pelajar terbaik di daerahnya dan melanjutkan pelajaran ke Universiti Nankai yang berprestij dalam bidang Kimia.


     Di universiti, Qingxiang bertemu dengan Wei Bin, seorang pemuda dari Tianjin yang kemudian menjadi suaminya. Pasangan ini merupakan pasangan yang sangat rajin dan bercita-cita tinggi. Selepas menamatkan pengajian peringkat Sarjana, mereka berjaya mendapat biasiswa penuh untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Amerika Syarikat. Walaupun mereka berada di luar negara bapa Qingxiang iaitu Zhao Yuling tidak pernah berhenti meminta wang daripada anak perempuannya itu. Setiap kali bapanya menelefon, ia bukanlah untuk bertanya khabar tetapi sebaliknya untuk meminta wang bagi membina rumah baru di kampung dan membiayai rawatan adiknya. Qingxiang yang bersifat sangat berjasa tetap menghantar wang sebanyak 1500 USD hasil titik peluhnya bekerja sambilan walaupun ketika itu dia sendiri sedang hidup dalam kesempitan sebagai pelajar.

     Keadaan memuncak pada Mac 2002 apabila pasangan ini pulang ke China untuk melawat keluarga dan mengambil anak mereka yang selama ini dijaga oleh keluarga mentua Qingxiang di Tianjin. Semasa berada di rumah bapanya di Shandong, Zhao Yuling menuntut agar Qingxiang memberikan wang sebanyak 3000 USD dengan segera untuk membeli sebuah rumah di bandar buat adiknya. Bapanya berpendapat bahawa adiknya memerlukan rumah tersebut sebagai syarat untuk berkahwin dengan seorang gadis pilihan. Walau bagaimanapun, Qingxiang menjelaskan secara jujur bahawa mereka baru sahaja tamat pengajian dan baru mula bekerja. Wang simpanan mereka bahkan telah banyak dihabiskan untuk urusan kepulangan dan sara hidup anak mereka yang bakal dibawa ke Amerika.

​      Kegagalan Qingxiang untuk memenuhi permintaan bapanya secara serta-merta telah mencetuskan kemarahan yang luar biasa pada diri Zhao Yuling. Baginya, Qingxiang adalah anak derhaka kerana lebih mengutamakan keluarga mertua dan anaknya sendiri berbanding keperluan adiknya. Pada malam yang sunyi bertarikh 26 Mac 2002 yakni ketika Qingxiang dan suaminya sedang tidur nyenyak, Zhao Yuling yang diselubungi kebencian telah mengambil sebilah kapak tajam lalu menetak kedua-dua mangsa berkali-kali sehingga maut di atas katil mereka. Kejadian ngeri ini ditemui oleh ibu mangsa yang kemudiannya menjerit ketakutan sehingga mengejutkan seluruh penduduk kampung.


     Di mahkamah, Zhao Yuling langsung tidak menunjukkan sebarang tanda kekesalan atas perbuatan kejamnya. Dia dengan angkuh menyatakan bahawa anak perempuan yang tidak mahu membantu bapanya adalah tidak berguna dan lebih baik mati. Zhao Yuling juga secara jahil menyalahkan pendidikan tinggi yang diterima Qingxiang di mana dia mendakwa bahawa universiti telah meracuni fikiran anaknya sehingga tidak lagi mahu tunduk kepada kehendak bapa. Pengakhirannya, mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas Zhao Yuling atas kesalahan membunuh dengan niat dan hukuman tersebut telah dilaksanakan pada Oktober 2002.

Catat Ulasan for "Pengakhiran Ngeri Pasangan Pakar PhD di Tangan Bapa Sendiri"