Kisah Pembunuhan Kejam Diva Febriani


     Pada tahun 2025, satu kejadian menyayat hati telah menimpa seorang remaja perempuan berusia 15 tahun bernama Diva Febriani. Diva merupakan seorang pelajar tingkatan empat di SMA Negeri 1 Natal, Kabupaten Mandailing Natal, Sumatera Utara. Di sebalik perwatakannya yang ceria, aktif dan berbudi bahasa, Diva menyimpan impian yang murni iaitu untuk berkhidmat sebagai anggota Pasukan Pengibar Bendera Pusaka (Paskibraka). Impiannya hampir menjadi kenyataan apabila dia terpilih sebagai anggota Paskibra peringkat kecamatan yang dijadualkan mengibarkan bendera pada upacara sambutan Hari Kemerdekaan ke-80 Indonesia pada 17 Ogos 2025.

     Walau bagaimanapun, segala harapan dan cita-cita murni itu hancur berkecai dalam sekelip mata. Kronologi hitam ini bermula pada petang 29 Julai 2025 apabila Diva meminta izin daripada ibunya untuk pergi menjalani latihan Paskibra di Padang Merdeka Natal. Menurut rakan-rakannya, Diva kelihatan sangat bersemangat dan tidak menunjukkan sebarang tanda kegelisahan pada hari tersebut. Namun selepas latihan tamat sekitar jam 4:00 petang, kelibat Diva tidak lagi kelihatan di mana dia dilaporkan gagal pulang ke rumah sehingga malam hingga mencetuskan kebimbangan yang amat sangat dalam kalangan ahli keluarganya.


     Misteri kehilangan Diva mula menemui titik hitam apabila penduduk kampung menemui motosikal jenis Honda Beat milik mangsa disembunyikan di sebalik semak belukar di kawasan kebun sawit sekitar jam 9:15 malam. Penemuan kenderaan tersebut tanpa kelibat pemiliknya menguatkan lagi spekulasi bahawa sesuatu yang buruk telah berlaku. Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan secara besar-besaran oleh penduduk kampung, pihak polis dan tentera. Dalam suasana cemas itu, seorang pemuda tempatan bernama Yunus Saputra, 25 tahun dikesan pulang ke rumah dalam keadaan pakaian dan tubuhnya dipenuhi lumpur. Malah dia juga sempat berpura-pura menyertai penduduk kampung mencari mangsa bagi mengelakkan dirinya dicurigai.

     Pada petang 31 Julai 2025, mayat Diva ditemui dalam keadaan yang amat memilukan. Tubuh mangsa ditemui tertimbus di dalam sebuah lubang bekas galian air di kawasan kebun sawit milik penduduk. Apa yang lebih menyedihkan, mayatnya ditemui tanpa sebarang pakaian. Bahagian kepalanya ditutup dengan sebuah baldi plastik bagi menghalang bau serta dikesan orang awam. Berdasarkan identifikasi ahli keluarga dan pihak hospital, mayat tersebut disahkan sebagai Diva Febriani. 


     Suspek utama, Yunus Saputra akhirnya berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa pada 1 Ogos 2025 ketika sedang bersembunyi di rumah saudaranya. Hasil siasatan mendedahkan motif pembunuhan yang amat tidak masuk akal iaitu masalah kewangan. Yunus yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dikatakan terdesak untuk melunaskan hutang ansuran telefon bimbitnya. Dia telah merancang skenario untuk meminta bantuan Diva menghantarnya ke bengkel. Sebaik sahaja tiba di lokasi yang sunyi. suspek menyerang mangsa hingga remaja malang itu terjatuh lalu tidak sedarkan diri. Dalam keadaan mangsa yang kaku, suspek segera merampas motosikal milik mangsa. Keadaan bagaimanapun menjadi lebih huru-hara apabila Diva tersedar semula sebelum dia cuba untuk melawan atau mengejar suspek. Berang dengan tindakan mangsa, suspek kembali menyerang dan berlaku pergelutan singkat yang akhirnya menyebabkan mangsa kehilangan nyawa akibat kekerasan fizikal yang dilakukan. 

     Sebelum meninggalkan lokasi tersebut, suspek sempat memeriksa denyut nadi mangsa bagi memastikan Diva benar-benar sudah tidak bernyawa. Lebih mengejutkan apabila suspek mengaku bahawa niat jahatnya tidak terhenti pada pembunuhan semata-mata. Selepas mengesahkan mangsa telah meninggal dunia, timbul pula niat terkutuk untuk menodai jasad mangsa. Dalam keadaan mangsa yang sudah tidak bernyawa, suspek tergamak melakukan aksi mencabul sebelum meninggalkan mayat tersebut begitu sahaja di kawasan semak.


     Yunus Saputra kini berhadapan dengan pertuduhan di bawah seksyen jenayah berat yang membawa hukuman penjara 20 tahun, penjara seumur hidup atau hukuman mati.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Diva Febriani"