Insiden Ngeri Malam Tahun Baru: Akibat Kompleks Rendah Diri dan Cemburu Buta

     Kes ini bermula pada pagi 31 Disember 2018 di sebuah pangsapuri mewah di Menara Omar Ibn Al-Khattab, kawasan Sakha, Kafr El-Sheikh. Pada saat seluruh dunia sedang bersiap sedia untuk meraikan kedatangan tahun baharu 2019, seorang doktor lelaki yang dikenali sebagai Ahmed Abdallah Zaki telah melakukan satu tindakan yang di luar batas kemanusiaan dengan meembunuh isteri dan tiga orang anak kandungnya sendiri.

     Mona Fati Elsogini iaitu mangsa utama dalam kes ini, merupakan seorang pakar makmal perubatan yang sangat berjaya dan dihormati. Konflik rumahtangga pasangan ini dikatakan berpunca daripada perasaan cemburu dan rasa rendah diri Ahmed terhadap kejayaan kerjaya isterinya. Ahmed yang hanya bekerja di unit kesihatan kerajaan berasa tercabar apabila pendapatan Mona jauh lebih tinggi terutamanya selepas mereka pulang daripada bekerja di Arab Saudi. Keadaan menjadi lebih parah apabila Ahmed mula dipengaruhi delusi bahawa isterinya tidak setia selepas menemui satu tangkap layar mesej lamabwalaupun siasatan polis kemudiannya mengesahkan tuduhan itu hanyalah rekaan semata-mata.

     Rancangan pembunuhan ini telah disusun dengan sangat teliti selama empat bulan bermula dari Ogos 2018. Ahmed telah membeli sarung tangan, tali, pita pelekat dan sebilah pisau tajam yang disembunyikan di dalam almari pakaian. Pada pagi kejadian, dia berpura-pura mengambil cuti untuk meluangkan masa bersama keluarga. Ahmed kemudiannya memperdaya isterinya untuk melakukan satu permainan di mana dia mengikat tangan dan kaki Mona menggunakan pita pelekat. Sebaik sahaja mangsa tidak berdaya, Ahmed menjerut leher isterinya dengan tali sehingga pengsan sebelum mengelar leher mangsa di ruang tamu.

     Kekejaman Ahmed tidak berhenti di situ. Anak perempuannya, Laila yang baru berusia 4 tahun telah keluar dari bilik dan menyaksikan ibunya terbaring berlumuran darah. Tanpa belas kasihan, Ahmed menangkap lalu menyembelih anak kecil itu di sisi ibunya. Dia kemudian meluru ke bilik tidur anak-anak lelakinya. Abdullah (10 tahun) sempat merayu supaya tidak dibunuh namun Ahmed tetap menjerut dan mengelar lehernya. Mangsa terakhir, Omar (7 tahun) pula dibunuh ketika sedang nyenyak tidur tanpa sempat menyedari apa yang berlaku.

     Selepas melakukan pembunuhan tersebut, Ahmed cuba membina alibi yang kukuh. Dia menyelerakkan barang di dalam rumah dan mengambil barang kemas isterinya untuk memberi gambaran bahawa kejadian itu adalah rompakan yang berakhir dengan pembunuhan. Dia kemudian keluar dari rumah, menanam bahan bukti di kawasan semak yang jauh dan sengaja memunculkan diri di bank serta sebuah restoran ikan supaya wajahnya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV). Ahmed juga telah meminta rakannya di tempat kerja untuk menandatangani buku kehadiran bagi pihaknya bagi mengaburi pihak berkuasa.

     Namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Pihak polis Mesir mula curiga apabila mendapati pintu rumah mangsa langsung tidak menunjukkan kesan pecah masuk secara paksa. Keraguan mereka terjawab apabila rakan sekerja Ahmed akhirnya mengaku bahawa doktor tersebut sebenarnya tidak hadir bekerja pada hari tersebut. Setelah disoal siasat selama 16 jam tanpa henti, Ahmed akhirnya tunduk kepada tekanan serta membuat pengakuan penuh mengenai motif dan cara dia menghapuskan keluarganya.


     Pada Mac 2019, Mahkamah Jenayah Kafr El-Sheikh telah menjatuhkan hukuman mati mandatori secara gantung ke atas Ahmed Abdallah Zaki. Hakim menyifatkan perbuatan Ahmed sebagai satu pengkhianatan paling besar terhadap amanah seorang suami dan bapa. Walaupun Ahmed cuba mengemukakan rayuan atas alasan gangguan mental, Mahkamah Kasasi Mesir menolak rayuan tersebut pada November 2021 dan mengekalkan hukuman mati tersebut setelah laporan perubatan mengesahkan dia berada dalam keadaan waras semasa melakukan jenayah.

Catat Ulasan for "Insiden Ngeri Malam Tahun Baru: Akibat Kompleks Rendah Diri dan Cemburu Buta"