Kes Zhang Mingbao: Bagaimana Satu Kes Pemandu Mabuk Mengubah Undang-Undang China

Pada malam 30 Jun 2009, sebuah daerah yang tenang di Jiangning, Nanjing, China telah berubah menjadi medan ngeri. Kejadian ini berpunca daripada tindakan tidak bertanggungjawab seorang kontraktor pembinaan berusia 43 tahun bernama Zhang Mingbao.
Segalanya bermula apabila Zhang Mingbao menghadiri satu sesi makan malam bersama rakan-rakan perniagaannya. Dalam pertemuan tersebut, dia telah mengambil minuman keras dalam jumlah yang banyak. Walaupun berada dalam keadaan mabuk yang nyata, Zhang tetap berdegil untuk memandu pulang kereta jenis Buick miliknya. Laporan forensik kemudiannya mendedahkan bahawa tahap alkohol dalam darahnya adalah 160mg/100ml iaitu dua kali ganda melebihi had undang-undang yang ditetapkan di China pada waktu itu.

Keganasan di jalan raya bermula apabila Zhang memandu kenderaannya dengan kelajuan yang melampau di kawasan perumahan dan kedai. Dalam tempoh hanya lima minit yang penuh igauan, kereta yang dipandu Zhang merempuh sembilan orang pejalan kaki serta melanggar enam buah kenderaan yang diletakkan di bahu jalan. Saksi kejadian menggambarkan suasana ketika itu seperti zon perang yakni bunyi dentuman besi yang kuat diselangi dengan jeritan mangsa yang tidak sempat menyelamatkan diri.
Mangsa yang paling tragis dalam kejadian ini adalah sepasang suami isteri muda. Si isteri yang sedang sarat hamil tujuh bulan telah dirempuh dengan begitu kuat hingga mengakibatkan satu pemandangan yang sangat menyayat hati di mana impak perlanggaran tersebut menyebabkan bayi dalam kandungannya terkeluar dan maut serta-merta di lokasi kejadian. Secara keseluruhan, lima nyawa melayang manakala empat lagi cedera parah dalam insiden kemalangan jalan raya tersebut.

Apabila kes ini dibawa ke Mahkamah Perantaraan Rakyat Nanjing, ia mencetuskan perbicaraan undang-undang yang sengit. Pihak pendakwa raya mengambil langkah berani dengan tidak menggunakan tuduhan kemalangan trafik biasa yang hanya membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun. Zhang sebaliknnya didakwa di bawah Artikel 115 Kod Jenayah China iaitu kesalahan Membahayakan Keselamatan Awam dengan Kaedah Berbahaya. Pertuduhan ini meletakkan kesalahan memandu mabuk setaraf dengan tindakan sabotaj atau serangan yang boleh membawa kepada hukuman mati.
Di dalam mahkamah, suasana hiba menyelubungi bilik perbicaraan apabila keluarga mangsa menuntut keadilan yang setimpal iaitu hukuman mati. Zhang Mingbao yang kelihatan sangat menyesal, kerap menundukkan kepala dan memohon maaf kepada waris mangsa. Namun pada Disember 2009, hakim menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta pelucutan hak politik buat selama-lamanya. Pelucutan hak politik ini bermaksud pesalah hilang hak untuk mengundi, memegang jawatan awam atau menerbitkan karya/memberi ucapan bebas. Ini menunjukkan pelaku dianggap sebagai liabiliti kepada masyarakat.

Mahkamah memutuskan untuk tidak menjatuhkan hukuman mati kerana Zhang dianggap tidak mempunyai niat awal untuk membunuh dan pihak keluarganya telah berusaha membayar pampasan kewangan yang besar kepada mangsa sebagai tanda penyesalan. Keputusan ini pada mulanya menerima reaksi berbelah bahagi daripada rakyat China yang mahukan hukuman lebih berat. Walau bagaimanapun, kes Zhang Mingbao menjadi pemangkin utama kepada reformasi undang-undang jalan raya di China. Kesannya pada tahun 2011, China telah meminda undang-undangnya untuk menjadikan pemanduan mabuk sebagai satu kesalahan jenayah mandatori sekali gus memberikan amaran keras kepada mana-mana pemandu yang cuba mencabar maut di jalan raya.
Catat Ulasan for "Kes Zhang Mingbao: Bagaimana Satu Kes Pemandu Mabuk Mengubah Undang-Undang China"