Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN ANDREW FINCH YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN

     Pada malam 28 Disember 2017, satu kejadian tragik telah berlaku di Wichita, Kansas, Amerika Syarikat. Seorang lelaki bernama Andrew Finch yang berumur 28 tahun telah ditembak mati oleh polis di hadapan rumahnya sendiri sedangkan dia langsung tidak melakukan sebarang jenayah. Kejadian ini telah membuka mata ramai pihak tentang bahaya satu perbuatan yang dipanggil swatting.

     Swatting ialah perbuatan menelefon polis untuk membuat laporan palsu kononnya ada kejadian serius seperti pembunuhan atau tebusan di satu tempat dengan tujuan membuat polis menyerbu lokasi itu. Ia selalunya dilakukan atas sebab gurauan, balas dendam atau pertengkaran yang biasanya dalam kalangan pemain permainan video atas talian. Dalam kes Andrew Finch, semuanya berpunca daripada pergaduhan kecil dalam permainan video Call of Duty.

Tyler Barris, Casey Viner dan Shane Gaskill

     Dua orang pemain iaitu Casey Viner dan Shane Gaskill telah bertengkar dalam permainan tersebut. Disebabkan rasa marah, Viner mengugut untuk melakukan swat ke atas Gaskill. Gaskill pula sebaliknya mencabar dengan memberi alamat lamanya di Wichita walaupun dia sudah tidak tinggal di situ. Malangnya, alamat itu kini dihuni oleh keluarga Andrew Finch.

     Viner kemudian menghubungi seorang individu dikenali sebagai Tyler Barriss yang memang terkenal sebagai swatter di mana dia adalah orang yang suka membuat panggilan palsu kepada polis. Barriss menelefon nombor kecemasan 911 sebelum memberitahu bahawa dia telah menembak bapanya serta menyandera ibu dan adiknya. Lebih dahsyat, Barris menambah pembohongan dengan mengatakan bahawa dia ingin membakar rumah. Cerita ini semuanya rekaan tetapi situasi tersebut kedengaran sangat serius pada mata pihak polis. 

Justin Rapp

     Susulan laporan itu, pihak polis segera menghantar pasukan taktikal khas bersenjata lengkap ke rumah berkenaan. Waktu itu, Andrew Finch yang tinggal di rumah tersebut langsung tidak tahu-menahu tentang sebarang laporan atau ugutan. Dia keluar ke beranda rumah kerana hairan dengan lampu dan suara polis di luar. Dalam masa beberapa saat sahaja, seorang pegawai polis bernama Justin Rapp telah menembak Andrew kerana menyangka dia mahu mengambil senjata dari pinggang.

     Malangnya, Andrew Finch tidak bersenjata langsung. Dia mati ditembak di tempat kejadian yakni di hadapan ibu dan adik-beradiknya sendiri. Hasil bedah siasat kemudian mengesahkan bahawa tiada senjata ditemui dan Andrew juga tidak di bawah pengaruh dadah atau alkohol. Dia benar-benar mangsa yang tidak bersalah.

     Kes ini telah menimbulkan kemarahan orang ramai. Ada yang mempersoalkan mengapa polis begitu cepat melepaskan tembakan dan mengapa tiada sebarang semakan dibuat sebelum itu. Pegawai Rapp bagaimanapun tidak dikenakan sebarang pertuduhan dengan alasan dia menyangka Andrew menyembunyikan senjata. Ini menambahkan lagi kesedihan keluarga mangsa. Pada masa yang sama, tiga individu yang terlibat dalam rancangan swatting ini telah diambil tindakan. Barriss yang membuat panggilan palsu itu mengaku bersalah atas beberapa tuduhan termasuk menyebabkan kematian secara tidak sengaja. Dia dihukum 20 tahun penjara. Viner pula dipenjarakan 15 bulan penjara dan 2 tahun dalam pengawasan manakala Shane Gaskill dijatuhi hukuman 18 bulan penjara.

     Keluarga Andrew Finch kemudian mengambil tindakan undang-undang terhadap bandar Wichita dan pegawai polis yang terlibat. Mereka memfailkan saman sivil atas kecuaian dan tindakan melampau yang menyebabkan kematian Andrew. Selepas beberapa tahun, pada Mac 2023, bandar Wichita bersetuju untuk membayar pampasan sebanyak USD 5 juta kepada dua anak Andrew sebagai penyelesaian luar mahkamah.

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN ANDREW FINCH YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN "