Kisah Percintaan Dalton dan Katie yang Benar-Benar Menyedihkan

Kisah cinta antara Dalton dan Katie Prager sering kali disamakan dengan naskhah fiksyen popular The Fault in Our Stars tetapi realitinya jauh lebih menyayat hati. Pasukan perubatan menyifatkan hubungan mereka sebagai satu perjudian nyawa di mana setiap saat kemanisan yang dikongsi hadir dengan risiko kematian yang sangat nyata. Kedua-duanya dilahirkan dengan penyakit genetik yang jarang berlaku namun mereka memilih untuk menentang takdir demi mencari kebahagiaan yang singkat.
Katie Donovan yang dilahirkan pada tahun 1990 di Kentucky, Amerika Syarikat telah disahkan menghidap Cystic Fibrosis (CF) sejak berusia dua minggu. Penyakit ini menyebabkan rembesan lendir di dalam badan menjadi sangat pekat hingga menyumbat paru-paru dan sistem pencernaan. Meskipun menghabiskan sebahagian besar masanya di hospital, Katie dikenali sebagai seorang gadis yang sangat positif. Pada Julai 2009 yakni melalui laman Facebook, Katie menemui hantaran daripada seorang pemuda bernama Dalton Prager yang juga menghidap penyakit yang sama.

Walau bagaimanapun, keadaan Dalton lebih kritikal kerana dia dijangkiti bakteria Burkholderia cepacia. Dalam dunia perubatan, pesakit CF dilarang keras untuk mendekati satu sama lain dalam jarak kurang daripada dua meter bagi mengelakkan pertukaran bakteria. Dr. Michael Anstead, doktor yang merawat Katie telah memberikan amaran keras bahawa sekiranya Katie bertemu dengan Dalton, bakteria tersebut boleh berpindah ke paru-paru Katie dan membawa maut. Namun bagi Katie, berkomunikasi melalui skrin tidak memadai. Dia nekad untuk bertemu dengan Dalton secara bersemuka.
Pertemuan pertama mereka berlaku pada 28 Ogos 2009 di sebuah kedai aiskrim di Kentucky. Dalam satu tindakan yang berani, Katie telah mencium Dalton sebagai tanda kasih sayang. Malangnya, ramalan doktor menjadi kenyataan apabila pemeriksaan selepas itu mengesahkan Katie telah dijangkiti bakteria Burkholderia cepacia milik Dalton. Meskipun mengetahui nyawa mereka kini dalam bahaya yang lebih besar, pasangan ini memutuskan untuk berkahwin pada Julai 2011.

Sepanjang tiga tahun pertama perkahwinan, mereka menjalani kehidupan seperti pasangan normal di sebuah rumah kecil yang dibeli berdekatan dengan keluarga Katie. Mereka mengumpul memori dengan memasak bersama, bermain dengan haiwan peliharaan dan melancong. Namunnmenjelang tahun 2014, kesihatan mereka merosot dengan drastik. Paru-paru mereka sudah mencapai tahap kegagalan fungsi dan satu-satunya jalan keluar adalah melalui pembedahan pemindahan paru-paru yang sangat berisiko.
Dalton berjaya menjalani pembedahan pemindahan paru-paru pada November 2014 manakala Katie terpaksa menunggu sehingga Julai 2015 selepas melalui pelbagai rintangan birokrasi insurans perubatan. Walaupun pembedahan tersebut berjaya, kebahagiaan mereka tidak kekal lama. Penggunaan ubat imun untuk mengelakkan penolakan organ telah menyebabkan kedua-duanya menghidap kanser.b Keadaan fizikal mereka menjadi terlalu lemah sehingga mereka terpaksa dirawat di hospital yang berbeza di negeri yang berasingan.

Pada September 2016, Dalton yang ditempatkan di sebuah hospital di Missouri berada dalam keadaan kritikal dan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan. Mereka hanya mampu berhubung melalui aplikasi panggilan video untuk mengucapkan kata-kata terakhir. Dalton Prager akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada 17 September 2016 ketika berusia 25 tahun. Katie yang berada di pusat hospis di Kentucky, hanya mampu melihat pemergian suaminya melalui skrin telefon dengan penuh hiba.
Hanya lima hari selepas kematian suaminya, Katie Prager turut meninggal dunia pada 22 September 2016 pada usia 26 tahun. Sebelum pemergiannya, Katie sempat memberitahu media bahawa dia tidak pernah menyesali keputusannya. Baginya, hidup selama lima tahun dalam kebahagiaan bersama orang yang dicintai jauh lebih berharga daripada hidup selama 20 tahun dalam kesunyian tanpa cinta.
Catat Ulasan for "Kisah Percintaan Dalton dan Katie yang Benar-Benar Menyedihkan "